BBL-Episod 11

Selama empat puluh minit perjalanan dari masjid Al-Azhar ke hayyu thamin tidak dirasakan penat oleh Hambali. Walau dengan sesaknya penumpang yang menaiki bas, tidak dirasakan apa-apa olehnya. Dibelek kembali bungkusan berisi buku yang dibelinya tadi setiba di rumah. Bungkusan yang berwarna merah hati itu menandakan pemberian hadiahnya sebagai tanda rasa kasih dan ikhlas kepada Zulfah, bakal isterinya. Tiba-tiba degupan jantungnya semakin laju, entah kenapa dia merasakan seperti itu. Dia sendiri tidak tahu! Apa mungkin dia sudah jatuh cinta kepada tunangnya? Ah..mana mungkin. Zulfah baru sahaja dikenalinya malah Zulfah sendiri tidak pernah mempamerkan perasaannya kecuali ketika di lapangan terbang beberapa bulan yang lalu. Sukar untuk dirinya mentafsirkan semua itu. Perasaan itu memang satu anugerah tetapi ianya harus dijaga dengan batas-batas syari’at yang telah ditetapkan di dalam Islam. Bertunang sekali pun harus dijaga perasaan itu. ‘Allah..lindungilah hambaMu ini..peliharalah kami ya Rabb..’ Dia merintih sendiri.

Hambali membuang pandang ke luar tingkap. Musim panas akan berlalu tidak lama lagi. Kuliah juga akan bermula seminggu dari sekarang. Hambali masih lagi memikirkan tentang persoalan yang sentiasa membuatkan hatinya sedih. Apa mungkin dia akan meninggalkan bumi anbiya’ ini? Atau meneruskan sahaja kuliahnya di bumi Kinanah ini. Padahal tinggal setahun sahaja lagi kuliahnya di sana tetapi kerana dia gagal dalam peperiksaan akhir pada tahun ini, jadi terpaksalah berada di sana dua tahun lagi. Dia takut akan gagal lagi dan itu akan menyebabkan pertambahan tahun pengajian. Mana mungkin begitu sedangkan dia akan menikah tidak lama lagi. Semakin kusut dia memikirkan hal itu. Pernah juga terlintas di hatinya untuk memutuskan sahaja pertunangannya dengan Zulfah tetapi dia tidak sampai hati untuk memperlakukan Zulfah, wanita solehah pada pandangannya seperti itu. Tidak mungkin dia akan melepaskan Zulfah begitu sahaja. Apatah lagi kini baba dan mama Hambali sudah pun berkenan untuk menjadikan Zulfah menantu mereka.

Dia berkira-kira untuk berangkat pulang ke Malaysia dalam minggu ini juga kerana tidak mahu melengah-lengahkan masa untuk berbincang dengan keluarganya tentang masalahnya. Harapan Hambali semoga baba dan mamanya serta kakak dan adiknya mahu menerima keputusannya itu. Cuma satu yang dia risaukan, Zulfah!

‘Ya Allah…permudahkanlah jalanku, andainya ini jalan yang terbaik aku redha ya Allah. Dan jika sebaliknya, aku ikhlas menerimanya.’

Tiba-tiba air mata lelakinya jatuh jua. Tidak sanggup rasanya menanggung beban begini seorang diri. ‘Alangkah baiknya kalau Zulfah sudah menjadi pendampingku kini.’ Hambali mula memikirkan tentang itu. ‘Ya, mungkin hanya itu jalan terbaik. Aku perlukan dia untuk menguatkan semangatku ini’. Tetapi itu sangat mustahil kerana Zulfah sudah meletakkan syarat untuk bernikah apabila dia sudah tamat pengajiannya nanti. Seharusnya dia sudah punya pendapatan sendiri tika itu untuk menafkahi Zulfah. Tetapi mana mungkin sedangkan pengajiannya gagal pada tahun ini. Dia mengeluh lagi. ‘Ya Allah..terasa berat beban yang ku tanggung ini. Maafkan hambaMu ini yang sering mengeluh atas ujian yang Kau berikan. Astaghfirullah..’ Tiba-tiba hambali teringatkan sebuah syair yang dihafalnya dahulu..merasa malu dengan sang Rabbi kerana mungkin sejak kebelakangan ini dia kurang mengamalkan apa yang disunnahkan Nabi kerana kesibukan yang terlampau. Padahal itulah yang seharusnya menjadi perkara wajib dalam hidupnya. ‘Ya Allah…aku terlalu lalai.’ Hambali mula berpijak di bumi yang nyata. Tersedar dari lamunan dan bisikan-bisikan halus dari sang durja.

