BBL-Episod 20

Fakhri mundar mandir. Fikirannya tidak putus dari mengingati abang dan kakak iparnya. Entah kenapa hatinya mula merasa kurang senang dengan apa yang telah terjadi kepada abangnya yang seorang itu. Mindanya mula beralih kepada satu nama yang cukup akrab dengan dirinya, Hambali! Apa mungkin Hambali menjadi punca pertelingkahan abangnya dengan Zulfah. Dia sendiri bingung. Setahunya, Hambali seorang yang cukup baik dan tidak mungkin akan membuat sesuatu seperti yang difikirkan. Tetapi secara logik akalnya, sebarang kemungkinan boleh sahaja berlaku kerana dia tahu betapa dalamnya cinta Hambali buat Zulfah. Sehinggakan Hambali sanggup menyambung semula pengajiannya di bumi Kinanah. Tetapi satu hal yang Fakhri tidak pernah tahu. Pertunangan Zulfah dan Hambali terputus di tengah jalan. Dia simpati pada sahabatnya itu tetapi dia juga keliru kenapa semua ini berkait rapat dengan Hambali sedangkan Hambali dengan abangnya pernah akrab. ‘Allah…apa sebenarnya yang dah berlaku?’ Fakhri cuba memutar-mutarkan mindanya untuk mencari solusi kepada masalah abangnya itu. ‘Aku harus jumpa Hambali. Pasti dia akan berterus terang padaku.’  Jemarinya ligat menekan huruf di telefon bimbitnya.

‘Salam. Enta sibuk ke Am? Ana ada hal penting nak bincangkan, kalau boleh ana nak jumpa enta ASAP. Apa-apa hal nanti enta confirmkan balik pada ana bila kita boleh jumpa.’

Messege delivered.

Beberapa minit kemudian, mesejnya dibalas Hambali.

‘Wassalam. InsyaAllah boleh. Kalau jumpa esok macam mana? Hari ni ana ada hal sikit. Esok jam 2 petang dekat tempat biasa, ok?’

Beberapa saat sahaja Fakhri membalas semula mesej Hambali.

‘Ok..insyaAllah jumpa esok. Jangan lupa.’

Hambali berfikir sendiri, apakah hal penting yang dimaksudkan temannya itu. Otaknya ligat memikirkan tentang mesej yang diterimanya tadi. Hambali teringat, mungkin temannya itu punya rencana perniagaan yang baik untuk mereka berdua kerana Hambali sudah memaklumkan kepada Fakhri yang dia ingin menjalankan perniagaan yang boleh memberikan manfaat kepada dirinya juga temannya itu. Dalam hati Hambali mengucap penuh syukur kerana temannya itu mahu membantunya dalam merealisasikan impiannya untuk menubuhkan syarikat sendiri. Dia tersenyum girang sambil tangannya ligat menanda buku-buku pelajarnya yang masih bertimbun di meja. Jadualnya sedikit padat di sekolah, jadi dia hanya punya waktu malam untuk menanda buku-buku dan mentelaah kitab-kitabnya. Mujur sahaja esok hari sabtu, jadi dia punya waktu untuk bertemu sahabat baiknya itu.

Fakhri menghela nafas dalam. Dia tidak sabar menunggu hari esok. Mendengarkan penjelasan dari Hambali dan ingin mengetahui hal yang sebenarnya telah berlaku kepada Zulfah dan temannya itu. Mungkin sahaja Hambali punya sebab yang kukuh kenapa hal ini tidak diceritakan kepadanya. Walhal dia tahu benar, Hambali sememangnya menyayangi Zulfah. Selebihnya dia tidak tahu apa-apa mengenai Zulfah bekas tunangan Hambali. Mungkin sahaja Zulfah punya perasaan yang sama kepada Hambali mungkin juga tidak. Apa pun kemungkinan yang bermain di benaknya itu, dia harus mengetahui segalanya dari mulut Hambali.

Keesokan harinya, tepat jam dua petang Fakhri sudah menunggu sahabatnya. Di ruang lobi hotel tempat mereka selalu bertemu dipenuhi dengan ramainya manusia yang sibuk dengan hal maisng-masing. Ada staff hotel yang ke hulu ke hilir membawa fail ke bahagian penyambut tetamu. Ada di kalangan staff yang bekerja di situ mundar mandir membawa troli, mungkin membawa makanan yang dipesan oleh pelanggan mereka. Ada juga ahli koprat yang datang ke situ untuk temujanji bersama rakan bisnes dan tidak kurang juga lelaki separuh umur bersama pasangan muda mudi masuk ke hotel itu. Dalam benak Fakhri menyatakan yang tidak-tidak kepada pasangan yang langsung tidak cocok pada amatannya. ‘Orang tua tidak sedar diri!’ Fakhri menggumam. ‘Ahh tidak perlu membicarakan hal mereka.’ Fakhri sedikit kesal dengan tingkah orang tua-tua terutamanya yang bergelar dato’ berdua-duaan dengan wanita muda yang sesuai dijadikan anak. ‘Astaghfirullahal ‘azim.’ Fakhri beristighfar. Moga mereka diberikan hidayah dan ampunan oleh yang Maha Agung.

Lima minit kemudian, Hambali tiba di lobi. Mencari-cari kelibat temannya. Wajah tampannya tersenyum melihatkan rakannya itu sudah menunggu di ruang lobi. Tuntas mendapatkan Fakhri dan bersalam serta memeluk mesra temannya itu sambil mengucap salam.

“Assalamualaikum!”

“Waalaikumsalam..sihat Am?”

“Alhamdulillah sihat je. Anta sihat ke? Ada hal penting apa yang anta nak sangat jumpa ana ni?”

“Jom kita ke depan tu. Sambil bincang boleh minum-minum.”

Fakhri mengajak temannya, Hambali ke ruang makan yang berada tidak jauh dari sudut lobi. Tanpa menunggu pelayan membawa cappuccino dan coffee yang dipesan oleh kedua sahabat itu, Hambali terus menanyakan hajat apakah yang menyebabkan temannya itu mahu berjumpa dengannya.

“So..may we discuss right now?”

“Ermm..macam ni Am. Sebelum tu ana nak tanya enta tentang Zulfah, bekas tunang enta.”

Hambali sedikit terpana mendengarkan kata-kata Fakhri. Tiba-tiba hatinya merasa luluh dan degupan jantungnya seakan terhenti seketika. Mindanya mula membayangkan wajah indah Zulfah yang pernah menjadi tunangannya suatu masa dahulu. Hambali cuba bertenang, tidak mahu temannya itu menduga hal yang macam-macam nanti.

“Am..! Enta dengar tak ni?”

“Haa? Dengar..dengar. Ermm..sebelum tu ana minta maaf sebab ana tak pernah ceritakan pada enta tentang ana dengan Zulfah. Tapi macam mana enta tahu?”

“Dunia ni kecil je Am. Anta mesti ingat abang ana kan? Zulfah isteri kepada Abang Ki.”

Hambali melopong mendengarkan penjelasan pendek dari sahabatnya itu. Hatinya mula merasa cemas malah cemburu terus merajai jiwanya waima dia sudah mengetahui hal itu terlebih dahulu. ‘Arghh! Tidak..kenapa harus Abang Ki? Kenapa sekali lagi aku harus mendengarkan semua ini?’ Hambali bermonolog sendiri, hatinya sakit bagai dihunus sang pedang.

“Am? Kenapa dengan enta ni?”

“Haa..? Tak ada apa-apa. Baguslah kalau macam tu. Maknanya Zulfah dah buat pilihan yang terbaik untuk diri dia. Ana hanya doakan mereka bahagia. Kenapa enta beritahu semua ni kepada ana?”

Hambali sedikit mengeluh. Dia cuba menyembunyikan perasaannya namun sahabatnya itu dapat menangkap rasa yang amuk di jiwa Hambali.

“Ana tahu enta sedih. Ana minta maaf sebab terpaksa terus terang pada enta. Cuma ana terkilan kerana enta tak pernah beritahu ana tentang putusnya pertunangan enta dengan Zulfah. Ana juga terkejut bila Abang Ki khabarkan pada ana. Sungguh ana tak menduga Zulfah, isteri Abang Ki adalah Zulfah bekas tunang enta.”

“Tak apalah Yie. Ana senang bila dapat tahu yang Abang Ki menikah dengan Zulfah, cuma ana tak sempat nak hadir majlis mereka berdua. Enta pun tahu kan..masa Abang Ki kahwin, ana ada dekat Mesir.”

Fakhri merenung dalam wajah temannya itu. Dia dapat merasakan Hambali merasa walah, mungkin juga kesal dengan apa yang telah terjadi. Dia memahami apa yang dirasakan Hambali namun dia tiada daya untuk berbuat apa-apa selain memberikan sokongan dan semangat buat sahabatnya itu.

“Enta sabarlah Am..insyaAllah akan ada bidadari yang lebih solehah untuk enta nanti.”

Fakhri melemparkan senyuman buat Hambali, ingin meringankan kewalahan sahabatnya itu. Hambali hanya tersenyum kelat, sekadar mengangguk. Tiada balasan kalam untuk pernyataan Fakhri kepadanya.

“Oh ya..ana juga nak tanya tentang satu hal yang mungkin mengejutkan enta. Ana terus terang jelah. Erm…sekarang ni Abang Ki dengan Zulfah ada masalah. Sebab tulah ana nak sangat jumpa enta. Ana pun tak tahu macam mana semua tu boleh berlaku. Tapi dari cerita Abang Ki, ianya melibatkan enta. Ana harap enta tak salah faham, ana cuma mahu bertanya. Enta masih berhubung lagi dengan Zulfah?”

“Ooo..tentang tu. Sebenarnya ana dah jelaskan semuanya pada Abang Ki. Dia dah jumpa ana face to face. Tak ada apalah, semuanya dah selesai. Tapi ana tak tahulah di pihak Abang Ki dan Zulfah macam mana. Lagi pun masa ana telefon Zulfah, ana baru dapat tahu yang dia dah kahwin.”

“Sekarang ni bertambah rumit. Abang Ki dah tak tahu macam mana lagi nak pujuk Zulfah. Kalau boleh ana nak minta tolong enta. Ana tahu enta masih sayangkan Zulfah. Mereka sekarang ni dingin, masing-masing dengan hal sendiri. Ana yakin puncanya adalah enta. Tapi ana tak salahkan enta, ana tahu enta takkan kacau rumahtangga orang. Cuma pada ana, Zulfah mungkin masih punya rasa pada enta. Itu hanya spekulasi awal ana.”

Hambali melepaskan keluh. Sungguh dia benar-benar tidak ingin Zulfah melakukan hal itu. Dia akan merasa bersalah kepada Faruki.

“Astahgfirullah…tak baik enta cakap macam tu. Ana kenal siapa Zulfah, dan ana yakin di hatinya hanya suami dia, bukan yang lain. Apatah lagi pada ana yang pernah mengecewakan dia suatu waktu dulu. Ermm..ada cara untuk selesaikan hal ni. Enta bawa ana jumpa Abang Ki dan bawa Zulfah sekali. Kita bincang baik-baik. Ana yakin ni hanya salah faham antara mereka. Dan ana akan terangkan segala-galanya kepada Abang Ki untuk kebaikan semua.”

“Erm…kalau macam tu, minggu depan kita jumpa boleh? Ana akan pujuk Abang Ki dan Zulfah nanti. Terlalu besar sayang enta pada Zulfah, Am. Moga Allah anugerahkan seorang puteri solehah dan sebaik Zulfah untuk enta.”

Hambali tersenyum, pedih di hatinya tiada siapa yang tahu melainkan hanya Dia sang Pemilik hati. Fakhri mengucap syukur kepada Tuhan kerana dia pasti jika temannya itu bertemu dengan abang dan kakak iparnya, semuanya akan baik dan berjalan dengan mudah.

