BBL-Episod 16

Hambali mundar mandir. Kamarnya kini dirasakan sepi. Bagaikan kehilangan arah..bisu sebisunya. Hadiah pemberiannya buat Zulfah diterima baik ketika kali kedua ke rumah Zulfah, namun hatinya tetap dirundung walah. Baginya Zulfah sudah tidak memerlukan dirinya lagi. Namun ditepis segala andaian itu. Komputer  ribanya dipaut, membuka emel yang dihantar Zulfah sebulan yang lepas. Dia ingin melepaskan keresahan di jiwanya kini dengan bait-bait puisi indah Zulfah. Sungguh! Dia sudah mencintai Nurul Zulfah A’liyah.

Matanya tertumpu pada skrin laptop. Membaca tiap bait puisi dari Zulfah yang entah ke berapa kalinya. Sungguh mendalam maksud puisi rekaan Zulfah. Apa mungkin pengakhiran mereka akan bersatu di alam pernikahan? Hambali menganalisa kembali maksud rangkap kedua terakhir puisi itu. Zulfah sudah pun mengingatkan dirinya tentang itu. Memang benar dia begitu terkesan dengan nasihat melalui bait-bait indah puisi itu. Dia sedar dirinya hanya insan yang terlalu naïf tentang cinta. Berbeza dengan Zulfah yang punya sensitiviti terhadap perasaan cinta dan kasih antara manusia dan Tuhan sekelian alam. Zulfah seorang gadis yang unik pada penelitian fikrah Hambali. Wajah tampan Hambali tersenyum kelat, terbayang paras ayu Zulfah di pandangan matanya. Kali terakhir dilihatnya, Zulfah tampak tidak bermaya. Mungkin kecewa dengan keputusan yang dibuat olehnya. Dia juga kecewa dengan apa yang telah diputuskan. Namun apakan daya, dia tidak mahu menanggung risiko yang mungkin akan membuatkan Zulfah lebih kecewa. ‘Zulfah..maafkan saya’. Entah berapa kali Hambali memohon maaf dari puteri idamannya itu dia sendiri pun tidak tahu malah mahu rasanya dia memohon maaf berjuta-juta kali lagi. Sepi.

******************************************

Zulfah meneliti bungkusan merah hati pemberian Hambali. Hatinya terasa dingin malah terasa tidak perlu untuk menerima hadiah itu. Dibelek-belek kad kecil di hadapannya. Sudah dua hari bungkusan itu tidak disentuh langsung. Bahkan kad ucapan kecil itu juga tidak dibaca olehnya. Tetapi malam ini, hatinya begitu tertarik untuk membuka dan membaca kad comel berwarna merah jambu itu.

————————————————————————–

Salam..

Semoga pemberian ini bisa dijadikan pengubat hatimu.

Terima kasih di atas puisi yang begitu indah. Saya tidak pandai bermadah apatah lagi untuk mengarang puisi sebaik awak. Jazakallahu khairan kathira.

Salam rindu dari perlembahan Nil,

Mohamad Hambali Mohd Hamzah

—————————————————————————-

Mata Zulfah bergenang. Batinnnya terseksa bila mengingatkan puisi yang dinukilkan khas buat Hambali. Sungguh! Dia mula menyayangi lelaki bernama Hambali itu. Tetapi dia tidak mungkin meluahkan semua itu, sekadar mencoretkannya di mata pena. Itu sahaja yang mampu dilakukannya. Zulfah mencari pen dan buku notanya, jemarinya mula menari menukilkan sesuatu sebagai balasan buat Hambali. Tetapi nota itu sekadar simpanan peribadinya, tidak mungkin dia meluahkan ayat-ayat cintanya itu kepada Hambali.