بِقَدْرِ الْكَدِّ تُكْتَسَبْ الْمَعَالِيْ

فَمَنْ طَلَبَ الْعُلَى سَهِرَ اللَّيَالِيْ

“Keluluhan darjat akan dicapai sebatas usaha yang dilakukan. Barangsiapa mengharapkan kemuliaan maka ia harus mahu berjaga pada malam hari.”

تَرُومُ الْعِزَّ ثُمَّ  تَنُوْمُ لَيْلاً

بَقُوْصُ البَحْرَ مَنْ طَلَبَ اللَّلآلِي

“Kamu ingin kemuliaan tapi terlelap pada malam hari. Padahal orang yang mencari mutiara, ia harus menyelam ke dalam lautan.”

Di waktu sepertiga malam, Hambali membangunkan dirinya. Sudah cukup rasanya dia merehatkan diri walaupun hanya melelapkan mata dua jam cuma. Dia ke kamar mandi untuk berwudu’. Setelah selesai berwudu’, Hambali terduduk di hujung katilnya, bertafakkur seketika dan menenangkan dirinya sebelum bertemu denganNya. Hambali merenung kembali apa yang telah terjadi kepada dirinya sejak kebelakangan ini. Bukannya dia tidak kuat untuk menanggung semua itu cuma masih memerlukan masa dan ruang untuk bertenang dan menyelesaikan segala kekusutan dijiwanya kini. Dia redha akan ketentuan yang ditetapkan Allah buatnya. Hambali meraup wajah bersihnya berulang kali. Cuba untuk menerima segalanya dengan tenang. Jam di dinding biliknya menunjukkan sudah hampir pukul dua pagi. Masih ada dua jam lagi untuk menunggu waktu subuh. Waktu musim panas di bumi anbiya’ kini sudah bertukar jam, kira-kira lima jam lewat dari Malaysia.

Dia segera menghamparkan sejadah pemberian Zulfah ketika majlis pertunangan mereka. Saat melihat sejadah biru tua berselang-selikan warna-warna cerah dan paparan indah sulaman sebuah masjid membuatkan hatinya begitu sayu. Tidak sanggup rasanya menggunakan sejadah itu lagi. Lalu dilipatnya kembali dan menyimpannya di dalam almari baju. Tanpa lengah tangannya mencapai sehelai lagi sejadah yang dibeli di Alexandaria setahun lalu ketika menziarahi sahabatnya. Dihamparkan sejadah warna kemerahan itu ke lantai, berselawat dan beristighfar sebanyak yang mungkin. Dialunkan takbir sambil mengangkat kedua tangannya tanda memulakan solatnya. Hambali mengkhusyukkan solatnya tanpa memikirkan apa-apa kecuali mengingatiNya dengan penuh cinta dan rindu kepadaNya. Dia merasakan ada damai yang indah hadir di sanubarinya kini. Tidak sedikit pun dia merasa letih untuk bersujud dan mengadu kepadaNya. Setelah selesai tahajjud dan istikharah, Hambali merasakan kelopak matanya mula bergenang. Terasa dirinya begitu hina dan kerdil di sisiNya yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.

‘Ya Allah..Engkau ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa ahli keluargaku, dosa guru-guruku dan dosa seluruh muslimin muslimat. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan hati dalam menempuh setiap dugaanMu ini. Ya Rabb, sungguh aku tidak mampu untuk menanggungnya seorang diri. Bantulah aku untuk meleraikan segala kekusutan di jiwaku ini ya Allah. Permudahkanlah setiap langkahku ini untuk mencapai redhaMu. Tetapkan hati hambaMu ini untuk terus berada di jalanMu, teguhkanlah keimanan dan ketaqwaanku padaMu, dan lindungilah aku dari segala keburukan dan kejahatan duniawi yang akan merosakkan diriku.’

‘Aku mohon dengan kerendahan hatiku, berikanlah yang terbaik buatku. Jika dia adalah pendamping yang terbaik yang telah Engkau kurniakan kepadaku, maka redhailah dan rahmatilah aku padanya. Namun jika sebaliknya Engkau damaikanlah hati ini dengan segala ketentuanMu. Aku mohon ya Allah, permudahkanlah urusan kami jika telah tertulis untuk kami bersatu keranaMu. Hanya Engkau Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Rahmatilah aku dan keluargaku agar kami bisa meraih cinta dan redhaMu ya Allah…Kurniakanlah aku kejayaan di dunia dan di akhirat jua kebahagiaan di dunia dan di akhirat..Amin ya Allah ya Mujib..’

Kedua tapak tangannya meraup wajah yang kelihatan sedikit sugul itu. Dia merasakan ketenangan pada malam ini, terasa beban yang selama ini dipikulnya hilang begitu sahaja. Matanya dipenuhi butiran air mata cinta buat sang Pencipta langit dan bumi. Itulah salah satu keindahan dan keajaiban ketika bangun malam dan menyembahNya, mengadu dan menangis di hadapanNya. Sesuatu yang cukup indah akan dirasakan oleh sesiapa sahaja yang ingin meraih cintaNya.

