BBL-Episod 12

Aku merenung jauh pantai yang indah di hadapanku. Komputer riba ku letakkan di sebelah tempat dudukku. Ada rasa yang tidak enak sedang bermain di benakku kini. Entah mengapa aku merasakan Hambali sudah tidak punya rasa padaku. Emel yang ku kirimkan dua minggu yang lalu tidak dibalasnya, aku kecewa! Astaghfirullah…apa aku telah berlebihan ya Allah? Ampunkan hambaMu ini.

Semalam aku menangis,

Mengharapkan kasihMu hanya yang Satu,

Aku tidak pasti apa yang akan terjadi,

Apa mungkin aku terus begini,

Mengharap kasih manusia,

Seakan tidak ada rasa padaku,

Aku khilaf ya Allah,

Ampunkan hambaMu ini..

Ku ungkapkan serangkap puisi buat yang Maha Esa. Terasa hati ini sedang bersedih walang. Jariku menari lagi, menulis apa yang terpahat di buku hati ini. Merungkaikan seribu rasa buat yang Mencintai hambaNya, merintih segala rasa duka. Aku sedar semua itu tidak seharusnya aku tangisi mengenangkan Hambali yang seakan tidak peduli padaku. Hambali hanya seorang manusia, bukan malaikat yang harus ku agung-agungkan dan sudah pastinya dia masih tunanganku, itu yang perlu aku fahami. Ya! Aku tahu semua itu. Dan aku harus membuang perasaan yang entah apa-apa kini. Maafkan hambaMu ini ya Rabb..

Selang beberapa minit, telefonku berdering. Nyanyian si kecil banat Syria menyentakku. Abah! Ada apa agaknya. Aku menjawab salam abah dengan penuh ceria, tidak mahu abah mendengarkan suara puterinya ini yang sedang bersedih hati.

“Ya abah..abah dan ummi sihat?”

“Alhamdulillah abah sihat, ummi pun sihat. Anak abah sihat?”

“Alhamdulillah bah, Ifah sihat.”

“Abah nak minta Ifah balik minggu ni. Keluarga Hambali nak datang. Ada hal penting katanya.”

“Ermm..penting? Diorang tak beritahu abah kenapa nak datang?”

“Tak ada pula, tak apalah. Ifah balik ya sayang. Mana tahu nak dipercepatkan majlis nikah ke.”

“Kalau pasal tu, Ifah tak nak la abah. Ifah kan ada setahun setengah je lagi nak habis. Tak kan tak boleh tunggu.”

“Ya..abah tahu. Itu tanggapan abah je. Yang penting Ifah balik dulu ya..”

“Baiklah abah, hari jumaat nanti Ifah balik. Apa-apa hal nanti Ifah inform kat abah balik.”

“Yalah..Ifah kat pantai ke ni? Bunyi macam ombak je..”

“A’ah abah, saja nak cari idea untuk menulis. Datang dengan kawan tadi. Abah janganlah risau ya.”

“Ermm..yalah. Hati-hati kat sana. Jaga diri baik-baik. Ummi dengan adik-adik kirim salam kat Ifah.”

“Waalaikumsalam..kirim salam balik ya abah..abah pun jaga diri tau, jangan lupa makan ubat.”

“Ya..abah taulah. Ok, assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam abah.”

Hatiku bagaikan berbunga-bunga bila mendengarkan perkhabaran dari abah tadi. Untuk apa sebenarnya keluarga Hambali mahu bertandang. Mesti ada hal yang penting. Ermm…rasa tak sabar pula nak balik ke rumah. Zulfah! Istighfar banyak-banyak!

Jariku mula menulis lagi. Tiba-tiba ada rasa bahagia menjelma di sanubari. Tetapi kenapa Hambali tidak membalas emelku sebelum ini ya..agaknya macam nilah dia rasa bila aku tidak membalas emelnya. Ermm…silap aku juga sebenarnya. Tak apalah Zulfah, lupakan!

