BBL-Episod 7

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Tiba-tiba hatiku terasa hiba. Siapalah agaknya yang terbaik untukku. Aku bingung memikirkannya. Jawapan ummi dan abah tadi agak mengganggu fikiranku. Kata ummi dan abah, dari segi jarak dan ekonomi berpihak pada Azril. Azril sudah punya kerjaya dan tiada masalah untuk menafkahiku nanti. Sedangkan Hambali masih belum tamat pengajiannya. Apa pun keputusan, aku perlu lihat calonnya dahulu baru istikharah.

At-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang kepada kamu maka kahwinilah dia, jika kamu tidak berbuat demikian akan berlaku fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Setelah tamat peperiksaan akhir, ummi dan abah menyuruhku pulang ke kampung untuk membincangkan hal lamaranku. Semakin dekat hari kepulanganku, aku semakin dihimpit rasa takut dan resah. Azril seringkali menghantar message menanyakan hal yang sama. Jawapannya ya atau pun tidak. Aku mendiamkan diri dari pertanyaannya malah pada ust. Khairi juga aku tidak memberi apa-apa respon.

Seawal jam enam petang aku sudah sampai di kampung. Merebahkan diri di kamar saat yang paling ku inginkan. Penat yang menjalar di tubuhku membuatkanku tidak punya kudrat untuk membangunkan diri ke bilik air. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Ummi agaknya.

“Masuklah ummi..”

“Ifah…belum mandi lagi? Pergilah siapkan diri tu dulu. Nanti malam ada hal abah nak bincangkan. Keluarga Azril dah banyak kali tanya abah, kasihan abah nak menjawabnya. Ifah balik ni eloklah bincangkan hal ni.”

“Hmm..ok ummi.  Ifah nak pergi mandi dulu. Ifah penat sangat ni.”

“Yelah”

Ummi menghilangkan dirinya. Aku membatukan diri seketika. Rupa-rupanya keluarga Azril sudah banyak kali menanyakan abah tentang hal ini. Ermm..tiba-tiba aku rasa sesak nafas dengan si Azril ni. Tak sabar-sabar! Kalau dah nak kahwin sangat, cari jelah perempuan lain! Ingat aku ni apa? Ishh..

Malam itu abah menanyakan satu persatu tentang lamaran dari Azril juga Hambali. Secara telusnya, aku memang tidak mengenali Hambali, lagi pula gambarnya masih belum sampai kepadaku. Lain halnya dengan Azril. Keluarganya memang mengenali keluarga kami dan aku pun pernah melihat Azril ketika dia datang menziarahi kami pada hari raya tahun lepas. Abah menyerahkan segala keputusan di tanganku. Cuma abah berpesan, pilihlah agamanya bukan kerana harta atau rupa. Ummi juga begitu tetapi pada ummi kewangan dan keutuhan ekonomi salah satu faktor untuk memilih. Aku hanya mendiamkan diri, tidak banyak bicaraku pada abah dan ummi. Sekadar mendengar nasihat dan pandangan dari mereka.

************************************************************************

Selepas bercuti selama sebulan di kampung, aku pulang kembali ke kampus untuk menyambung pengajian di semester empat. Wahh…cepatnya masa berlalu. Gambar Hambali pun aku dah tengok. Erm..ok juga orangnya, tenang mata memandang. Masa untuk aku istikharah pula selepas ini. Harapnya istikharahku nanti menghasilkan jawapan yang terbaik.  Abah dan ummi dah tak sabar nak mendengarkan keputusan dariku.

‘Ya Allah, sekiranya salah satu di antara mereka terbaik untukku pada agamaku, pada duniaku dan baik pada kesudahan urusanku, maka tentukanlah ia untukku dan permudahkanlah serta berkatilah aku padanya. Dan jika salah seorang di antara mereka tidak baik bagiku pada agamaku, pada duniaku dan kesudahan urusanku, maka jauhkan dia dariku dan jauhkanlah aku darinya.’

Allah…terasa berat hatiku tika dan waktu ini. Inilah kali pertama dalam hidupku merasakan beban yang paling berat untuk ku tanggung. Betul kata abah, ujian itu dalam pelbagai bentuk, dan sekarang aku diuji dengan lamaran dari dua orang yang baik akhlaknya dan insyaAllah baik pada agamanya. Kata Hannah, itu juga dinamakan rezeki, bukan semua orang dapat rezeki semacam itu. Tetapi padaku rezeki ini terlalu berat dan memerlukan keputusan yang wajar bagi kedua-dua belah pihak.

“Ifah..apa la yang kau fikir tu? Aku tengok kau lani banyak termenung. Kot ye pun fikir pasal lamaran tu, janganlah sampai kau tak makan. Kau pening eh nak pilih yang mana?”

“Entahlah Hannah…aku memang pening fikir pasal ni. Kau pun tahu kan aku belum bersedia lagi.”