——————————————————————————-

Hari ahad. Zulfah mendapat khabar dari Fakhri menyatakan suaminya sakit. Baru dimasukkan ke wad pagi tadi. Dia tertanya-tanya sendiri sakit apakah yang melanda suaminya yang tercinta. Terkejutnya bukan kepalang, mahu dia menangis sekuat hatinya kerana dia merasa berdosa kepada suaminya itu. Zulfah bergegas ke hospital, cik Pretty yang dipandu olehnya seakan mengerti perasaannya yang sedang diamuk walang. Dia menangis semahunya namun mindanya mengatakan dia harus berhati-hati. Dia tahu kebarangkalian wanita yang memandu dalam keadaan tidak menentu akan menyebabkan kemalangan di jalanan. Dia masih ingat ketika dia membaca artikel tentang itu dan dia sentiasa mengajar dirinya agar selalu mengingati Allah walau di mana pun dia berada.

‘Allah…selamatkan perjalananku dan tolong selamatkan suamiku. Tolong ya Allah…’

Zulfah merintih sedih mengingatkan suaminya yang entah apa sakitnya yang dia sendiri tidak tahu. Suaminya tidak pernah mengkhabarkan tentang hal itu. Atau mungkin sakit suaminya disebabkan dirinya yang semakin menjauh dan punca juga bermula kerana dinginnya hubungan mereka suami isteri. Itu yang bermain di benak Zulfah. Butiran air matanya semakin laju memikirkan suaminya yang mungkin keseorangan di hospital. Rindunya yang memuncak kepada Faruki semakin menjadi-jadi. Dirasakan dirinya begitu berdosa. Ya, sungguh berdosa!

Tiba di Hospital Pantai, Zulfah terus ke kaunter. Kakinya laju melangkah ke bilik nombor 16 setelah diberitahu oleh jururawat yang bertugas. Pintu wad dibuka, dia melihat tubuh suaminya terlantar di katil dengan wajah yang pucat. Hati Zulfah hiba melihatkan Faruki yang masih dalam keadaan tidak sedarkan diri. Dia manangis lagi.

“Abang…maafkan Ifah. Tolonglah bangun bang..please..jangan buat Ifah macam ni. Ifah tahu Ifah yang salah tapi tolonglah buka mata abang..”

Faruki sedikit pun tidak berganjak dari perbaringannya. Matanya masih tertutup rapat, tiada respon. Zulfah jadi bertambah risau. Tangannya mula terasa dingin dan sejuk malah jantungnya seakan berhenti seketika melihatkan keadaan suami tercinta.

“Abang..bangunlah bang. Ifah datang ni. Ya Allah…apa dah jadi dengan suami aku ni…tolong ya Allah, selamatkan suamiku..”

Jari telunjuk Faruki bergerak sedikit. Matanya mula terbuka. Faruki dapat merasakan dingin tangan seseorang yang terlalu rapat dengan dirinya sedang memegang erat jemari kasarnya itu. Ya, dan seseorang itu adalah isteri kesayangannya yang sudah begitu lama tidak ditatap. Rindu buat isterinya tiada tandingan, hanya Zulfah yang bisa menjadi penawar hidupnya. Dia memandang wajah kesayangannya dengan pandangan yang bahagia. Dia tersenyum indah. Zulfah memandangnya dengan pandangan yang sayu, air matanya tidak henti-henti mengalir persis hujan yang mencurah-curah ke bumi.

“Sayang…shh jangan nangis lagi. Abang tak apa-apa, insyaAllah. Dah ya..”

“Abang..abang dah bangun. Ifah minta maaf sebab tak jalankan tanggungjawab Ifah dengan baik. Ifah berdosa bang…maafkan Ifah. Abang maafkan Ifah kan..?”

Zulfah mengucup tangan suaminya dengan penuh rasa kasih. Faruki hanya tersenyum walaupun dia merasa begitu sakit di bahagian dadanya. Kolam mata Faruki memerah menahan sebak dan tangis.

“Ya..abang maafkan Ifah. Abang pun minta maaf sebab biarkan Ifah merajuk lama-lama. Tak patut abang buat Ifah macam tu. Maafkan abang ya sayang…abang rindukan sayang, terlalu rindu..”

“Ifah dah lama maafkan abang…Ifah juga rindukan abang, Ifah cintakan abang. Tolong abang, jangan buat Ifah macam ni…”

Air mata Faruki tumpah jua akhirnya. Menangis kerana rasa syukur kepada Illahi yang telah mengaturkan rencana yang maha hebat ini. Setiap yang direncanakan pasti ada hikmah disebaliknya.

“Sudah ya sayang…abang tak apa-apa. Sayang jangan nangis lagi, abang juga cintakan Ifah. Ifah segala-galanya bagi abang. InsyaAllah abang akan sembuh nanti.”

Zulfah mengangguk, tangannya masih erat memegang tangan kiri Faruki. Jemari di tangan kanan Faruki menyeka butiran air mata di pipi isterinya. Faruki merasakan dirinya kini sudah tidak berdaya untuk membahagiakan isterinya apatah lagi mengimpikan hidup indah bersama anak yang bakal dilahirkan Zulfah nanti. Hatinya pedih mengenangkan semua impiannya itu yang barangkali tidak sempat untuk dia kecapi. Matanya menatap wajah sayu milik kesayangannya itu, kelihatan wajah yang selalu dirindukannya memendam beribu rasa dibenakknya. Hati Faruki mula meneka sesuatu yang membuatkan parasnya tersenyum sendiri. Dia yakin dan pasti sesuatu yang difikirkan logik dek akalnya itu bisa membuatkan isterinya itu bahagia bersama anaknya nanti. Faruki tersenyum. Zulfah yang sedari tadi melihat suaminya itu tersenyum menjadi hairan, tangisannya mula beransur pergi.

********************************

Slm kembali..dah terlalu lama xupdate BBL ni. sgt sibuk  smpai xde masa nak update. Moga ada manfaatnya pd episod 20 ni. byk lg yg perlu diperbaiki sbnrnye. Terima kasih atas sokongan dan dokongan anda semua.

Happy Reading guys! 😉

Advertisements

BBL-Episod 19

Cik Pretty ku pandu dengan hati-hati. Di fikiranku hanya satu nama yg ku rindukan, Faruki. Kenapa dia hanya berdiam diri sedangkan masalah ini berpunca darinya? Aku bingung memikirkannya. Adakah aku yang salah? Atau mungkin kasih Faruki kepadaku sudah hilang dek kerana puting beliung Hambali yang melanda? Kenapa mesti ada kaitan dengan Hambali?? Aku sudah berputus harap kepada Faruki. Jika berpisah adalah jalan yang terbaik untuk kami, aku redha ya Allah. Tetapi anak ini? Mana mungkin aku sendirian membesarkannya sedangkan ayahnya masih ada. Ya Allah…jangan kau pisahkan kami di waktu ini kerana aku masih memerlukan suamiku. Aku menyayanginya ya Allah..teramat.

Di hadapan rumah Abang Long, aku termenung sejenak. Apa betul tindakan yang aku telah putuskan ini? Ya..Abang Long harus mengetahui keadaanku. Harus. Pretty bergerak penuh yakin memasuki perkarangan rumah Abang Long. Setiba di hadapan pintu rumah, aku memberi salam. Pretty ku parking di halaman rumah Abang Long yang sederhana besar itu. Kak Long membuka pintu dan menyambutku penuh kasih. Badanku yang sedikit berisi dipeluk erat oleh Kak Long. Tanpa dipinta, air mataku tumpah. Kak Long hairan melihat keadaanku, dia jadi serba salah. Tuntas Kak Long memimpin tanganku dan kami duduk di kerusi buatan rotan yang sudah setahun rasanya Abang Long memilikinya. Diam. Beberapa minit kemudian, Abang Long melangkah menuruni anak tangga dan mendapatkanku. Salam diberi tuntas aku memeluk erat tubuh Abang Long. Abang Long dan isterinya saling berpandangan. Hairan dan tertanya-tanya barangkali, apa yang sedang berlaku sebenarnya. Pelukan ku lepaskan. Wajah-wajah kesayangan di hadapanku dipenuhi dengan pelbagai persoalan. Aku menenangkan diri dan beristighfar di dalam hati. Hanya Tuhan yang tahu dan mengerti perasaanku waktu ini.

“Ngah..kenapa ni? Ada yang tak kena ke?”

Abang Long bersuara dan pertanyaan itu jelas kedengaran di telingaku. Aku memandang Abang Long penuh harap.

“Ifah..kenapa ni sayang? Cuba cerita pada kami. Kak Long tengok Ifah makin kurus, cengkung je.”

Kak Long juga tidak lepas untuk menanyakan hal yang sama. Perubahan pada diriku memang ketara. Selama dua minggu, aku kurang selera makan. Malah  ubat-ubat yang Faruki belikan tidak ku jamah sama sekali. Morning sickness yang ku alami begitu teruk hinggakan selara makanku terbantut. Apatah lagi masalah yang membebankan fikiran dan jiwaku terlalu mempengaruhi emosi dan perasaan. Abang..Ifah rindukan abang..aku merintih..

Aku membetulkan duduk dan bersedia untuk membicarakan semua masalahku kepada Abang Long dan Kak Long. Wajahku yang sugul memandang kedua mereka dengan penuh harapan agar mereka dapat membantuku nanti.

“Faruki abang…”

Bicaraku terhenti. Abang Long bertanya lagi. Kak Long mengerutkan dahinya.

“Kenapa dengan Faruki? Cuba terus terang dengan abang. Dia buat apa kat angah?”

“Tak..cuma dua minggu ni Faruki tak tidur kat rumah. Angah ingat nak minta tolong abang. Semua ni salah faham je, angah sikit pun tak jangka sampai macam ni sekali.”

“Ya Allah..kenapa sampai boleh jadi macam tu? Apa dah jadi dengan kamu berdua sebenarnya ni? This is serious matter.”

Riak wajah kak Long nampak terkejut. Abang Long apatah lagi.

“Sebenarnya Faruki baru tahu yang angah pernah bertunang sebelum kami kahwin. Angah pun tak tahu macam mana Faruki boleh jumpa dengan Hambali. Dan angah tak tahu apa yang Hambali dah ceritakan pada Faruki. Angah bingung sekarang ni. Seolah-olah angah yang bersalah dalam hal ni. Memang angah mengaku angah tak pernah beritahu Faruki tentang hal tu.”

“Erm..rumit juga macam ni. Hambali ada contact angah? Abang hairan macam mana Faruki boleh jumpa Hambali.”

“Entahlah bang..kata Faruki, Hambali kawan baik pada Fakhri, adik dia. Dan mereka memang dah kenal sebelum angah kahwin dengan Faruki. Tapi angah tak tahu sejauh mana akrabnya mereka tu.”

“Macam nilah..kita kena berbincang baik-baik hal ni. Abang yakin Faruki bukan lelaki yang tak bertanggugjawab. Abang sebagai lelaki, abang faham kondisi Faruki sekarang. Tapi apa pun angah dah buat keputusan terbaik untuk menyelesaikan masalah ni. Abang rasa Faruki pun tengah cari jalan untuk berdamai dengan angah. Percayalah..Faruki seorang suami yang baik. Angah kena yakin tu.”

“Abang rasa macam mana? Apa patut angah buat? Angah dah bingung..Faruki macam tak nak buat apa-apa untuk angah. Angah rindukan suami angah…”

Aku merintih lagi..butiran air mataku menitis satu demi satu. Kak Long memegang erat tanganku, memahami apa yang ku rasakan. Aku cuba mengutip sisa-sisa semangat yang ada pada kak Long dan abang Long. Kasih mereka padaku membuatkan aku punya kekuatan untuk meneruskan semua ini.

“Sabar Ifah..akak yakin Faruki bukan seperti Ifah bayangkan. Lagipun sekarang Ifah mengandungkan anak dia..mana mungkin dia lupakan tanggugjawab dia sebagai seorang bakal ayah nanti. Ifah sabar ye sayang..akak tahu Ifah kuat semangat. Kita banyakkan berdoa..insyaAllah semuanya akan baik-baik lepas ni. Dah..jangan sedih lagi ya. Akak dan abang Long kan ada..”

“Pada abang…ada baiknya kamu berdua berdepan dengan Hambali. Baru kita tahu apa sebenarnya yang berlaku. InsyaAllah semuanya akan baik-baik lepas ni. Ini hanya salah faham. Mungkin Faruki perlukan masa untuk terima keadaan ni. Dan angah pun perlukan masa untuk merenung kembali apa yang dah terjadi. Itu sebenarnya yang Faruki mahukan. Dia cuma tidak mahu kamu berdua bertegang lidah dan saling menyalahi antara satu sama lain. InsyaAllah abang cuba bantu kamu berdua. Angah tak payahlah fikir banyak sangat. Terjejas kesihatan bayi dalam perut tu.”