‘Seandainya engkau tahu, aku bukan sekadar memuji dirimu. Bahkan sentiasa mendambakan dirimu hadir di setiap mimpiku. Aku tidak punya kekuatan untuk menyatakan rasa yang sedang bergelora di jiwa ini. Apa mungkin takdir sedang menguji hati dan perasaan kau dan aku? Aku keliru, kekadang engkau datang umpama satu cahaya namun kekadang jua engkau hadir tanpa pelita yang terang. Aku gusar seandainya suatu masa nanti kita tidak punya jodoh yang kuat lagi kukuh. Entah kenapa istikharahku kali ini begitu kesamaran, padahal aku begitu yakin aku sudah punya rasa itu terhadapmu. Apakah Tuhan sedang mempermainkan aku? Tidak..aku yakin Dia punya kuasa dan kudrat untuk menyatukan kau dan aku malah punya kuasa untuk memisahkan kita. Tuhan tidak sekali-kali mempermainkan perasaan yang sedang bertandang di lubuk hatiku kini. Cuma aku sekadar bimbang jika rasa itu akan pergi membawa diri persis dedaunan yang berterbangan di udara. Apakah engkau juga sepertiku?’

Titis demi titis butiran air mata Zulfah jatuh ke pipi. Selesai menulis bait-bait kesedihan di buku notanya, tangannya membuka bungkusan merah hati pemberian Hambali. Terdapat sehelai busana rona merah darah ikan dan sebuah novel genre fiction. The Kite Runner! Sudah lama Zulfah mencari novel tersebut tetapi terlalu sukar untuk mendapatkannya. Mungkin sudah kehabisan stok. Sudah banyak kedai buku yang dijejakinya namun tiada. Terima kasih Hambali!

**********************************************

Termenung lagi. Sudah puas rasanya Hambali merenung dinding biliknya yang bercat coklat. Tiada rasa. Hatinya kian kosong. Sepi sekali. Tanpa berfikir panjang lagi, Hambali melangkahkan kakinya ke ruang tamu. Kelihatan babanya sedang ralit menonton televisyen. Hambali mendekati babanya, cuba untuk meluahkan segala rasa yang amuk di dadanya. Muka Hambali mempamerkan dirinya kini sedang berperang dengan perasannya sendiri. Dahi baba Hambali berkerut, timbul persoalan yang membuatkan babanya ingin sekali berbicara dengan terunanya yang seorang itu. Hambali menyandarkan tubuhnya ke sofa. Mengeluh.

“Am..kenapa ni? Resah semacam baba tengok. Tak kan dah rindu kat Zulfah?”

Babanya cuba bercanda tetapi baginya sekarang bukan waktu yang tepat untuk bergurau dengannya tentang itu.

“Tak adalah ba..Am cuma risau. Am tak tahulah apa akan jadi nanti.”

“Maksud Am? Tentang Zulfah?”

“Erm..Am takut ba. Takut kehilangan dia.”

“Am..sebagai lelaki kita tak boleh tunjuk yang kita ni lemah apatah lagi di hadapan perempuan. Am dah buat keputusan, sekarang tinggal menunggu keputusan Zulfah saja. Daripada Am resah macam ni, lebih baik Am solat sunat, berdoa banyak-banyak. InsyaAllah…Dia tahu mana yang terbaik untuk Am.”

“Am tahu ba..tapi Am tak yakin yang Zulfah boleh terima Am lagi lepas ni. Padahal Am dah…”

Bicara Hambali terhenti seakan tidak sanggup untuk meneruskan baitnya. Wajahnya tertunduk ke lantai. Fikirannya terlalu kusut.

“Dah apa Am? Am dah jatuh cinta pada Zulfah? Erm..sesiapa pun akan jatuh cinta pada dia kerana akhlaknya, budi pekerti yang ada pada dia. Baba faham perasaan Am sekarang tetapi Am harus ingat jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tiada siapa dapat menghalangnya. Berserah kepada Dia..berdoa dan tawakkal. Ingat Am..lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”  [Annuur: 26]

“Entahlah ba..Am tahu tak seharusnya Am bersikap seperti sekarang. Tetapi hati Am kuat mengatakan bahawa Zulfah juga punya rasa yang sama seperti Am. Tetapi dia tak pernah menyatakannya secara lisan pada Am.”