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang Terpuji.” [Al-Isra’ : 79]

Seusai berzikir dan berdoa, Hambali bangkit dari tikar sejadahnya. Matanya tidak mampu lagi untuk lena di tilam dan bantalnya, tidak seperti sahabat sebiliknya yang masih lena diulit mimpi barangkali. Mata Hambali menatap komputer riba miliknya di atas meja. Memikirkan samada mahu membukanya atau pun tidak. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membukanya, mahu melihat samada ada emel yang masuk atau pun tidak. Bimbang juga ada mesej-mesej penting dari setiausaha kerja untuk program-program akan datang. Setelah dibuka email inbox, Hambali melihat satu persatu emel yang ada. ‘Allah…hampir 50 emel, malasnya nak baca. Baru je tak buka dua hari, inbox dah hampir penuh.’ Hambali menggelengkan kepala, mahu tidak mahu dia terpaksa membaca satu persatu emel yang ada. Tiba-tiba terlihat satu nama yang sering Hambali ingati. ‘Biar benar dia ni hantar emel kat aku. Aku rasa tak ada pula aku hantar emel kat dia. Mesti hal penting ni, kalau tak..takkan dia nak emel kat aku’. Tangan Hambali ligat membuka emel tersebut.

To: HambaliHamzah@yahoo.com.my

From: nurul_ifah@yahoo.uk.co

Subject: Assalamualaikum

Assalamualaikum..maaf jika emel saya ini mengganggu awak. Apa khabar? Harap sihat hendaknya. Saya Alhamdulillah, sihat. Keluarga juga sihat. Mereka sampaikan salam ta’zim buat awak. Ermm..macam mana pengajian awak kat sana? Saya harap semuanya berjalan dengan baik. Saya nak minta maaf jika selama ini saya terlalu jarang membalas emel awak. Padahal sudah banyak kali emel awak sampai pada saya. Saya cuma kesempitan waktu untuk membalasnya, bukan niat saya untuk mendiamkan diri. Mohon maaf sekali lagi andai ianya membuatkan awak kurang selesa dan senang dengan cara saya itu. Saya harap awak tidak berkecil hati. Di sini ada secepis puisi yang saya cipta khas untuk awak. Dengarkan..

Cebisan cinta

Aku lakarkan pena cebisan cinta buatmu,

Ingatlah…

Cinta agung hanyalah cinta untukNya,

Dan ketahuilah cinta manusia bakal membuatmu alpa.

 

Tolong jangan menyintaiku lebih dari engkau

menyintai Yang Maha Esa,

Jangan engkau mengingatiku lebih dari engkau

mengingati Yang Maha Kuasa,

Dan jangan mendoakanku lebih dari engkau

mendoakan kedua permata hatimu.

Dahulukan Allah kerana di situ ada syurga buatmu,

Dahulukan ibu dan ayahmu kerana di telapak itu ada syurgamu.

 

Aku terpikat padamu bukan kerana rupa,

bukan jua kerana harta,

Tetapi aku jatuh cinta kerana imanmu,

dan juga sifat zuhudmu.

 

Aku mengasihimu kerana budi pekertimu dan santunmu,

Aku pohon jangan engkau mengagungkan cinta manusia semata,

Tolong engkau jangan tenggelam dalam angan-anganmu,

Dan jangan pula nafsu merajai hatimu

dan mengawal fikiranmu.

 

Aku adalah milik Yang Maha Agung,

Aku jua masih milik keluargaku,

Dan engkau jua masih punya tanggungjawab yang besar

kepada keluargamu.

 

Usah engkau ucap kata cinta di kala cita-cita belum terlaksana,

Sabarlah..

Andai diri ini enggan dirapati kerana ingin

menjaga batasan cinta,

Andai  jarak menjadi penyebab bertambah

rindumu padaku.

 

Sungguh…

Aku tidak mahu menjadi fitnah besar buatmu,

Aku tidak mahu menjadi punca kegagalanmu,

Biarkan Dia yang menjaga setiap langkahmu.

 

Sungguh..

Aku tidak mahu melekakanmu,

Aku hanya mahu engkau berjaya dalam setiap impian

dan cita-citamu,

Dan sudah pasti aku mahu engkau menjadi  pendorong

dalam setiap langkah kejayaanku.

 

Sungguh..

Aku mendambakan cinta suci yang sentiasa terjaga,

Kerana cinta kepada Allah tidak ternilai harganya,

Dan hubungan ini akan terjaga selagi engkau menjaga

hubunganmu dengan Yang Maha Esa,

Sudah pasti aku juga akan menjaga hubunganku denganNya,

Sang Rabbi Yang Maha Penyayang.