Aku mengamati setiap patah kata abang Long. Satu nasihat yang baik bagiku. Ya..kasihan anak ibu. Maafkan ibu sayang…aku menyentuh perut bulatku yang sudah hampir lima bulan. Kak Long dan abang Long tersenyum membuatkan aku punya sedikit kekuatan untuk hadapi dugaan ini.

“Betul tu Ifah..tak elok sedih-sedih macam ni. Kesian bayi kat dalam perut tu. Dah jom kita makan ya. Akak ada masak special untuk Ifah. Tadi bila abang cakap Ifah nak datang..akak punya la excited sebab dah lama rasanya tak jumpa. Ummar pun mesti dah rindu nak jumpa Mak Ngah dia ni.”

Kak Long melebarkan senyuman di bibirnya. Pandai sungguh Kak Long memujukku. Ku rasakan beban yang bermain di fikiranku kini lenyap tatkala mendengarkan pujukan Kak Long yang penuh kasih itu. Ummar…rindunya nak main dengan dia.

“Terima kasih Kak Long..Abang Long. Ifah minta maaf dah menyusahkan akak dan abang. Ummar mana kak? Rindunya kat dia.”

“Tak ada apalah..kita kan satu keluarga. Masalah sama-sama kita selesaikan. InsyaAllah akan selesai dengan baik. Abang Ifah pun asyik duk teringat kat Ifah. Maklumlah, dah lama Ifah tak datang. Kami pun sibuk, tak sempat nak pergi jenguh Ifah. Ummar ada..tidur kat atas. Malam ni Ifah tidur sini ya..akak risau Ifah drive malam-malam macam ni. Sorang pulak tu.”

“Erm..tulah. Masing-masing sibuk. Ummar dah tidur? Erm..nampak gayanya memang kena tidur sini. Ifah penat nak drive. Tadi pun paksa diri je sebab nak datang sini.”

Kami beranjak ke ruang dapur untuk menjamah hidangan yang dimasak Kak Long. Sedap! Aku tampak berselara kali ini. Mungkin kerana Abang Long dan Kak Long sudah mendengarkan masalahku dan beban itu sekali gus hilang dari kotak mindaku. Selepas makan malam..kami berkongsi cerita dan kerja masing-masing. Banyak yang kami bualkan sehingga tidak sedar jam sudah mencecah ke pukul 1.00 pagi. Seusai bercerita itu dan ini, kami ke kamar masing-masing. Dan aku terlena. Ada damai ku rasakan ketika aku menutup mata. Dao ku pohon agar segala beban dan ujian ini akan lenyap dibuai angin malam.

Jam 4.30 pagi. Aku terjaga dari tidur. Tanpa membuang masa, aku melangkah ke kamar mandi untuk berwudu’. Mahu bertaqarrub kepadaNya, ingin mengadu semua keresahan dan kesedihan yang melanda. Tiada lain yang dapat membantu dan melindungiku selain Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Aku bertafakkur sejenak, nama Faruki sentiasa bertandang di lubuk hatiku. Sungguh aku terlalu merindui suamiku ya Allah. Rantaian air mataku mula mengalir..ya Allah kuatkan hambaMu ini..

—————————————————————-

Faruki berteleku di sejadah pemberian isterinya waktu pernikahan mereka dahulu. Faruki yakin isterinya bermalam di rumah Abang Long kerana setibanya di rumah malam tadi kelibat isterinya sudah tidak ada. Resah di hati Faruki bertandang kembali tika mengingatkan isterinya yang sedang berbadan dua itu. Faruki mamandang jam di dinding biliknya, sudah hampir pukul 5.00 pagi. Tubuhnya yang letih itu perlukan rehat secukupnya untuk bekerja esok hari. Namun matanya tidak mampu lelap. Dia mengambil mushaf al-Quran pemberian Zulfah waktu pernikahan mereka..Ahh..setiap sudut di rumahnya punya kenangan Zulfah. Mana mungkin dia berpisah dengan wanita kesayangannya itu. Dialunkan ayat-ayat suci kitabullah itu dengan hati yang damai. Air mata Faruki jatuh satu persatu. Memori indah bersama isterinya itu terus terusan melambai satu persatu persis lembaran al-Quran yang dibuka setiap helaian. Wajah Zulfah seakan menari-nari di mindanya.

Usai bertilawah, Faruki menyandarkan tubuhnya di tepi katil. Matanya masih tidak mahu lelap. Telefon bimbitnya direnung sedalamnya. ‘Haruskah aku menelefon Zulfah?’ Jauh di sudut hatinya, dia begitu rindu untuk mendengarkan suara indah isterinya. Dia yakin dan pasti Zulfah juga sedang sujud kepadaNya di waktu ini. Kerana itu sudah rutin harian mereka sejak awal pernikahan lagi. Faruki cuba menenangkan dirinya. Tidak mahu emosi menguasai dirinya, dia harus kuat demi ikatan suci ini. ‘Ya! aku harus menelefon Zulfah, mungkin dia sudah sedikit tenang sekarang. Jangan buang masa Faruki!’

Faruki mendial nombor Zulfah namun hampa. Telefon Zulfah masih dimatikan. Faruki mengeluh. Dia sudah buntu mencari jalan penyelesaian untuk mereka berdua. Tiba-tiba Faruki teringatkan adiknya, Fakhri. Faruki tersenyum kelat. Mungkin adiknya itu punya jalan yang terbaik untuk memperbaiki hubungannya dengan Zulfah. Harapannya semoga keadaan akan kembali pulih kerana dia sudah tidak sanggup untuk mengusung beban rindu yang bersarang di hatinya. Benar! Faruki terlalu merindui Zulfah, tidak kalah juga dengan Zulfah yang sering merindui suaminya yang tercinta. Melodi rindu mula berirama di benak dan jiwa mereka bahkan cinta yang tersemai rapi keduanya masih utuh tidak rapuh dek badai yang melanda.

BBL-Episod 18

Kesibukan yang melanda kedua pasangan suami isteri itu membuatkan masing-masing tidak punya waktu untuk berbicara. Kadang-kadang Faruki tidak pulang ke rumah, dia lebih selesa bermalam di biliknya tempat dia bertugas. Manakala Zulfah menyelesaikan tugasannya sebagai penulis di rumah. Begitulah keadaan mereka selama dua minggu berturut-turut. Tiada kemesraan antara mereka malah Zulfah sedikit pun tidak mengendahkan suaminya. Apabila Faruki menyatakan dia tidak pulang ke rumah, Zulfah hanya mengatakan ‘OK’ ketika membalas mesej Faruki. Faruki sedikit berkecil hati dengan tingkah Zulfah tetapi dia sedar semua yang berlaku bermula darinya. Jadi dia harus bersabar dalam menangani masalah ini. Zulfah memerlukan masa untuk merenung dan mengukur kembali apa yang telah terjadi antara mereka. Faruki juga harus muhasabah dirinya sendiri dan memikirkan cara yang terbaik untuk memulihkan keadaan. Tiba-tiba Faruki teringatkan adiknya, Fakhri. Mungkin Fakhri boleh membantu mereka dalam menyelesaikan masalah ini. Tanpa lengah Faruki mendial nombor adiknya.

“Assalamualaikum..kat mana ni?”

“Waalaikumsalam. Ada kat rumah ni. Kenapa?”

“Abang nak jumpa kau sekejap boleh? Ada hal penting.”

“Kat mana? Confirmkan betul-betul. Nanti Yie datang. Mesej tempatnya ok.”

“Ok..terima kasih.”

Tit..talian dimatikan. Faruki tersenyum puas. Sekurang-kurangnya adiknya boleh mengurangkan sedikit bebannya. Fakhri terlalu rapat dengan Hambali. Mungkin dia boleh membantu apa yang patut. Di mindanya, wajah Zulfah sentiasa berlegar-legar. Dia tidak tahu bagaimana lagi harus memujuk isterinya itu. Tanpa lengah, Faruki menaip mesej kepada adiknya memberitahu tempat untuk mereka berjumpa nanti.

‘Jumpa kat Amcorp Mall, kau tunggu kat Rak Thai restoran. Dalam setengah jam lagi abang sampai’.

Messege delivered.

‘Ok bang. Yie datang. On the way.’

Fakhri membalas mesej abangnya dengan pantas. Dia tidak mahu abangnya tertunggu-tunggu jawapan darinya. Dia sendiri tidak tahu apa yang penting sangat abangnya mahu berjumpa dengan tiba-tiba. Fakhri memandu perlahan, temujanji dengan sahabatnya terpaksa ditunda. Walaupun temujanji dengan Hambali begitu penting tetapi kepentingan peribadi abangnya lebih utama. Perjalanannya ke Amcorp Mall tidaklah begitu jauh, hanya mengambil masa dua puluh minit ke sana. Fakhri menelefon Hambali mengatakan perlu berjumpa abangnya atas urusan yang penting. Hambali hanya mengiyakannya. Tuntas Hambali mengingatkan pertemuannya dengan abang Fakhri beberapa minggu yang lepas. Hambali merenung kembali kejadian pada hari tersebut. Apakah urusan penting itu agaknya? Hambali mula menduga dan timbul persoalan di benaknya.

Zulfah merasakan hidupnya selama dua minggu ini tidak begitu terurus. Adakala fikirannya terganggu dan penulisannya juga tidak begitu baik. Mahu sahaja dia pulang ke kampung halaman menemui ummi dan menceritakan segala resahnya. Namun dia tidak mahu menjadi isteri yang nusyuz, membuat keputusan tanpa izin si suami, itu dilaknat oleh Tuhan.

“Apabila perempuan keluar rumah, sedangkan suaminya membencinya, dia dilaknat oleh semua malaikat di langit, dan semua apa yang dilaluinya selain daripada jin dan manusia sehingga dia kembali.”
(Diriwayatkan oleh Thabarani di dalam al-Awsat)

Zulfah cuba untuk mendamaikan keadaannya bersama Faruki tetapi sikap bersahaja Faruki membuatkannya tidak berani untuk menyatakan hal itu. Zulfah bingung memikirkan tentang mereka berdua, tidak tahu apa kesudahannya nanti. Kekadang Zulfah marah dengan dirinya sendiri kerana dia tidak mampu meluahkan rasa dibenaknya kepada Faruki. Faruki juga begitu. Malah lebih kencang amuk di dadanya memikirkan ketidakserasiannya bersama Zulfah. Dia harus melakukan sesuatu supaya keadaan rumahtangga mereka menjadi lebih baik. Zulfah tiba-tiba teringatkan abangnya, Zuhdi. Mungkin abangnya bisa membantu dia dan suaminya untuk berdamai. Apatah lagi kasih sayangnya kepada Faruki terlalu dalam. Malah anak yang bakal dilahirkannya adalah satu bukti cintanya buat Faruki tidak pernah berkurang. Zulfah menaip text pesanan ringkas buat abangnya menyatakan dia mahu bertandang ke rumah abangnya jika ada kesempatan. Ada hal penting yang perlu dibincangkan. Zuhdi membalas serba ringkas.

‘Wslm..abang ada kat rumah malam ni. Kalau nak datang boleh je. Jumpa malam nanti.’

Zulfah menarik nafas lega. Tuntas menaip mesej buat suaminya meminta izin untuk ke rumah abangnya malam nanti. Mesej Zulfah dibalas dengan satu perkataan ‘OK’ sahaja. Dia sedikit berkecil hati tetapi dia tetap bersabar kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Malah Zulfah sendiri sedar dia juga pernah membalas mesej begitu buat Faruki. Jadi tidak hairanlah Faruki mengenakan paku buah keras kepadanya.