Sesudah puas berada di pantai, aku dan Hannah kembali ke kolej. Setiap kali punya waktu lapang, aku dan Hannah akan ke pantai menenangkan fikiran dan aku sudah semestinya mencari ilham untuk berkarya. Kereta Hannah selalu menjadi mangsa kami untuk ke sana. Hannah sememangnya punyai sebuah kereta, ayahnya menghadiahkan produa viva sempena hari lahirnya tahun lepas. Sungguh beruntung! Aku ni, tak tahulah bila nak belajar kereta. Takut semacam je bila tengok orang bawa kereta. Kalau dah pandai boleh je bawa kereta abah. Tapi tu lah masalahnya, penakut! Kata Hannah aku ni takut tak bertempat. Ye ke macam tu? Bukan ke takut bawa kereta ni takut bertempat juga….huhuuu

Jumaat nan indah menyusuri perjalananku pulang ke kampung. Tamat kuliah Dr. Bryan seawal jam 10.00 pagi, aku terus ke terminal Putra untuk membeli tiket bas. Hannah yang temankan. Selalunya aku naik tren tetapi kebetulan Hannah mahu pulang ke rumahnya di TTDI, jadi lebih dekat aku ke Putra. Dalam perjalanan, otakku ligat memikirkan tentang Hambali dan keluarganya, apalah agaknya hajat keluarga itu datang bertandang ke rumahku. Takkan la nak percepatkan majlis kot, tak mungkin! Hambali dah setuju untuk menikah setelah aku tamat pengajian nanti. Entahlah..biarkan je. Baik aku tidur lagi best.

Lewat jam 8.00 malam, aku tiba di terminal Kota Bharu. Aku berjalan ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib. Seusai solat, aku meninjau-ninjau kalau-kalau ada bas lagi waktu begini untuk ke Berangan. Ermm…nampaknya tak ada bas time ni. Aku terus meraba beg sandangku dan mengambil telefon bimbit, menelefon abah. Kasihan abah! Lagi-lagi menyusahkan abah.

Abah tiba setengah jam kemudian di terminal. Adikku Zafirah memelukku erat. Rindu benar agaknya padaku. Aku terus masuk ke perut kereta dan menyalami abah. Tidak banyak bicara antara kami, mungkin abah memahamiku yang keletihan. Aku tertidur ketika perjalanan ke rumah. Sampai di perkarangan rumah, adik bongsuku membangunkanku. Mataku memerah kerana penat yang teramat. Ummi sedang menunggu di dalam, begitu juga dengan Zafran. Aku menyalami ummi dan Zafran datang mendapatkanku.

“Kak..tak beli apa-apa ke untuk An?”

Aku menggelengkan kepala. Zafran memang suka minta yang bukan-bukan. Kadang-kadang minta bawa balik sushi la, sabar jelah aku!

“Amboi..An ingat akak ni cop duit ke? Nak beli itu nak beli ini?”

“Heee…apalah akak ni. Kedekut!”

Aku membulatkan mata kepada Zafran. Menandakan aku tidak suka dia mengusikku begitu. Budak ni memang nak kena tau! Ummi menggelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah anak-anaknya. Beginilah kami! Kalau jumpa ada je halnya. Bertekak, bergaduh, kalau dah manja tu kemain pula.

“Dah dah…An, janganlah usik kakak kamu tu. Dia penat tak habis lagi. Ifah pergi mandi dulu. Nanti kita makan sama-sama.”

“Wekk..padan muka kena marah dengan ummi! Ok ummi..ummi masak apa hari ni?”

Zafran menunjukkan muka tidak puas hati. Aku tersenyum nakal!

“Dah la tu Ifah…ish budak ni! Perangai macam budak-budak lagi. Haa..ummi masak kerabu perut kegemaran Ifah dengan gulai masak tempoyak.”

Zafran puas hati, akhirnya aku mengalah. Malas nak bertekak dengan budak hingusan!

“Waaah..sedapnya ummi! Ni tak tahan ni…”

Aku cepat-cepat menuju ke dapur, mengintai makanan kegemaranku. Automatiknya perutku jadi lapar.

“Ish budak bertuah ni! Pergi mandi dulu, dah nak kahwin pun buat lagi perangai tak senonoh macam tu. Tahu dek Hambali tak pasal-pasal tak jadi buat bini.”