“Ermm…bersedia ke tidak bukan faktor utama Ifah. Yang penting kalau salah seorang tu terbaik untuk kau, tak salah kau terima. Lagi pun bukannya terus kahwin kan. Masa bertunang nanti ada masa untuk kenal hati budi masing-masing.”

“Aku tahu tapi kalau masa bertunang tu tak serasi macam mana? Aku takut la..kalau boleh aku nak kenal dulu sebelum bertunang. Baru mantap nak buat keputusan.”

“Dahla..tak payah nak fikir banyak-banyak. Bikin pening kepala je. Apa kata sekarang ni kau temankan aku pergi makan..heee”

“Kau ni…tak habis-habis dengan makan. Nak pergi makan kat mana?”

“Tengok..elleh..kau tu aku tahu la. Ajak je makan mesti nak..huhu.”

Kami sama-sama ketawa. Hannah memang maklum kalau aku susah hati ke, merajuk ke, mesti ajak aku makan. Lepas tu hilanglah segala susah hati dan rajuk hati aku tu..huuuu. Senang kan! Hannah sememangnya sahabat terbaik yang pernah aku jumpa. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan sahabat sepertinya..

************************************************************************

Sebulan sudah berlalu. Rasanya  aku sudah punya jawapan pada persoalan  yang sentiasa membebankan aku selama ini. Semoga istikharahku ini tidak salah dan moga ada barakah disebaliknya. Sedang aku ralit menonton racangan Majalah Tiga, abah menelefonku. Aku yakin mesti hal yang sama. Abahku gembira mendengar jawapan dariku. Selebihnya aku perlu mengkhabarkan berita ini pada ust. Khairi. Abah menyuruhku jangan lengah-lengahkan lagi hal ini. Ya…aku perlu segera mengkhabarkan hal ini.

‘Asslamualaikum ust. Ana dah istikharah dan alhamdulillah jawapan ana positif pada lamaran Hambali. Abah ana minta keluarganya datang ke rumah untuk selesaikan hal ini. Wallahu a’lam..

Alhamdulillah…lega rasanya bila dah buat keputusan ini. Harapnya selepas ini segalanya akan berjalan dengan mudah dan secara alami. Tidak sabar rasanya aku nak tunggu hari yang indah itu. Ya Allah..tiba-tiba pula terlebih excited. Ish! Zulfah..sabar..sabar. Tiba-tiba..

“Waalaikumsalam wbt..alhamdulillah. Moga Allah permudahkan urusan kalian. Ana akan khabarkan berita gembira ni pada Hambali. Barakallah.’

Aku tersenyum melihat text pesanan ringkas dari ustaz Khairi. Ada bahagia yang melanda diriku kini. Entah kenapa aku mula jatuh suka pada lelaki yang bernama Hambali. Padahal aku tidak pernah menemuinya apatah lagi berbicara dengannya. Ya Allah…apakah ini dinamakan cinta? Moga cinta ini satu anugerah yang bisa membawaku kepadaMu..

Selang beberapa minggu, Hambali menghantar emel buatku. Katanya insyaAllah akhir bulan hadapan dia akan pulang ke Malaysia untuk uruskan majlis pertunangan kami. Aku khabarkan pada ummi dan abah. Mereka senang sekali mendengar perkhabaran ini. Aku juga. Dan semenjak itu aku berhubung dengannya melalui emel. Banyak juga pertanyaannya padaku, aku sekadar membalas apa yang perlu. Tidak banyak pertanyaanku tentang dirinya kerana aku yakin dia adalah yang terbaik untukku kelak.

Tanggal 6 Jun 2004, majlis pertunanganku berlangsung. Majlis kami biasa-biasa sahaja, maklumlah baru bertunang. Aku pun tidak mahu membazir dan tidak mahu dihebohkan hal pertunanganku dengan Hambali.

Nabi SAW bersabda: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Seawal perkenalanku dengan Hambali, aku agak kekok untuk berbincang apa-apa yang berkaitan. Padahal bukan bincang apa pun, majlis pertunangan tu je. Tapi itulah yang memalukan aku sebenarnya, kerana semua keputusan diserah bulat-bulat padaku. Katanya dia tidak mahu aku rasa kurang selesa dengannya atas permintaan keluarganya yang pelik-pelik. Memang tak dinafikan keluarganya mahukan majlis pertunangan yang agak besar dan meriah, hantaran pun boleh tahan juga banyaknya. Terbeliak biji mataku mendengar usulan ibu Hambali yang mahukan sebelas dulang hantaran dan dibalas tiga belas dulang. Kata mereka Hambali satu-satunya anak lelaki yang ada. Ermm..susah juga bila dapat calon yang macam ni. Tetapi setelah Hambali berbincang baik-baik dengan ibunya, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Allah permudahkan urusan kami yang satu itu.