“Dan jika kamu bimbangkan perpecahan di antara mereka berdua (suami isteri) maka lantiklah “orang tengah” (untuk mendamaikan mereka, iaitu), seorang dari keluarga lelaki dan seorang dari keluarga perempuan. jika kedua-dua “orang tengah” itu (dengan ikhlas) bertujuan hendak mendamaikan, nescaya Allah akan menjadikan kedua (suami isteri itu) berpakat baik. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui, lagi amat mendalam pengetahuanNya.” [AnNisa’ : 35]

Fakhri menunggu Faruki di restoran Rak Thai. Hampir lima belas minit berada di situ, abangnya datang. Wajah abangnya sedikit muram dan tampak tidak terurus. Fakhri pun tidak tahu mengapa sedemikian abangnya itu. Faruki duduk berhadapan dengan Fakhri. Mereka saling berpandangan sejurus sahaja bersalaman.

“Dah lama kau tunggu Yie?”

“Taklah lama pun. Abang ni kenapa? Yie tengok semacam je. Dengan rambut macam tu, tak terurus. Sibuk sangat ke kerja?”

“Ermm..kerja tu satu hal. Satu hal lagi pasal kakak ipar kau tu. Abang rasa kena minta tolong kau untuk selesaikan masalah abang ni.”

“Kenapa dengan kak Ifah? Abang buat apa kat dia?”

“Mana ada buat apa-apa. Sekarang ni je dingin sikit. Cuma abang nak tanya kau sikit pasal Hambali. Hal ni ada kaitan dengan dia.”

“Hambali? Kenapa pula dengan dia? Apa kaitan dia dalam hal rumahtangga abang? Jangan kata dia nak rampas kak Ifah pula.”

“Taklah…cuma masalah ni berpunca apabila abang dapat tahu yang Hambali tu bekas tunang Ifah. Abang betul-betul tak sangka.”

Fakhri terlopong mendengarkan kalimah abangnya. Biar benar Hambali bekas tunang kakak iparnya itu. Bila pula Hambali putus tunang? Masakan Fakhri tahu tentang itu, mereka sudah lama tidak bertemu mata. Patutlah Hambali selalu mengelak pabila ditanya tentang tunangannya. Baru Fakhri faham apa sebenarnya yang sudah berlaku. Kenapalah Fakhri tidak dapat mengesan semua itu semenjak Zulfah bergelar kakak iparnya? Memang sah Zulfah bekas tunangan Hambali, nama yang sama kepada isteri abangnya itu. Kecilnya dunia ini. Fakhri sejenak berfikir tentang sahabatnya, Hambali.

“Sungguh Yie tak tahu menahu tentang tu. Hambali pun tak pernah cerita kat Yie yang dia dah putus tunang. Jadi apa masalahnya sekarang? Abang jeles bila dapat tahu kak Ifah bekas tunang Hambali?”

“Ermm…sejujurnya memang abang jeles tapi abang dah jumpa dengan Hambali dan dengar semua tu dari mulut dia. Abang tahu Hambali lelaki yang baik, dia takkan rosakkan rumahtangga abang. Cuma Ifah sekarang ni buat tak layan dengan abang sebab abang beritahu dia yang abang jumpa Hambali.”

“Allah..macam tu rupanya. Tapi macam mana abang dapat tahu semua tu?”

“Panjang ceritanya.”

Faruki menceritakan satu persatu perihal pertemuannya dengan Hambali dan bagaimana hal itu terbongkar tanpa pengetahuan Zulfah sehinggalah Zulfah mendapat tahu tentang itu. Sememangnya Faruki berkecil hati apabila mendapat tahu perkara duduk yang sebenarnya namun dibuang jauh-jauh perasaan itu kerana tidak mahu rumahtangga mereka berantakan tetapi akhirnya keadaan seperti mengizinkan hal itu terjadi. Namun bagi Faruki kasih sayangnya buat wanita bernama Zulfah itu terlalu mendalam apatah lagi dia akan menjadi ayah kepada anak di dalam kandungan Zulfah. Mana mungkin dia melupakan pengorbanan dan kasih sayang Zulfah buatnya selama ini. Jadi dia harus melakukan sesuatu sebelum terlambat.

“Erm..rumit juga masalah abang ni. Yie bukan tak nak tolong tapi ada baiknya abang duduk berbincang dengan kak Ifah. Lagi bagus kalau Hambali ada sekali. Biar semua mendapat penjelasan yang sepatutnya. Bagi Yie abang dah terlalu matang untuk fikirkan hal ni. Cuma mugkin keadaan mendesak abang untuk buat semua tu. Yie faham. Abang telefonlah kak Ifah, cuba pujuk dia semula.”

“Dah banyak kali abang cuba nak berbaik dengan dia tapi dia yang tak ada respon. Abang buntu sekarang ni. Dah dua minggu macam ni. Abang rindukan isteri abang dan anak abang….”

Bicara Faruki begitu tulus pada pendengaran Fakhri. Fakhri begitu simpati mendengarkan luahan rasa abangnya itu. Sungguh! Batin Faruki terseksa bila mengingatkan isterinya apatah lagi kini sedang berbadan dua. Fakhri cuba menyusun kata yang sesuai buat abangnya, tidak mahu abangnya itu bersedih hati. Dia mengerti perasaan abangnya itu.

“Sabar bang..insyaAllah ada jalan penyelesaiannya nanti. Yie akan cuba bantu abang semampu yang boleh. InsyaAllah Yie akan telefon kak Ifah nanti. Abang jangan risau sangat ya? Abang kena kuat untuk kak Ifah dan anak abang nanti..banyakkan memohon kepada Dia.”

Fakhri cuba memujuk hati abangnya agar tidak terlalu dilarut kesedihan. Dia bimbang kalau-kalau rumahtangga abangnya nanti berantakan hanya disebabkan salah faham ini. Fakhri yakin dia akan membantu abangnya sedaya yang mungkin. Dia nekad. Hambali tujuan utamanya nanti. Ya..dia harus bertemu Hambali secepat yang mungkin.

“Terima kasih Yie. Abang harap semuanya akan baik-baik nanti. Abang hanya mampu berdoa sekarang ni. Abang terlalu sayangkan Ifah…terlalu Yie..”

Faruki seakan mahu menitiskan air mata. Kolam matanya sudah bergenang hanya menunggu masa untuk mengalir. Namun dia harus kuat untuk hadapi dugaan Allah yang satu ini. Faruki beristighfar dan memohon di dalam hati agar dirinya kuat dan tabah untuk hadapi semua ini.

Ibn Qayyim mengatakan, “Doa adalah musuh segala bencana. Ianya dapat menolak malah dapat menghilangkannya. Ataupun sekurang-kurangnya doa itu akan dapat meringankan segala bentuk musibah yang datang.” -Kitab Ad dah’ Wad Dawaa’-

————————————————-

Salam Perjuangan! Alhmdulillah sekian lama Mz xupdate novel ni,hri ini sempat jg mengupdate Episod ke 18. Terima Kasih ya Allah.

Selamat Membaca dan menghayati kisah ini. Sudah byk episod yg Mz dah siapkn cuma perlukan masa utk mengupdate. Mohon maaf buat pembaca sekalian. Salam Sayang dan Rindu dri Mz Permata yg hina! 🙂

BBL-Episod 17

Tanggal 17 Sya’ban. Aku dan keluarga menziarahi keluarga Hambali untuk silaturrahim dan menyatakan keputusanku kepada Hambali. Sungguh hati ini begitu tercalar sekali dengan apa yang akanku putuskan. Aku cuba untuk memaniskan wajah di hadapan mereka. Tidak sanggup rasanya berlama-lama di rumah mereka apatah lagi jawapan yang akanku berikan nanti adalah sesuatu yang menyakitkan buatku, mungkin juga buat Hambali. Tetapi itulah jalan yang telah Allah tunjukkan kepadaku, aku harus pasrah dan redha untuk melawan segala rasa yang ada di benakku. Ikhlaskah aku?! Ya Allah…berikan kekuatan kepadaku..

Perjalanan ke Johor Bahru ku rasakan begitu jauh. Kami bermalam di rumah Mak Andak yang tidak begitu jauh dari daerah tempat tinggal keluarga Hambali. Hanya memakan masa sejam lebih untuk ke Kota Tinggi. Dalam perjalanan ke rumah Hambali, aku banyak termenung dan lebih suka mengunci mulut. Kesejukan penghawa dingin membuatkan aku sedikit menggigil. Perasaan bimbang menular ke seluruh rongga arteriku. Seram sejuk. Ummi dan abah juga masih belum mengetahui jawapan yang telah ku putuskan. Pasti mereka juga akan terkejut dengan jawapanku nanti. Tiada penyokong yang menyebelahiku waktu ini persis pemain bola sepak yang tidak punya sokongan dari pasukan penyokong. Bezanya aku hanya sendirian berlainan watak dengan satu pasukan bola sepak. Hanya aku dan Dia sahaja yang mengetahui jawapanku ini.

Di hadapan kanan banglo keluarga untie Ruqaiyyah, tersergam indah landskap buatan yang ku kira harganya agak mahal. Cantik. Ketenangan menerjah di seluruh rongga tubuhku. Sungguh pandai untie Ruqaiyyah membuat pemilihan landskap sebagai aksesori ruangan halaman di rumahnya. Pasti untie Ruqaiyyah punya citarasa yang tinggi. Aku menduga sejenak. Di hadapan pintu utama terpacul wajah yang sering kudambakan. Dia penyambut pertama kedatangan kami. Malah bibirnya menguntum senyum yang indah buat kami sekeluarga. Aku seakan di awan-awangan pabila melihat dirinya yang ceria pada pandanganku. Sekiranya dia sudah halal bagiku, pastinya akan ku dakap dirinya. Astaghfirullahal ‘azim…apa aku ni! Jangan Zulfah! Dia bukan milikmu bukan jua jodohmu…buang segala anganmu itu. Titik! Tuntas aku kembali ke alam realiti. Alam yang ku cipta sendiri itu hanya angan-angan yang tidak mungkin akan menjadi nyata.

Abah mendahului kami ke pintu utama rumah untie Ruqaiyyah dan uncle Hamzah. Setelah salam diucapkan, kami bersalaman antara satu sama lain. Kecuali yang bukan mahram. Hambali terus-terusan memandangku, kaget aku jadinya. Rimas pun ada bila dipandangku sebegitu. Ketika melangkah masuk, aku menanggalkan niqab dan kami dipersilakan duduk di sofa ruangan tamu yang cukup besar pada amatanku.

“Akhirnya sampai juga keluarga En. Syarif ke rumah kami ni. Hambali ni dah tak sabar benar menunggu. Dari tadi asyik mengintai-intai pintu tu. Sihat ke semuanya?”

Baba Hambali memulakan bicara sebagai tuan rumah yang mengakramkan tetamunya. Aku bagai dipanah tika uncle Hamzah mengatakan sedemikian. Ku menundukkan wajah, terasa malu untuk berpandangan dengan mereka. Hambali hanya tersenyum.

“Alhamdulillah kami baik. En. Hamzah sekeluarga macam mana? Nampaknya sihat-sihat belaka. Tulah..dah lama hajat nak datang cuma waktu je yang tak ada. Lagipun Zulfah ni malu katanya nak datang sini.”

Uncle Hamzah tergelak kecil mendengarkan pernyataan abah. Aduh! Malu aku dibuatnya. Kalaulah ditanya tentang jawapanku nanti, apa aku kuat untuk menyatakannya? Ahh..rumit! ya Allah kuatkan aku..

“Alhamdulillah bertambah sihat sejak nak dapat menantu baru ni. Alah..apa nak dimalukan. Lagipun tak lama lagi Zulfah akan jadi sebahagian dari keluarga ni. Kalau Zulfah nak datang beritahu je pada Am, dia boleh pergi ambil Zulfah kat kampus. Ye tak Am?”

Hambali tersenyum lagi. Mukanya mula memerah. Menahan malu diusik sebegitu. Aku apatah lagi. Terasa bagai nak pecah muka ni! Mahunya aku keluar ke halaman, tidak sanggup rasanya mendengarkan perkataan menantu di bibir uncle Hamzah. Padahal hatiku begitu menginginkannya tetapi Allah telah menunjukkan jalan yang terbaik buatku dan juga Hambali. Mungkin juga mereka saja mengusikku supaya aku tetap terus untuk menerima Hambali sebagai calon suamiku. Allahuakbar! Rasa berat hati ini untuk menyatakan jawapanku nanti pabila melihatkan dua keluarga sudah pun memateri janji untuk menyatukan kami. Apa mungkin aku harus istikharah lagi untuk mendapatkan kepastian? Ligat mindaku memikirkan hal itu. Ku lihat wajah Hambali tidak sedikit pun muram seperti hari di mana keluarganya bertandang ke rumahku. Apa dia sudah redha dengan apa sahaja jawapanku? Atau itu hanya lakonan semata? Allah…macam mana ni? Tolong hambaMu ini..