“Am…cinta itu tak perlu dilafazkan dengan lisan dan tidak semestinya dimiliki tetapi cukup sekadar merasa bahagia di atas rasa itu. Sekarang baba yakin Am sudah terlalu matang untuk menilai makna cinta dari sudut maknawi dan juga syari’e. Am student agama, lebih tahu dari abah. Muhasabah Am..Allah sayangkan hambaNya yang sentiasa muhasabah diri sendiri dan memperbaiki diri.”

Hambali merenung wajah babanya, ada maksud tersirat disebalik kalimah bibir tua itu. Hambali sedikit tersedar bahawa dia sudah berlebih-lebihan dan hanyut di alam kesedihan ciptaannya sendiri.

“Astaghfirullah…Am minta maaf ba. Am dah berlebihan, tak sepatutnya Am larut dalam kesedihan macam ni. Terima kasih baba.”

Babanya tersenyum dan menggenggam bahu Hambali tanda memberi semangat dan kekuatan buat terunanya itu.

“Ya..sama-sama. Minta ampun dengan Dia bukan dengan baba. Dahlah..pergi tidur. Baba pun dah ngantuk ni.”

“Ok ba..selamat malam. Assalamualaikum.”

Kelibat baba Hambali semakin hilang dipandangannya. Hambali cuba untuk menguraikan segala resah yang kian bertandang. Tangannya mematikan televisyen yang sedang bersiaran. Sudah hampir pukul 12 tengahmalam. Sebelum melelapkan mata, Hambali berwudu’ dan bersolat hajat. Memohon supaya segala resah dan sedihnya itu hilang dibawa oleh larutnya malam. Meminta supaya hatinya damai dan tenang dalam menghadapi segala kemungkinan di hadapannya nanti dan merintih supaya dia ikhlas dan redha atas setiap ketentuan Illahi. Doanya dipanjangkan…

‘Tidak ada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Agung dan Maha Pemurah. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan ‘Arasy yang Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan Tuhan ‘Arasy yang Mulia. Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Maha berdiri Sendiri. Tidak ada Tuhan selain Engkau dan dengan rahmatMu aku meminta bantuan. Ya Allah..kuharapkan limpahan rahmatMu. Janganlah Engkau jadikan aku bergantung pada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Dan perbaikilah semua urusanku. Tiada Tuhan selain Engkau.’

‘Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Tinggi Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim. Ya Allah..sesungguhnya aku benar-benar hambaMu, anak dari hambaMu, anak dari makhluk ciptaanMu. Ubun-ubunku ada di tanganMu, segala ketentuanMu sudah berlaku bagiku, ketetapanMu di atas diriku. Aku memohon dengan segala nama yang sudah Engkau sebutkan untuk menyebutMu atau yang sudah Engkau wahyukan dalam kitabMu atau yang sudah Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhlukMu atau sengaja Engkau simpan di alam yang ghaib yang ada padaMu. Ya Allah…jadikanlah Al-Quran sebagai pelipur hatiku, cahaya dadaku, pengusir kesedihan dan kedukaanku…amin ya Rabbal a’lamin..’

****************************************

Zulfah berdiri di tepi beranda di hadapan biliknya. Matanya tidak dapat dilelapkan, hanya satu nama yang berlegar-legar di mindanya, Hambali. Dia sendiri keliru dengan keputusan yang telah dibuat oleh Hambali. Apa mungkin dia terpaksa melepaskan segala perasaannya kepada Hambali? Istikharahnya semakin samar tetapi keinginannya untuk menjadikan Hambali sebagai suaminya adalah terlalu tinggi. Apa mungkin dia sedang diuji oleh Tuhan? Zulfah kusut memikirkan hal itu. Tidak pernah dia begitu sedih dan resah seperti kali ini.