Ummi masuk ke dapur, melihat telatah puteri sulungnya ini. Huhu…malu aku dibuatnya. Tak pasal-pasal kena bebel dek ummi. Sengih!

“Hee…yelah yelah Ifah pergi mandi dulu. Ummi ni buat orang malu je. Janganlah beritahu Hambali tu. Kalau dia tahu pun apa Ifah peduli..biar jelah.”

“Ish budak ni! Boleh pula cakap macam tu. Awak tu dah besar panjang, anak dara dah. Jangan duk buat perangai macam tu. Malu kat bakal mak mentua nanti. Dah pergi mandi. Ada je jawapannya bila ummi cakap.”

“Ye ye..Ifah nak pergi la ni. Ummi ni pun…janganlah marah-marah, nanti cepat tua tau.”

Sengih lagi! Ummi menggelengkan kepalanya. Aku mengucup pipi ummi seraya ke kamarku. Sudah rindu untuk memeluk bantal kesayangan dan bersiram di kamar mandi puteri kayangan abah dan ummi yang seorang ni. Aish! Tak habis-habis berangan nak jadi puteri kayangan! Inilah akibatnya bila terpengaruh dengan novel dan drama orang putih pasal princess. Aku tersenyum riang..lalalalala

***********************************************************************

Keesokan harinya, keluarga Hambali tiba di rumahku. Tiba-tiba ada debar ku rasakan. Maklumlah sudah berbulan lamanya aku tidak bersua muka dengan tunangku. Keluarganya juga tidak sempat untuk ku kunjungi, aku tidak punya waktu untuk berziarah ke rumah mama dan baba Hambali. Bukannya aku tidak mahu, memang ya aku malu tapi itu bukan alasan utama untuk aku tidak berbuat demikian. Tanpa disuruh aku bersalam dengan mama dan kakak Hambali, malu rasanya bila ditenung semacam je aku ni. Wajah yang sering ku rindukan itu tampak bersih dan tenang, sejuk hatiku memandangnya. Aku hanya tersenyum malu melihatnya, dia juga tetapi pandangannya ke arahku sekejap cuma, seraya dia menundukkan wajahnya. Aku tahu dia bukan lelaki yang suka memandang wanita yang bukan mahramnya, gaya dan caranya sudah membuatkan aku membuat seribu penafsiran tentang sifatnya. Aku senang dengan caranya yang begitu bersahaja pabila berhadapan denganku. Padahal aku gelisah bukan main! Allah..apa nak malu Ifah..dia bakal suami kau tak lama lagi..rilek Zulfah! Aku cuba menenangkan diriku.

Aku ke dapur menyediakan hidangan serba ringkas pagi itu. Tak tahulah macam mana rasanya nasi kerabu yang aku buat ni. Kalau tak sedap pun redha jelah! Aku teringat Hambali pernah mengaku dalam emel yang dia memang suka makan nasi kerabu, bahkan budu sekali pun dia makan tetapi kadang-kadang jelah. Aku suka akan pengakuannya itu. Sekurang-kurangnya tidaklah susah bagiku apabila berumah tangga nanti.

Setelah siap hidangan di dapur, aku ke ruang tamu. Anak mataku melirik ke arah Hambali, rancak sungguh berbual dengan abah. Erm..rasanya pilihanku tepat! Kak Humaira, kakak Hambali sedang asyik melayan Zahirah. Ummi dan mama Hambali sedang asyik berbual, entah apa yang dibicarakan. Aku berjalan menuju tempat kak Humaira duduk. Dia tersenyum manis. Kakak Hambali tampak manis wajahnya, tidak lekang dari senyuman. Bicaranya lembut dan bersahaja. Tampak natural pada pandanganku. Aku senang sekali berbicara dengannya.

“Zulfah lama lagi ke nak habis belajar? Maaflah akak tak tahu sangat pasal korang ni.”

“Tak apa kak..lagipun akak sibuk kan. Ada setahun setengah lagi kak. Rasa sekejap je berlalu.”

“Tulah…akak pun rasa macam tu. Dulu masa nak kahwin dengan abang Azman, akak baru umur 24 tahun. Tup tup sekarang dah ada dua orang anak. Umur pun dah meningkat. Sekarang ni tiba giliran Am pula ikut jejak akak.”