“Tak payahlah nak susah-susah Hambali. Ifah ni mandiri orangnya, kuat semangat. Kalau dia nak datang, dia boleh datang sendiri. Mak cik percayakan keluarga ni.”

Ummi mula bersuara. Dah memuji anak sendirilah pula.  Ishh…lagilah tak selesa aku dibuatnya. Betul ke aku ni kuat semangat?? Mungkin orang nampak aku persis itu tetapi pada hakikatnya tidak. Aku insan yang terlalu lemah. Ummi..apa yang ummi lihat tidak seperti apa yang Ifah rasakan..Aku sedikit mengeluh, gusar kian bertandang. Kebarangkalian untuk aku menyatakan jawapanku kepada Hambali mungkin akan ditunda pada saat yang tepat. Bukan pada waktu ini.

“Tak kisahlah mana-mana pun Pn. Zaharah. Kita ni tak lama lagi nak berbesan. Susah senang kita tanggung sama-sama. Tak gitu En. Syarif?”

Mereka sama-sama ketawa mendengarkan kata-kata uncle Hamzah. Aku dan Hambali hanya diam seribu bahasa. Kami saling berpandangan. Pada riak wajahnya, ku lihat ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku. Aku terfikir bagaimanakah agaknya riak wajahku tika ini yang membuatkan Hambali begitu curious.

“Hai..diam je kamu berdua ni? Tak ada apa ke nak cakap? Takkan Ifah datang jauh-jauh nak diam macam ni je?”

Abah berpaling padaku tuntas berpaling kepada Hambali. Kami terpana. Mata kami bertembung. Cepat-cepat aku menundukkan wajah. Malu.

“Errrrr…..”

Jawapan kami seiring. Lantas terus terdiam semula. Kami berpandangan lagi. Ya Allah..macam mana boleh sama pula ni. Aku jadi kaget dan automatiknya, aku berlari anak ke beranda hadapan. Terasa malu sekali. Batinku terseksa diperlakukan sebegitu. Mahu rasanya aku menangis di hadapan mereka tetapi mana mungkin. Aku harus kuat!  Mereka berpandangan antara satu sama lain. Barangkali hairan melihatkan tingkahku ini. Mungkin pada mereka aku begitu malu diusik sebegitu rupa. Mereka hanya tersenyum tetapi aku? Ah..sakitnya ya Allah..

Suara Hambali memanggil namaku. Aku terseksa. Sungguh! Ada titisan di pipiku. Aku menundukkan wajah, tidak mahu Hambali melihat parasku yang sedang bersedih duka.

“Zulfah..maafkan baba saya. Baba memang suka mengusik kita macam tu.”

Diam.

“Zulfah…kenapa dengan awak ni? Awak menangis?”

Diam lagi. Aku sedikit terpana dengan soalan Hambali. Dia nampak ke aku menangis?

“Zulfah..pandang saya. Saya tahu awak menangis. Maafkan saya.”

Aku cuba untuk menyembunyikan perasaanku tika ini. Ucapan maaf dari Hambali tidak sedikit pun membuatkan aku reda.  Cepat-cepat aku mengesat titisan di pipiku.

“Tak..saya ok. Saya cuma malu. Ermm..saya tak apa-apa. Awak sihat?”

Ku cuba berbasi-basi menanyakan khabar Hambali, tidak mahu banyak persoalan timbul antara aku dan dia.

“Alhamdulillah..macam awak tengok sekaranglah. Tapi saya rasa awak tak sihat. Awak sakit?”

Apa jenis soalan ni? Ada pula kata aku sakit. Muka aku ni nampak sakit ke? Aku hairan.

“Errr…awak nampak saya sakit ke?”

“Tak..tapi mata hati saya yang kata macam tu. Saya dapat rasa awak sakit sekarang ni. Sebab kita kan? Saya tahu awak dah ada jawapannya.”

Aku terdiam. Tidak tahu harus bicara apa.

“Zulfah..kalau awak dah ada jawapan itu tolonglah beritahu saya. Dah tak sanggup rasanya buat awak menderita kerana saya. Apa pun keputusan awak, saya redha. Allah tahu mana yang terbaik buat kita.”

Hambali bicara ikhlas seakan dia bersedia menerima segala apa yang akan ku putuskan. Aku bingung. Apa aku sudah bersedia untuk memutuskan tali pertunangan kami yang sudah terbina selama empat purnama ini? Kusut.

“Ermm..saya masih tiada jawapan untuk itu.”

“Awak yakin masih belum ada jawapan? Atau pun awak tidak sanggup untuk sampaikan kepada saya dan keluarga? Atau mungkin awak tetap ingin pertunangan ini diteruskan?”

Hambali tersenyum. Rasanya dia sudah mengagak apa jawapan ku nanti. Cuma dia masih perlukan jawapan itu keluar dari bibirku. Atau mungkin dia masih mengharap hubungan ini dapat diteruskan hingga ke gerbang pernikahan? Aku tidak dapat menduga hatinya apatah lagi menyelami perasaannya waktu ini. Seharusnya aku sudah bersedia untuk menyatakan keputusanku. Ahh..aku perlukan kekuatan. Tetapi sampai bila harus ku menunggu untuk menyatakan jawapanku ini? Aku mengeluh.

“Kenapa mengeluh? Tak baik mengeluh macam tu, Allah tak suka. Awak tak nak jawab soalan saya tadi? Erm..tak apalah. Take your time. Maybe you just need more times to think about us.”

“Ermm..maafkan saya.”

Tanpa banyak bicara, aku meninggalkan Hambali di beranda keseorangan. Ku terus masuk dan menuju ke dapur melihatkan ummi dan untie Ruqaiyyah sibuk menyediakan sesuatu di dapur.

Hambali buntu seketika. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dirasakan bagai kehilangan pabila Zulfah meninggalkannya tanpa jawapan yang pasti. Hambali meraup wajahnya. Dia masuk menuju ke ruang tamu untuk menyertai babanya dan pak cik Syarif. Di mindanya hanya memikirkan Zulfah. Gadis itu nampaknya tidak mahu berbicara dengannya. Apa lagi memberikan jawapan pada persoalan yang bermain di benaknya itu. ‘Kenapa Zulfah? Ya Allah..tenangkan hati ini dengan setiap ketentuanMu’. Hambali berdoa di dalam hati moga diberi sejuta ketenangan menghadapi hal yang mendatang di kemudian hari. Jika sudah tertulis Zulfah bukan miliknya, dia redha walaupun hatinya begitu sakit. Namun sebagai lelaki dia harus menjaga perasaannya itu agar tidak tampak lemah pada pandangan sesiapa kecuali Allah yang Maha Mengetahui.

Setelah usai menjamu hidangan yang disediakan oleh untie Ruqaiyyah, ummi dan abah dibawa untie Ruqaiyyah dan uncle Hamzah meninjau kawasan rumah mereka. Mereka ke halaman belakang di mana terdapat banyak tanaman yang ditanam sendiri oleh mama dan baba Hambali. Aku ditemani kak Humaira ke biliknya. Kebetulan pada waktu itu abang Azman, suami Kak Humaira tidak ada di rumah. Kak Humaira banyak berkongsi pengalamannya di waktu alam pengajian sehinggalah menimang dua orang cahaya mata. Aku termangu sendirian memikirkan hal itu. Apa mungkin aku dan Hambali akan mengalami saat seperti kak Humaira dan abang Azman? Wallahu a’lam…semuanya sudah tertulis. Aku hanya mampu berdoa semoga impian itu menjadi nyata walaupun suamiku kelak bukanlah Hambali yang selama ini kudambakan. Termenung.

   

———————————————————————

Selamat kembali pd episod ke 17. Mohon maaf sudah lama Mz xupdate. Mz kesempitan waktu dan mengaulakan bbrp prkara yg lebih penting. Doakan Mz dimudahkan sgla urusan.  Aminn..

Selamat membaca…jumpa lg 2minggu akan dtg..i-Allah 🙂                                                                                                                 

BBL-Episod 16

Hambali mundar mandir. Kamarnya kini dirasakan sepi. Bagaikan kehilangan arah..bisu sebisunya. Hadiah pemberiannya buat Zulfah diterima baik ketika kali kedua ke rumah Zulfah, namun hatinya tetap dirundung walah. Baginya Zulfah sudah tidak memerlukan dirinya lagi. Namun ditepis segala andaian itu. Komputer  ribanya dipaut, membuka emel yang dihantar Zulfah sebulan yang lepas. Dia ingin melepaskan keresahan di jiwanya kini dengan bait-bait puisi indah Zulfah. Sungguh! Dia sudah mencintai Nurul Zulfah A’liyah.

Matanya tertumpu pada skrin laptop. Membaca tiap bait puisi dari Zulfah yang entah ke berapa kalinya. Sungguh mendalam maksud puisi rekaan Zulfah. Apa mungkin pengakhiran mereka akan bersatu di alam pernikahan? Hambali menganalisa kembali maksud rangkap kedua terakhir puisi itu. Zulfah sudah pun mengingatkan dirinya tentang itu. Memang benar dia begitu terkesan dengan nasihat melalui bait-bait indah puisi itu. Dia sedar dirinya hanya insan yang terlalu naïf tentang cinta. Berbeza dengan Zulfah yang punya sensitiviti terhadap perasaan cinta dan kasih antara manusia dan Tuhan sekelian alam. Zulfah seorang gadis yang unik pada penelitian fikrah Hambali. Wajah tampan Hambali tersenyum kelat, terbayang paras ayu Zulfah di pandangan matanya. Kali terakhir dilihatnya, Zulfah tampak tidak bermaya. Mungkin kecewa dengan keputusan yang dibuat olehnya. Dia juga kecewa dengan apa yang telah diputuskan. Namun apakan daya, dia tidak mahu menanggung risiko yang mungkin akan membuatkan Zulfah lebih kecewa. ‘Zulfah..maafkan saya’. Entah berapa kali Hambali memohon maaf dari puteri idamannya itu dia sendiri pun tidak tahu malah mahu rasanya dia memohon maaf berjuta-juta kali lagi. Sepi.

******************************************

Zulfah meneliti bungkusan merah hati pemberian Hambali. Hatinya terasa dingin malah terasa tidak perlu untuk menerima hadiah itu. Dibelek-belek kad kecil di hadapannya. Sudah dua hari bungkusan itu tidak disentuh langsung. Bahkan kad ucapan kecil itu juga tidak dibaca olehnya. Tetapi malam ini, hatinya begitu tertarik untuk membuka dan membaca kad comel berwarna merah jambu itu.

————————————————————————–

Salam..

Semoga pemberian ini bisa dijadikan pengubat hatimu.

Terima kasih di atas puisi yang begitu indah. Saya tidak pandai bermadah apatah lagi untuk mengarang puisi sebaik awak. Jazakallahu khairan kathira.

Salam rindu dari perlembahan Nil,

Mohamad Hambali Mohd Hamzah

—————————————————————————-

Mata Zulfah bergenang. Batinnnya terseksa bila mengingatkan puisi yang dinukilkan khas buat Hambali. Sungguh! Dia mula menyayangi lelaki bernama Hambali itu. Tetapi dia tidak mungkin meluahkan semua itu, sekadar mencoretkannya di mata pena. Itu sahaja yang mampu dilakukannya. Zulfah mencari pen dan buku notanya, jemarinya mula menari menukilkan sesuatu sebagai balasan buat Hambali. Tetapi nota itu sekadar simpanan peribadinya, tidak mungkin dia meluahkan ayat-ayat cintanya itu kepada Hambali.