Di rak bukunya terdapat banyak bahan bacaan koleksi peribadi Zulfah. Sudah terlalu banyak hinggakan ramai sahabat-sahabat dan sanak-saudaranya meminjam buku-buku koleksinya. Salah satu buku di rak tersebut menarik minat Zulfah untuk membacanya. Dicapai buku La Tahzan karangan ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Jemarinya membelek-belek helaian dan terhenti pada muka surat 35. Matanya menatap helaian tersebut mencari ayat yang pernah dibaca dahulu. Zulfah masih teringat pada kata-kata ‘Aidh Al-Qarni, padamkanlah panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan sejuknya kebaikan yang ada padanya. Ayat itu selalu dipegang Zulfah kerana dia tidak mahu prasangka kepada manusia lain menjadikan hatinya kelam dan hitam. Begitulah juga halnya kepada Hambali. Matanya masih tertumpu pada helaian 35 dan bebola matanya menatap pada perenggan ketiga di bawah tajuk ‘Hadapilah Hidup Anda Sebagaimana Adanya’.

‘Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua perkara yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertentangan, dua kubu yang saling bertentangan dan dua pendapat yang saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Dan selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagiaan itu di syurga. Berkenaan dengan yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka. Hadis berbunyi: “ Dunia ini terlaknat dan terlaknat semua yang ada di dalamnya kecuali zikir kepada Allah dan semua yang berkaitan dengannya, seorang yang alim dan seorang yang belajar “.

Zulfah membuang pandang ke tingkap. Matanya menitiskan air mata lagi. Dia sudah penat, letih! Mungkin inilah yang terjadi kepadanya. Memang betullah ayat dalam kitab La Tahzan, Allah menyediakan dua perkara yang berlawanan dan begitu juga halnya antara dia dan Hambali. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara dirinya dan Hambali. Apa yang diimpikan mungkin bertentangan dengan apa yang telah ditakdirkan. Zulfah tidak mahu terus menerus dalam keadaan seperti itu, dia melangkah ke kamar mandi dan berwudu’ walaupun wuduk’nya masih ada. Tuntas Zulfah bermunajat kepada Tuhan agar dihilangkan segala keluh kesah, segala kesedihan dan kemurungannya. Dipanjatkan doa semoga petunjuk istikharahnya adalah benar dan diredhai oleh Yang Maha Kuasa.

Seusai bemunajat kepadaNya, Zulfah membaca beberapa helaian dari surah Al-Imran. Zulfah teringat pada ayat 142 dari surah tersebut yang menyebut tentang jihad. Tafsiran tentang jihad di situ terbahagi kepada empat elemen. Pertama; berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang Islam. Kedua; memerangi hawa nafsu. Ketiga; mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam dan keempat; membanteras kejahatan dan menegakkan kebenaran.

Zulfah mengamati ayat 142 dan bertafakkur sebentar. Mengurai makna daripada perkataan jihad yang disebut di dalam surah Al-Imran. Sesungguhnya pada zaman itu mujahidin sanggup mengorbankan diri, harta dan jiwa untuk Islam malah sanggup mengorbankan hawa nasfu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Zulfah merasa malu dengan dirinya sendiri apatah lagi dengan sang Pencipta langit dan bumi kerana dia masih tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan Allah dalam surah tersebut. Zulfah harus berjihad melawan semua hawa nafsu yang semakin beraja di hatinya. Itu yang difikirkan waktu ini, ya dia memang seharusnya begitu. Harus!

——————————————————————-

Ermm..Alhamdulillah Mz kembali dgn Episod ke 16. Utk puisi tu kena cek balik pd  episod 11. Even puisi yg Mz cipta tu takla best sgt tapi Mz tetap berpuas hati. InsyaAllah..

Hepy Reading guys! Hope will get something good from my story 😉

Advertisements

2 thoughts on “BBL-Episod 16

  1. wahh mantop! best episod ni walau pun emosi sedikit.
    tak sabar mahu tunggu episod akan datang.
    semoga Mz dimudahkan dlm tiap urusan ameen 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s