Sepanjang tempoh pertunangan kami, tidak banyak yang kami kongsikan. Sekadar berhubung jika perlu. Selepas sebulan kami bertunang, dia terpaksa pulang ke Kaherah untuk meneruskan pengajiannya. Entah kenapa hatiku merasa sedih atas kepergiannya. Ketika keluarga kami menghantarnya ke lapangan terbang tempoh hari, akulah orang yang paling sedih rasanya. Langsung aku tidak menegurnya. Aku lebih suka mendiamkan diri. Ummi pun hairan dengan tingkahku yang bersahaja tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada tunanganku itu. Walhal dalam hatiku tiada siapa pun tahu perasaan apa yang aku alami. Sungguh! Aku sedih atas pemergiannya ke sana. Allahuakbar…tenangkanlah hati ini ya Allah..

“Salam..saya dah sampai di Kaherah. Zulfah jangan sedih ye. InsyaAllah cuti musim panas nanti saya balik lagi. Awak jaga diri baik-baik. Doakan kita.”

Keesokan harinya, text pesanan ringkas dari Hambali ku terima. Aku tersenyum, sekurang-kurangnya hatiku terubat dengan kehadiran mesejnya. Sedikit membuatkanku terhibur dan merasa diberi perhatian. Padahal aku sendiri tidak pernah memberi text message sedemikian buatnya. Terima kasih Hambali! Dia pun pasti dapat merasai apa yang aku rasai sekarang ini. Barangkali.

“Amboi cik kak..senyum memanjang je. Apa la yang syok sangat kat handset tu sampai aku lalu pun buat dek je.”

“Erk..kau nih! Suka buat orang terkejut la. Tak ada apa..baca message je.”

“Hambali eh..alah, dia baru je pergi dah sedih-sedih. Rilek la beb..tak ke mananya si Hambali tu.”

“Ermm..yela. Aku tahu la. Sibuk jelah kau ni.”

Hannah sengih menampakkan barisan giginya. Suka menyakat orang minah ni! Aku menggetus marah. Kononnya.

************************************************************************

Empat bulan sudah berlalu, aku merasakan kasih buat Hambali semakin mendalam. Banyak juga perkara yang ku tahu mengenai Hambali. Kami banyak berhubung melalui emel dan dari situ kami mula bertukar-tukar idea dan pendapat malah mengenal peribadi masing-masing. Kadang-kadang ada juga Hambali menelefonku bertanyakan khabar diriku, pengajianku dan juga keluarga. Hambali terlalu prihatin padaku sehinggakan aku dapat merasakan yang kami punya ikatan batin yang kuat. Dia banyak menceritakan perihal perjalanan setiap program yang dianjurkan PMRAM. Maklumlah dia orang kuat PMRAM malah terkenal di Kaherah. Aku juga terkejut mendengarkan berita dari rakanku yang juga belajar di sana, katanya Hambali salah seorang imam muda di masjid-masjid sekitar Kaherah. Wahh! Aku dah mula teruja…bangga pun ada punya tunang sebegitu.

Pernah juga Hambali menyatakan padaku jika aku tidak rasa senang dengan perlakuannya, aku punya hak untuk menegurnya. Terasa malu dikatakan begitu, walhal akulah yang sepatutnya ditegur dan diberi nasihat selayaknya kerana aku bakal isterinya nanti. Secara jujurnya aku memang takut untuk hadapi hari yang mendatang. Kerana aku juga tidak pasti apa akan terjadi di hari depan. Hambali pernah berkata, jangan terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi kepada manusia kerana manusia akan hampa, tetapi letakkan harapan dan keyakinan kepada Allah semata kerana Dia yang tentukan segalanya buat kita.

‘Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik.’ -Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil-

—————————————————————————————————-

Apa perasaan kalian tika membaca episod 7 ni?

Harapan Mz moga kalian dpt mengambilnya sbg satu teladan yg berguna. Mungkin lepas ni kalian pula yg akan menempuh alam seperti Zulfah dan Hambali. Mz?? Ermm..

Selamat membaca! 😉

Advertisements

4 thoughts on “BBL-Episod 7

  1. perasaan saya…seronok kalo dpt bertunang.
    tapi itu hanya keseronokan sementara di dunia ni.
    yg penting kita raih cinta Robbul Izzah.
    apa pun cerita ni memang menarik.
    MZ dah bertunang ke? atau masih available?

  2. perasaan ana…hmm complicated skit sbb ana pun blm brtunang. tp enti punya crita mmg best. salutelah kat enti ni. teruskan menulis! insyaallah ini juga satu dakwah bg remaja yg sdg hangat dilamun cinta. biar mereka tahu istilah cinta itu bukan sekadar menyintai sesama makhluk. bahkan ianya lebih drpd itu. mg cerita ini dijadikan teladan yg berguna kpd pembaca 🙂

  3. Ibnu Khaldun>>
    i-allah sma2 kita raih cintaNya. biiznillah doakn Mz dpt bina keluarga sakinah mawaddah wa rahmah.

    bintanghati>>
    i-allah..harapan ana bgitula. mg remaja kita di luar sna dpt amik teladan yg brguna dri novel ana ni..syukran 🙂

    Farisz>>
    syukran..i-allah..doakan ana mg istiqamah 🙂

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s