‘Seandainya engkau tahu, aku bukan sekadar memuji dirimu. Bahkan sentiasa mendambakan dirimu hadir di setiap mimpiku. Aku tidak punya kekuatan untuk menyatakan rasa yang sedang bergelora di jiwa ini. Apa mungkin takdir sedang menguji hati dan perasaan kau dan aku? Aku keliru, kekadang engkau datang umpama satu cahaya namun kekadang jua engkau hadir tanpa pelita yang terang. Aku gusar seandainya suatu masa nanti kita tidak punya jodoh yang kuat lagi kukuh. Entah kenapa istikharahku kali ini begitu kesamaran, padahal aku begitu yakin aku sudah punya rasa itu terhadapmu. Apakah Tuhan sedang mempermainkan aku? Tidak..aku yakin Dia punya kuasa dan kudrat untuk menyatukan kau dan aku malah punya kuasa untuk memisahkan kita. Tuhan tidak sekali-kali mempermainkan perasaan yang sedang bertandang di lubuk hatiku kini. Cuma aku sekadar bimbang jika rasa itu akan pergi membawa diri persis dedaunan yang berterbangan di udara. Apakah engkau juga sepertiku?’

Titis demi titis butiran air mata Zulfah jatuh ke pipi. Selesai menulis bait-bait kesedihan di buku notanya, tangannya membuka bungkusan merah hati pemberian Hambali. Terdapat sehelai busana rona merah darah ikan dan sebuah novel genre fiction. The Kite Runner! Sudah lama Zulfah mencari novel tersebut tetapi terlalu sukar untuk mendapatkannya. Mungkin sudah kehabisan stok. Sudah banyak kedai buku yang dijejakinya namun tiada. Terima kasih Hambali!

**********************************************

Termenung lagi. Sudah puas rasanya Hambali merenung dinding biliknya yang bercat coklat. Tiada rasa. Hatinya kian kosong. Sepi sekali. Tanpa berfikir panjang lagi, Hambali melangkahkan kakinya ke ruang tamu. Kelihatan babanya sedang ralit menonton televisyen. Hambali mendekati babanya, cuba untuk meluahkan segala rasa yang amuk di dadanya. Muka Hambali mempamerkan dirinya kini sedang berperang dengan perasannya sendiri. Dahi baba Hambali berkerut, timbul persoalan yang membuatkan babanya ingin sekali berbicara dengan terunanya yang seorang itu. Hambali menyandarkan tubuhnya ke sofa. Mengeluh.

“Am..kenapa ni? Resah semacam baba tengok. Tak kan dah rindu kat Zulfah?”

Babanya cuba bercanda tetapi baginya sekarang bukan waktu yang tepat untuk bergurau dengannya tentang itu.

“Tak adalah ba..Am cuma risau. Am tak tahulah apa akan jadi nanti.”

“Maksud Am? Tentang Zulfah?”

“Erm..Am takut ba. Takut kehilangan dia.”

“Am..sebagai lelaki kita tak boleh tunjuk yang kita ni lemah apatah lagi di hadapan perempuan. Am dah buat keputusan, sekarang tinggal menunggu keputusan Zulfah saja. Daripada Am resah macam ni, lebih baik Am solat sunat, berdoa banyak-banyak. InsyaAllah…Dia tahu mana yang terbaik untuk Am.”

“Am tahu ba..tapi Am tak yakin yang Zulfah boleh terima Am lagi lepas ni. Padahal Am dah…”

Bicara Hambali terhenti seakan tidak sanggup untuk meneruskan baitnya. Wajahnya tertunduk ke lantai. Fikirannya terlalu kusut.

“Dah apa Am? Am dah jatuh cinta pada Zulfah? Erm..sesiapa pun akan jatuh cinta pada dia kerana akhlaknya, budi pekerti yang ada pada dia. Baba faham perasaan Am sekarang tetapi Am harus ingat jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Tiada siapa dapat menghalangnya. Berserah kepada Dia..berdoa dan tawakkal. Ingat Am..lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.”

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”  [Annuur: 26]

“Entahlah ba..Am tahu tak seharusnya Am bersikap seperti sekarang. Tetapi hati Am kuat mengatakan bahawa Zulfah juga punya rasa yang sama seperti Am. Tetapi dia tak pernah menyatakannya secara lisan pada Am.”

“Am…cinta itu tak perlu dilafazkan dengan lisan dan tidak semestinya dimiliki tetapi cukup sekadar merasa bahagia di atas rasa itu. Sekarang baba yakin Am sudah terlalu matang untuk menilai makna cinta dari sudut maknawi dan juga syari’e. Am student agama, lebih tahu dari abah. Muhasabah Am..Allah sayangkan hambaNya yang sentiasa muhasabah diri sendiri dan memperbaiki diri.”

Hambali merenung wajah babanya, ada maksud tersirat disebalik kalimah bibir tua itu. Hambali sedikit tersedar bahawa dia sudah berlebih-lebihan dan hanyut di alam kesedihan ciptaannya sendiri.

“Astaghfirullah…Am minta maaf ba. Am dah berlebihan, tak sepatutnya Am larut dalam kesedihan macam ni. Terima kasih baba.”

Babanya tersenyum dan menggenggam bahu Hambali tanda memberi semangat dan kekuatan buat terunanya itu.

“Ya..sama-sama. Minta ampun dengan Dia bukan dengan baba. Dahlah..pergi tidur. Baba pun dah ngantuk ni.”

“Ok ba..selamat malam. Assalamualaikum.”

Kelibat baba Hambali semakin hilang dipandangannya. Hambali cuba untuk menguraikan segala resah yang kian bertandang. Tangannya mematikan televisyen yang sedang bersiaran. Sudah hampir pukul 12 tengahmalam. Sebelum melelapkan mata, Hambali berwudu’ dan bersolat hajat. Memohon supaya segala resah dan sedihnya itu hilang dibawa oleh larutnya malam. Meminta supaya hatinya damai dan tenang dalam menghadapi segala kemungkinan di hadapannya nanti dan merintih supaya dia ikhlas dan redha atas setiap ketentuan Illahi. Doanya dipanjangkan…

‘Tidak ada Tuhan kecuali Allah Yang Maha Agung dan Maha Pemurah. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan ‘Arasy yang Agung. Tidak ada Tuhan selain Allah, Tuhan langit dan bumi dan Tuhan ‘Arasy yang Mulia. Wahai Zat Yang Maha Hidup dan Maha berdiri Sendiri. Tidak ada Tuhan selain Engkau dan dengan rahmatMu aku meminta bantuan. Ya Allah..kuharapkan limpahan rahmatMu. Janganlah Engkau jadikan aku bergantung pada diriku sendiri walaupun sekelip mata. Dan perbaikilah semua urusanku. Tiada Tuhan selain Engkau.’

‘Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Tinggi Engkau, sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang zalim. Ya Allah..sesungguhnya aku benar-benar hambaMu, anak dari hambaMu, anak dari makhluk ciptaanMu. Ubun-ubunku ada di tanganMu, segala ketentuanMu sudah berlaku bagiku, ketetapanMu di atas diriku. Aku memohon dengan segala nama yang sudah Engkau sebutkan untuk menyebutMu atau yang sudah Engkau wahyukan dalam kitabMu atau yang sudah Engkau ajarkan kepada salah seorang dari makhlukMu atau sengaja Engkau simpan di alam yang ghaib yang ada padaMu. Ya Allah…jadikanlah Al-Quran sebagai pelipur hatiku, cahaya dadaku, pengusir kesedihan dan kedukaanku…amin ya Rabbal a’lamin..’

****************************************

Zulfah berdiri di tepi beranda di hadapan biliknya. Matanya tidak dapat dilelapkan, hanya satu nama yang berlegar-legar di mindanya, Hambali. Dia sendiri keliru dengan keputusan yang telah dibuat oleh Hambali. Apa mungkin dia terpaksa melepaskan segala perasaannya kepada Hambali? Istikharahnya semakin samar tetapi keinginannya untuk menjadikan Hambali sebagai suaminya adalah terlalu tinggi. Apa mungkin dia sedang diuji oleh Tuhan? Zulfah kusut memikirkan hal itu. Tidak pernah dia begitu sedih dan resah seperti kali ini.

Di rak bukunya terdapat banyak bahan bacaan koleksi peribadi Zulfah. Sudah terlalu banyak hinggakan ramai sahabat-sahabat dan sanak-saudaranya meminjam buku-buku koleksinya. Salah satu buku di rak tersebut menarik minat Zulfah untuk membacanya. Dicapai buku La Tahzan karangan ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni. Jemarinya membelek-belek helaian dan terhenti pada muka surat 35. Matanya menatap helaian tersebut mencari ayat yang pernah dibaca dahulu. Zulfah masih teringat pada kata-kata ‘Aidh Al-Qarni, padamkanlah panasnya keburukan pada setiap hal itu dengan sejuknya kebaikan yang ada padanya. Ayat itu selalu dipegang Zulfah kerana dia tidak mahu prasangka kepada manusia lain menjadikan hatinya kelam dan hitam. Begitulah juga halnya kepada Hambali. Matanya masih tertumpu pada helaian 35 dan bebola matanya menatap pada perenggan ketiga di bawah tajuk ‘Hadapilah Hidup Anda Sebagaimana Adanya’.

‘Allah menghendaki dunia ini sebagai tempat bertemunya dua perkara yang saling berlawanan, dua jenis yang saling bertentangan, dua kubu yang saling bertentangan dan dua pendapat yang saling bertentangan; yang baik dengan yang buruk, kebaikan dengan kerosakan, kebahagiaan dengan kesedihan. Dan selepas itu, Allah akan mengumpulkan semua yang baik, kebagusan dan kebahagiaan itu di syurga. Berkenaan dengan yang buruk, kerosakan dan kesedihan akan dikumpulkan di neraka. Hadis berbunyi: “ Dunia ini terlaknat dan terlaknat semua yang ada di dalamnya kecuali zikir kepada Allah dan semua yang berkaitan dengannya, seorang yang alim dan seorang yang belajar “.

Zulfah membuang pandang ke tingkap. Matanya menitiskan air mata lagi. Dia sudah penat, letih! Mungkin inilah yang terjadi kepadanya. Memang betullah ayat dalam kitab La Tahzan, Allah menyediakan dua perkara yang berlawanan dan begitu juga halnya antara dia dan Hambali. Mungkin sudah tertulis tiada jodoh antara dirinya dan Hambali. Apa yang diimpikan mungkin bertentangan dengan apa yang telah ditakdirkan. Zulfah tidak mahu terus menerus dalam keadaan seperti itu, dia melangkah ke kamar mandi dan berwudu’ walaupun wuduk’nya masih ada. Tuntas Zulfah bermunajat kepada Tuhan agar dihilangkan segala keluh kesah, segala kesedihan dan kemurungannya. Dipanjatkan doa semoga petunjuk istikharahnya adalah benar dan diredhai oleh Yang Maha Kuasa.

Seusai bemunajat kepadaNya, Zulfah membaca beberapa helaian dari surah Al-Imran. Zulfah teringat pada ayat 142 dari surah tersebut yang menyebut tentang jihad. Tafsiran tentang jihad di situ terbahagi kepada empat elemen. Pertama; berperang untuk menegakkan Islam dan melindungi orang Islam. Kedua; memerangi hawa nafsu. Ketiga; mendermakan harta benda untuk kebaikan Islam dan umat Islam dan keempat; membanteras kejahatan dan menegakkan kebenaran.

Zulfah mengamati ayat 142 dan bertafakkur sebentar. Mengurai makna daripada perkataan jihad yang disebut di dalam surah Al-Imran. Sesungguhnya pada zaman itu mujahidin sanggup mengorbankan diri, harta dan jiwa untuk Islam malah sanggup mengorbankan hawa nasfu semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah. Zulfah merasa malu dengan dirinya sendiri apatah lagi dengan sang Pencipta langit dan bumi kerana dia masih tidak tergolong dalam golongan yang disebutkan Allah dalam surah tersebut. Zulfah harus berjihad melawan semua hawa nafsu yang semakin beraja di hatinya. Itu yang difikirkan waktu ini, ya dia memang seharusnya begitu. Harus!

——————————————————————-

Ermm..Alhamdulillah Mz kembali dgn Episod ke 16. Utk puisi tu kena cek balik pd  episod 11. Even puisi yg Mz cipta tu takla best sgt tapi Mz tetap berpuas hati. InsyaAllah..