“Am? Siapa kak?”

“Tunang Zulfah la..Am tak pernah beritahu Zulfah ke?”

Aku tersenyum.

“Tak pernah kak. Kami memang jarang berhubung. Panggil Ifah dah la kak.”

“Ooh..patutlah. Am memang macam tu orangnya. Selamba badak dia je. Macam kayu pun ada juga akak tengok dia. Jenis yang tak kisah perasaan orang perempuan.”

Kak Humaira tergelak kecil. Aku tersenyum mendengarkan kata-katanya. Dalam hati aku mengiyakan kerana melihatkan pewarakan Hambali melalui emel yang dihantar. Aku mula mentafsirkan sesuatu tentang Hambali. Mungkin sebelum ni dia tidak pernah mengenal mana-mana gadis.

“Kak, Ifah tanya sikit boleh?”

Tiba-tiba aku ingin menanyakan hal yang penting, barangkali.

“Ye..tanyalah.”

“Ermm..Hambali tak pernah kenal mana-mana perempuan ke sebelum ni?”

Ada rasa malu yang menerjah. Mukaku merona merah.

“Rasanya tidak. Masa sekolah dulu-dulu adalah juga yang minat dengan dia tapi dia jenis yang tak layan perempuan. Buat tak tahu je. Kadang-kadang macam tak normal pula. Tapi tahun lepas dia ada khitbah seorang pelajar kat sana, katanya budak Kelantan juga.”

Kak Humaira berhenti bicara, ada riak yang tidak senang pada wajahnya. Aku mula merasa cemburu, entah kenapa!

“Habis tu kak?”

“Ermm..budak tu menolak. Katanya belum bersedia dan Am bukan pilihan hatinya. Sehinggalah Am jumpa Ifah.”

“Ooh..macam tu. Ermm, akak tak rasa pelik ke kenapa budak tu menolak?”

“Entahlah..pelik juga tapi akak tak kisah pun. Akak bukan nak puji adik sendiri tapi Am tu bukan calang-calang orang. Memang kami dibesarkan dalam bi’ah yang baik tapi akak pun tak adalah alim pun, bukan ustazah. Tapi Am memang betul-betul mengikut apa yang dipelajarinya.”

Kak Humaira tersenyum, bangga dengan adiknya yang seorang itu. Aku pun bangga punya bakal suami persis Hambali. Tetapi hairan juga ada yang menolak orang sebaik Hambali. Aku membalas senyuman kak Humaira.

“Ifah..nanti Am nak cakap sesuatu dengan Ifah. Akak harap Am dan Ifah pandai-pandailah nanti.”

Kak Humaira memegang tanganku, seolah-olah memberikan semangat buat bakal adik iparnya ini. Aku pun tidak tahu apa yang penting sangat akan disampaikan Hambali kepadaku.

“Ermm..ada apa ye kak? Ifah rasa semacam je.”

“Dengarlah dulu apa yang Am nak katakan nanti. Apa pun keputusan, semoga ada kebaikannya nanti.”

Aku mati akal untuk meneruskan bicara. Hanya memikirkan apa yang akan disampaikan oleh Hambali buat bakal isterinya ini. Aku jadi takut tiba-tiba. Ummi menjemput mereka menjamah hidangan yang telah ku siapkan tadi. Aku seperti hilang akal untuk berbicara tika berada di meja makan. Hambali juga tampak sepertiku. Masing-masing diam seribu bahasa, hanya mendegarkan celoteh baba Hambali dan abah.

—————————————————–

Alhamdulillah..Mz masih diberi peluang dan waktu untuk mengadaptasikan episod BBL yg ke 12 ke dlm blog e-Novel Mz ni. Terima kasih kpd pembaca yg setia dan sentiasa menunggu. Mohon maaf krn Mz tdk dpt meng’update  selama dua minggu krn kekangan masa dan juga kesihatan Mz yg krg stabil sjk beberapa minggu ini. Mohon doakan Mz moga sentiasa sihat dan kuat untuk meneruskan karya Mz..

Selamat membaca!

2 thoughts on “BBL-Episod 12

Leave a comment