 

Aku hanya mampu berdoa semoga cebisan cinta ini

Akan sampai kepadamu walau aku sendiri tidak tahu,

Di mana pengakhirannya..

Moga engkau tetap teguh dalam mujahadah cintamu,

Menjadi pengemis Sang Pemilik Cinta..

Perindu syahid nan abadi..

 

Simpanlah cebisan cinta ini sehingga engkau

bersatu denganku suatu waktu nanti..

 

p/S: Terima kasih atas perhatian awak pada saya

Salam indah penuh kasih dari bakal isterimu,

Nurul Zulfah ‘Aliyah

 

Hambali tersenyum kelat. Puisi indah itu membuatkan hatinya jatuh cinta kepada Zulfah. Pandai sungguh Zulfah berpuisi! Namun padanya emel itu tidak membuatkan hatinya tenang. Dia sudah maklum sememangnya Zulfah terlalu sibuk dengan kuliah dan pengajiannya di sana. Dia memahami kondisi bakal isterinya itu. Hatinya begitu sayu bila melihatkan emel Zulfah, seakan bait-bait dalam emel tersebut mengejeknya kerana dia sudah gagal dalam imtihan tahun ini. Dibiarkan sahaja komputer ribanya di meja, Hambali membaringkan tubuhnya di katil. Cuba untuk menenangkan dirinya. Dia tahu Zulfah sudah pun merasakan apa yang dirasakan melalui puisinya. Tetapi bila ditanya tentang pengajiannya, Hambali jadi runsing tiba-tiba, dia tidak tahu apa harus dia memaklumkan hal itu kepada Zulfah. Zulfah berhak untuk mengetahui semua itu, dan Zulfah juga berhak membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya.

‘Zulfah, saya minta maaf! Saya bukanlah tunang dan bakal suami yang terbaik untuk wanita sebijak dan sebaik awak. Saya redha apa pun keputusan awak. Maafkan saya Nurul Zulfah!’

Hambali berbicara sendiri. Tiba-tiba bahunya disentuh membuatkan Hambali sedikit terkejut. ‘Ish..dia ni! Nasib baik aku tak ada heart attack, kalau tidak….’

“Am..asal dengan kau ni? Cakap sorang-sorang. Risau aku!”

“Err..tak ada apalah. Aku tengah hafal syair je. Kau nak qiyam ke?”

“Ohh..a’ah nak qiyam. Dah hampir pukul empat ni. Kau dah qiyam belum?”

“Aku dah tadi. Maaflah tak bangunkan kau tadi.”

“Tak apa..erm aku tengok kau ni macam tak sihat je? Penat sangat ke imam kita ni..”

“Heh..tak adalah. Aku okey je, jangan risau. Aku nak tidur sekejap, nanti kau kejutkan aku ya.”

“Okeh..no problem.”

Teman sebiliknya, Firdaus terus ke bilik air. Hambali masih mematungkan diri, matanya tidak mahu lena. Saja dikatakan mahu tidur kepada Firdaus kerana tidak mahu teman sebiliknya itu bertanya macam-macam nanti. Hambali hanya tidur-tidur ayam ketika temannya itu sedang berqiyamullail. Dia hanya membatukan diri tetapi mindanya entah ke mana. Dia harus memberitahu zulfah secepat yang mungkin. Ya, as soon as possible!

———————————————————————

Alhamdulillah…dah sampai ke episod 11. Mz mcm xpcya je dah smpai ke tahap ni. Ermm..mcm xbest je puisi  cebisan cinta..maaflah mgkin kurg puitis puisi Mz tu. Yg penting mksud Zulfah kpd Hambali smpai dgn baik..heee..barangkali la..

Pape pun selamat membaca…ada komen silakan 😉

Advertisements

4 thoughts on “BBL-Episod 11

  1. subhanallah, menakjubkan!
    sangat menarik episod kali ni.
    tapi rasanya dah dua minggu MZ tak update, spatutnya dah episod 13 minggu ni.
    hurmm…MZ sibuk sangat ker?
    tlg jangan hampakan kami pembaca setia novel MZ. sy pasti masih ramai yg menunggu..
    smg MZ baik-baik saja

  2. beshnyer episod neh! siap ade puisi lgi. cayalah kak. lama dop updet novel? kak nik dop sehat ke? moga akak cepat sembuh deh..selamat jg utk penulisan kak nik, moga b’jaya..chayyokk kak!! 😉

  3. Arayan>>
    terima kasih..teruskan membaca!

    Ibnu Khaldun>>
    trm kasih…i-allah moga diberi kekuatan utk Mz meneruskn karya. doakn yg terbaik buat Mz

    Ain>>
    trm ksh dik.doakan akk sntiasa sht ye. i-allah akak akn cuba yg terbaik utk novel ni 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s