Hepy Reading guys! Hope will get something good from my story 😉

BBL-Episod 15

Zulfah terjaga dari tidurnya. Dilihat jam di dinding, sudah mencecah empat petang. ‘Ya Allah..lamanya aku tertidur.’ Zulfah melihat skrin telefonnya. Ada sms dari Faruki, ternyata Faruki sudah pun pulang hari ini. Dia terus melangkah ke kamarnya. Tiada. ‘Ermm..belum sampai lagi agaknya.’ Duga Zulfah. Tiba-tiba dirasakan bahunya disentuh lembut. Zulfah memandang ke belakang. Wajah yang dirindukannya tersenyum manis.

“Abang..dah lama abang sampai?”

“Lamalah juga. Abang tengok Ifah lena sangat tidur, tak sampai hati nak bangunkan. Ifah penat?”

“Ermm..penatlah juga. Ifah masak untuk abang. Ifah minta maaf sebab tak tunggu abang balik tadi. Tak perasan pun mesej abang.”

“Macam mana nak perasan. Ifah kalau dah tidur manalah nak dengar telefon bunyi.”

Zulfah sengih.

“Sorry sangat-sangat ya bang..jom makan.”

“Tak apalah sayang..abang dah makan dengan kawan tadi. Kita makan malam nanti ye. Ifah dah makan belum?”

“Belum..tunggu abang..semalam kan abang dah janji..”

Zulfah sedikit berkecil hati dengan sikap Faruki. Padahal suaminya itu sudah berjanji untuk makan tengahari bersamanya.

“Alamak..sorry sayang. Abang lupa. Ok ok jom abang temankan sayang makan ya. Kesian baby kita..nanti dia lapar. Ummi dia lagi lapar kan..”

Faruki cuba memujuk isterinya yang mungkin sedang merajuk hati. Disentuh perut Zulfah penuh sayang. Tetapi Zulfah menolak lembut tangan Faruki. Sedikit muram di wajah Zulfah. Faruki mengerti perasaan isterinya yang sedang berbadan dua, mudah benar sensitif. Tangan Zulfah digenggam erat.

“Sayang..abang minta maaf ya..serius abang memang lupa. Jom abang temankan sayang makan. Tak baik macam ni, kesian baby dalam perut tu.”

Diam. Tiada reaksi dari Zulfah.

“Sayang marah abang? Oklah, kalau macam tu abang nak mandi dulu. Nanti kalau sayang lapar, sayang beritahu abang ye..abang penat.”

Faruki lembut memujuk Zulfah. Dia sendiri sudah penat apatah lagi melihatkan reaksi Zulfah yang bersahaja, dia jadi semakin letih. Malah mindanya masih memikirkan perjumpaan sepetang tadi. Mahu sahaja dia menceritakan hal tadi kepada isterinya tetapi dia tidak sampai hati. Allah..keluh Faruki.

Zulfah diam seribu bahasa. Dia membiarkan sahaja suaminya itu melangkah ke kamar mandi. Hairan juga kerana Faruki seakan tidak mahu melayan rajuknya. ‘Dia marahkah? Erm..tapi aku lagi sakit hati. Semalam dah janji nak makan sama-sama. Alih-alih dia pergi makan kat luar, dengan kawan dia pula tu. Tak fikirkan aku ke?? Dah penat aku masak!’ Zulfah memberontak. Hatinya begitu sakit diperlakukan sedemikian oleh suami sendiri. Lalu dia menuruni anak tangga ke dapur. Tanpa menunggu Faruki, dia ingin menjamah makanan tetapi kerongkongnya rasa tersekat. Dia membiarkan hidangan di meja dan menghayunkan kaki ke ruang tamu. Remote televisyen ditekan, mencari program yang menarik untuk ditonton. Tetapi tiada satu pun rancangan yang bisa membuatkan dia hilang rasa amarah dan rajuk di hatinya kini. Zulfah beristighfar sebanyak yang mungkin. Kakinya melangkah ke beranda hadapan. Bertafakur. Cuba muhasabah diri sendiri, dia juga tidak mahu bertegang lidah dengan suaminya. Semahunya dia ingin menjadi yang terbaik buat suaminya namun apakan daya. Zulfah merasa sedih dengan perlakuan suaminya tadi. Tiba-tiba Zulfah menangis. Dia merasakan dirinya tidak dipedulikan oleh suami sendiri.

Faruki siap bersiram. Matanya melilau mencari kelibat isterinya namun tiada di setiap sudut. Setelah siap mengenakan t-shirt dan jeans, Faruki turun ke bawah mencari isterinya. Dia juga tidak mahu isterinya itu merajuk lama-lama, parah nanti jadinya. Di dapur, hidangan terbiar di atas meja. Faruki menggelengkan kepalanya lalu menutup hidangan dengan saji. Puas dia mencari Zulfah namun tiada. Di ruang tamu, Faruki terdengar esakan isterinya. Dia mula merasa cuak. Tanpa lengah, dia mencari di mana suara tangisan itu berada.

Di beranda. Faruki duduk di sebelah Zulfah. Isterinya itu sedang menangis. Hatinya bagai dihiris sayu mendengarkan tangisan sang isteri. Tiada bicara indah dari bibir Zulfah. Dia berasa bersalah kerana membiarkan isterinya itu menunggunya untuk makan bersama. Dia tahu dia sudah berjanji semalam tetapi pertemuannya bersama Hambali telah membuatkan dia lupa akan hal itu. Tangan Faruki menyentuh pipi basah Zulfah.

“Sayang..abang minta maaf. Abang terlupa sebab pagi tadi tiba-tiba ada hal di luar. Janganlah macam ni. Ifah dah tak sayang abang ke..?”

Zulfah masih membatukan diri. Matanya memandang wajah sayu Faruki, menatap sedalam-dalamnya. Cuba mencari kebenaran dari kalam suaminya. Mata mereka bertembung. Faruki menatap dalam wajah Zulfah, mengerti perasaan isterinya itu.

“Abang pergi jumpa Hambali tadi..”

Zulfah terpana mendengarkan nama itu. Dahinya berkerut mencari kepastian. Dia betul-betul terkejut. Sebenarnya Faruki menggunakan psikologi supaya isterinya itu tidak terlalu dilarut kesedihan. Walaupun terlalu sukar untuk menyatakannya tetapi dia harus menguraikan seribu rasa di benaknya. Dipalingkan wajahnya menghadap kolam ikan di hadapan beranda.

“Hambali?”

“Ya..abang pergi jumpa bekas tunang Ifah.”

Wajah Zulfah berubah rona. Mindanya cuba mentafsirkan sesuatu. Mulutnya bagai terkunci rapat. Tidak tahu perlu bicara apa. ‘Hambali? Apa sebenarnya yang berlaku ni? Macam mana suami aku dapat tahu hal ni? Ya Allah..’ Zulfah bermonolog.

“Ifah tak payahlah terkejut. Abang memang dah lama kenal Hambali. Dia kawan baik Fakhri. Kami memang agak rapat sejak kenal satu masa dulu. Abang pun baru tahu dia bekas tunang Ifah. Kecilnya dunia ni kan. Walaupun Ifah tak pernah ceritakan pada abang, tapi akhirnya abang tahu juga. Kenapa Ifah tak pernah beritahu abang? Tak perlu pun jawab soalan abang ni. Mungkin tak penting pun.”

Zulfah tergamam. Tidak tahu harus mengatakan apa. Dia sendiri terkesima dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Zulfah bagaikan terkena paku buah keras. Dia rasa bersalah tiba-tiba.

“Ifah minta maaf..”

Hanya sepatah ayat terpacul dari bibir Zulfah lalu dia bangun dari tempat duduknya dan menghayunkan kakinya dengan laju menuju ke tingkat atas. Faruki hanya mendiamkan diri. Tidak mahu keadaan menjadi semakin tegang. Dia tahu tidak seharusnya menceritakan perihal pertemuannya dengan Hambali namun hanya itu sahaja cara untuk menghilangkan rajuk di hati Zulfah. Dan membiarkan Zulfah dibuai rasa bersalah kepadanya. ‘Maafkan abang sayang…’ Faruki menarik nafas dalam. Satu keluhan terpacul di bibirnya dan kedua tapak tangannya meraup wajah bersihnya itu.

*******************************************

Dua hari pasangan suami isteri itu dingin. Zulfah tidak mahu bicara dengan suaminya, dia menyibukkan dirinya dengan menulis artikel-artikel penting untuk dihantar kepada penerbit. Faruki pula sibuk dengan tugasnya di hospital walaupun hatinya ingin sekali mendengarkan suara indah isterinya. Zulfah tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya kepada Faruki cuma sahaja dia perlukan masa untuk bertenang dalam hal ini. Dia tidak mahu Faruki berkecil hati. Malah dia juga tidak mahu membicarakan hal itu dengan Faruki. Ianya teramat sakit. Dia tidak mahu Faruki mengesan perasaannya kepada bekas tunangnya. Kalau itu yang terjadi, memang parah! ‘Apalah yang diceritakan Hambali kepada suami aku agaknya. Ya Allah..tolonglah hambaMu ini..’ Zulfah cuba menduga apa sebenarnya yang telah diceritakan Hambali kepada Faruki. Dia tidak ingin sesuatu yang buruk terjadi antara dirinya dan suaminya, dan antara Faruki dengan Hambali. Ianya begitu sulit. Tiba-tiba Zulfah jadi marah dan geram kepada Hambali. ‘Apa motif Hambali untuk menceritakan semua itu kepada Faruki? Adakah dia…ahh! Tidak! Mustahil!!’

——————————————————————-

Mohon maaf Mz baru sempat mengupdate episod ke 15. Before update dis chapter, Mz menonton muvie ‘3 Idiot’. Its too marvellous!  Sangat baik menonton cite2 mcmtu. Its remembering me about memorable moment  4 years ago 🙂

Buat pembaca e-Novel ni…Happy Reading guys! 😉

BBL-Episod 14

Faruki memandu dengan penuh hati-hati. Jiwanya sarat dengan beribu persoalan. Hambali. Nama itu terpacul dari bibirnya. ‘Kenapa Zulfah tidak pernah menceritakan semua ini kepadaku?’ Hatinya memberontak keras! Ada rasa cemburu menjalar di hatinya. Walhal Hambali itu adalah teman sekuliah adiknya, Fakhri. Ya Allah..kecilnya dunia ini! Faruki memberhentikan keretanya di parking, melangkahkan kakinya ke satu restoran seafood di sekitar kawasan Bukit Bintang. Kakinya laju melangkah, ada urusan penting yang harus diselesaikan secepat mungkin. Matanya melilau mencari kelibat seseorang yang pernah dikenalinya dahulu. Dan seseorang itu sememangnya sahabat karib kepada adiknya.

Hambali melabuhkan punggungnya di kerusi. Menunggu kedatangan seseorang yang dianggap abangnya sendiri. Hatinya gusar memikirkan Faruki yang mungkin sedang memuncak amarahnya. Hatinya berdoa moga Faruki tidak seperti apa yang dijangkakan. Melihat kelibat Faruki yang melangkah ke arahnya, Hambali semakin cuak. Dua hari lepas, Faruki tiba-tiba menelefonnya. Sejujurnya dia memang tidak tahu menahu perihal Faruki adalah suami kepada bekas tunangannya. Faruki juga tidak menyangka Hambali adalah bekas tunangan Zulfah suatu waktu dahulu. Kerana itulah, Faruki ingin menemui Hambali.

“Assalamualaikum.”

Suatu suara kedengaran di telinga Hambali. Cepat-cepat dia bangun dan menyalami Faruki penuh ta’zim. Lalu menjemput Faruki untuk duduk.

“Waalaikumsalam. Abang sihat?”

“Alhamdulillah sihat walafiat. Kau sihat?”

“Alhamdulillah baik. Ermm..abang dari Kedah ke?”

Faruki hanya mengangguk, keletihan menjalar di tubuhnya membuatkan dia tidak mahu berbasi-basi dengan Hambali. Lantas kedua-duanya memesan minuman dan makanan setelah melihat menu dihadapan mereka. Faruki memandang wajah tampan Hambali dengan perasaan cemburu. Tetapi ditepis semua prasangka dibenaknya, tidak mahu bertegang lidah apatah lagi bertumbuk dan melukai Hambali yang sudah dianggap bagai adiknya sendiri. Faruki memulakan topik perbincangan asal mereka. Dia sudah tidak sabar mahu pulang ke rumah dan berjumpa isterinya. Sudah terlalu rindu, rindukah dia? Ya..barangkali.

“Kau dah lama kenal Zulfah?”

“Nak kata lama tak la juga bang. Kami kenal pun melalui ust. Khairi, ustaz yang pernah mengajar Zulfah waktu di bangku sekolah dulu. Lepas tu kami terus bertunang. Tapi takdir Allah, siapa boleh menghalang. Kami tiada jodoh.”

Hambali tidak mahu Faruki salah sangka terhadapnya apatah lagi Zulfah, wanita yang didambakan dahulu. Dia cuba menutur kata yang baik agar Faruki bisa menerima segala keterangannya. Faruki cuba mendengarkan penjelasan Hambali dengan baik dan penuh perhatian.

“Lama korang bertunang?”

Hambali menarik nafas sedalam-dalamnya. Terasa berat mulutnya untuk membicarakan tentang itu. Menyakitkan!

“Empat bulan je bang..dah bukan rezeki saya. Lagipun Zulfah berhak buat keputusan yang terbaik untuk dirinya. Saya tidak mahu dia kecewa kemudian hari. Saya redha dengan keputusan dia. Erm..abang janganlah risau, kami tidak punya apa-apa hubungan. Saya menelefon Zulfah hanya untuk mendapatkan kepastian samada benar atau tidak dia sudah berumahtangga. Saya minta maaf kalau abang tidak suka.”

Hmmm..Faruki mengeluh panjang.

“Ermm..abang bukan tak suka cuma rasa pelik sebab Zulfah tak pernah ceritakan semua ni pada abang. Malah keluarganya juga tidak pernah beritahu abang tentang hal kamu berdua. Sungguh abang terkejut. Abang minta maaf sebab tanya kamu kacam-macam.”

Hambali tersenyum kepada Faruki. Memahami perasaan Faruki sebagai suami kepada bekas tunangannya itu. Sesiapa pun akan merasa cemburu.

“Tak apa bang..tak sangka juga kita boleh jumpa lagi. Dah lama kita tak jumpa kan? First time kenal abang dulu, masa abang bujang lagi. Lepas tu bila saya pulang Malaysia, mesti abang datang ke rumah dengan Fakhri. Sempat juga abang datang ziarah saya kat Mesir. Erm..abang dah lama kahwin dengan Zulfah?”

Faruki tersenyum mendengarkan Hambali yang cuba mengingatkan kembali memori mereka.

“A’ah kan…dah lama juga kita tak jumpa. Last abang jumpa kamu tahun lepas kan. Tu pun masa abang pergi bersidang kat sana. Lama tak lama dua tahun la juga. Boleh abang tanya lagi?”

“Oohh..lama juga. Maknanya abang kahwin lepas Zulfah tamat belajarlah ya? Boleh je..tanyalah bang.”

Hambali tersengih.

“Lepas dia tamat belajar, sempat dia bekerja. Hampir dua tahun dia bekerja, lepas kahwin dia terus berhenti kerja, katanya nak sempurnakan kehidupan dalam rumahtangga, abang tak halang. Ust. Khairi yang buat PHD kat Al-Azhar tu kan? Dia mas’ul abang masa kat Zagazig dulu.”

Hambali mengangguk, tiba-tiba dadanya terasa sesak mendengarkan itu. Cemburu pun ada. Hatinya ingin mengetahui segala hal yang berlaku di luar pengetahuannya.

“Oohh..lamanya abang bertunang. Bukan ke abang kenal Zulfah waktu dia belajar lagi? Ooh..maknanya abang dah lama la kenal ust. Khairi..kecilnya dunia ni.”

“Memang kenal masa dia tahun akhir. Tapi masa tu macam-macam alasan dia bagi. Dia bagi syarat kat abang, nak kenal dulu sebelum bertunang. Tu yang makan masa lama. Setahun juga kenal lepas tu baru bertunang. Ye..dunia ni memang kecil, tak sangka..”

“Ooh..patutlah. Ermm…agaknya dia tak nak perkara yang sama berlaku.”

Hambali menundukkan kepalanya, merenung cawan coffee cappuccino di hadapannya. Mindanya seakan berlegar di dalam cawan tersebut. Dia harus memberitahu hal yang sebenar kepada Faruki kerana dia tidak mahu Faruki menyalahkan Zulfah dalam hal ini. Begitu besar cintanya buat Zulfah.

“Maksud kamu apa?”

“Zulfah minta pertunangan kami diputuskan atas sebab saya gagal dalam final exam waktu tahun kedua pengajian. Dan saya ambil keputusan untuk menyambung pengajian di sini. Walhal Zulfah mahu saya meneruskan pengajian di Mesir. Selepas dia memutuskan ikatan kami, baru saya terfikir kembali untuk meneruskan pengajian di sana. Zulfah seorang yang optimis, cuma saya yang tidak berfkir panjang tentang hal itu. Saya tidak pernah menyalahkan dia bang..”

Tiba-tiba wujud perasaan simpati Faruki kepada Hambali. Mengenangkan kisah pertunangan mereka terputus di tengah jalan, ia terlalu menyakitkan. Apatah lagi mengetahui bekas tunangannya kini sudah dimiliki oleh abang kepada sahabat karibnya sendiri. Faruki ligat memikirkan hal itu. ‘Patutlah Zulfah meletakkan syarat di awal perkenalan bahkan sehingga waktu pernikahan. Rupa-rupanya hati Zulfah sudah remuk.’ Keluhan terpacul di bibir Faruki. Menyesali semua itu.

“Maafkan abang..abang tidak tahu semua ini terjadi. Kalau abang tahu dari awal…abang tak kan nikah dengan Zulfah.”

Hambali membetulkan duduknya. Dia tidak mahu mempamerkan wajah walangnya di hadapan Faruki. Dia maklum Faruki tidak pernah tahu akan hal yang telah terjadi antara dia dan Zulfah. Cuma sahaja, dia sedikit cemburu kepada Faruki kerana dapat memiliki gadis sebijak Zulfah. Tetapi Hambali redha semua itu, malah dia gembira melihat Zulfah hidup bahagia bersama Faruki. Faruki sememangnya pasangan yang tepat buat Zulfah. Duga Hambali.

“Abang tak perlu minta maaf. Dah memang jodoh abang dengan dia. Saya ok je bang…bunga bukan sekuntum..”

Faruki sedikit tersenyum mendengarkan kalam Hambali.

“Memang bunga bukan sekuntum tapi bunga yang berduri di taman tu yang susah nak dicari.”

Hambali sengih. Matanya sedikit mengecil.

“Betul tu bang..saya harap dapatlah bunga yang dipagari dengan duri. Doakan saya ya bang..”

“InsyaAllah..ada jodoh tak kan ke mananya. Ermm..abang nak tanya sikit boleh?”

“Amin..insyaAllah. Tanyalah bang..banyak pun boleh..hehe.”

Hambali ketawa. Faruki sedikit gelisah memikirkan soalan yang akan diajukan kepada Hambali. Rasional atau tidak!

“Ermm..kau masih sayangkan Zulfah?”

Hambali merasakan terpukul dek soalan yang tak dijangka itu. Dia teragak-agak untuk menjawab pertanyaan yang kurang selesa baginya.

“Abang tak perlu tanya soalan tu. Dah tiada kena mengena dengan saya dan Zulfah. Saya doakan abang bahagia dengan dia.”

Hambali tersenyum lagi. Senyuman indah yang dibuat-buatnya itu dapat dikesan oleh Faruki. Faruki memahami perasaan Hambali.

“Jujurlah..abang tak apa-apa. Sekadar bertanya. Kalau kau masih sayangkan Zulfah sekali pun, dah tak ada can. Dah jadi isteri abang pun.”

Faruki ketawa. Nada penuh mengusik. Hambali hanya tersenyum. Dia memahami kata-kata Faruki bahkan dia tidak mungkin akan melakukan sesuatu yang dilarang syara’.

“Abang memang beruntung! Zulfah pun bertuah dapat abang. Respectlah dengan abang ni!”

Hambali tergelak kecil. Ada bahagia dirasakan apabila menyatakan hal yang sebenarnya kepada suami Zulfah.

“InsyaAllah..harapnya macam tulah.”

Masing-masing diam. Tersenyum cuma.

Usai menghabiskan makanan yang tersisa di pinggan, mereka rancak berbual mengenai perihal kehidupan masing-masing. Wajah penat dan lelah Faruki hilang begitu sahaja setelah mendapatkan keterangan dari Hambali. Hatinya begitu yakin bahawa Hambali tidaklah seburuk yang disangka. Dia percaya Hambali masih punyai nilai-nilai manusiawi dan berpegang teguh pada aturanNya dan sunnah baginda.

“Maka wajib bagi kita untuk mengikut orang yang terhalang daripada kesilapan (RasululuLah S.A.W) dan berhenti daripada mengikut sesiapa yang tidak terhalang daripada silap apabila melihat kekeliruan pada ikutan tersebut. Bahkan kita bentangkan apa yang datang daripada para imam kepada al-Kitab dan al-Sunnah. Apa yang keduanya (al-Quran dan al-Sunnah) terima, maka kita terima, dan apa yang keduanya tidak terima kita tinggalkannya.”

[Al Imam Al-Syatibi, Al-I’tisam, m.s 165]

*************************************************************

Tiba di rumah. Faruki mencari kelibat isterinya, rumahnya yang ditinggal selama seminggu tersusun rapi dek perabot dan aksesori yang cantik. ‘Isteri aku ni memang rajin, ada je kerja dia dalam rumah ni. Dah tukar posisi perabot pula. Ermm..memang cantik! Mana agaknya dia pergi.’

Senyap sunyi.

Kakinya melangkah menaiki anak tangga untuk ke ruang bilik utama. Tombol pintu dibuka. Matanya melilau kanan dan kiri. Tidak ada. ‘Mana pula isteri aku ni pergi. Kat bilik sebelah barangkali.’ Duga Faruki. Beberapa langkah, Faruki tiba di bilik sebelah. Tombol ditolak. ‘Ya Allah…kat sini rupanya. Ermm..mesti penat.’ Faruki menghampiri Zulfah yang mungkin sedang lena diulit mimpi. Di dada Zulfah melekat sekeping frame gambar, tangannya memeluk gambar tersebut. Faruki tersenyum melihatkan reaksi isterinya itu. Diambil foto itu dan diletakkan di tepi meja. Faruki merenung gambar perkahwinan mereka, teramat sempurna pada pandangannya. ‘Ifah…Ifah..rindu sangat barangkali. I miss you too sayang.’ Satu kucupan dihadiahkan buat Zulfah.

Faruki masuk ke kamarnya meninggalkan Zulfah sendirian dibilik sebelah. Fikirannya masih lagi ligat mengingatkan pertemuan dua mata antaranya dan Hambali. Dia seakan tidak percaya Hambali adalah bekas tunang kepada isterinya. Dia mengeluh.

‘Benarkah Hambali tidak punya perasaan lagi pada Zulfah? Mimik muka Hambali menunjukkan dia sememangnya kecewa dengan terputusnya tali pertunangan mereka. Tetapi aku tidak pasti sejauh mana perasaan dia pada Zulfah. Atau isteri aku juga masih menyimpan perasaan itu? Ahh..sudahlah Faruki. Kau mesti yakin dan percaya dengan isteri kau sendiri. Titik!’

—————————————————————————-

Alhamdulillah..masih diberi nikmat untuk menghirup udara yg segar dan menikmati hari2 yg penuh indah. Terima kasih ya Rabb..

Buat pembaca yg Mz kasihi, mohon maaf krn Mz terpaksa update 2minggu satu episod..krn kekangan masa. Sekarang Mz sibuk menyiapkan kertas soalan utk exam anak murid Mz juga sibuk menghadap manuskrip BBL dan BSM. I-allah selagi diizinkan utk Mz berkarya, Mz akan teruskan. Moga ada manfaat yg dpt kita timba dari penulisan ni. Doakan Mz…

Selamat membaca!..