BBL-Episod 3

Telefonku berdering..dengan penuh hati-hati aku mencapainya. Ku lihat nombor rumah ummi dan abah memanggil. Ku tekan butang hijau dan terdengar suara ummi memberi salam. Tapi ada kelainan yang ku rasakan pada suara ummi kali ini.

“Assalamualaikum… Ifah..”

“Waalaikumsalam..ummi. Ummi sihat?”

Aku bertanyakan khabar ummi…tapi entah kenapa aku dapat rasakan ada yang tidak kena pada ummi.

“Alhamdulillah..ummi sihat. Ifah…kalau ummi beritahu ni, Ifah jangan cepat melatah ya..dan ummi nak Ifah sabar dan istighfar banyak-banyak.”

Pelik bila ummi katakan seperti itu. Aku jadi penasaran untuk tahu apa yang akan ummi sampaikan. Dalam hati, perlahan-lahan aku beristighfar.

“Apa dia ummi? Macam serius je? Ummi jangan buat Ifah rasa takut.”

“Tak ada apa yang perlu ditakutkan. Ifah sabar ya. Dah ditetapkan dari luh mahfuz…abah Ifah dah kembali ke rahmatullah..”

Aku terpana. Ku dengar suara ummi tika itu seakan-akan dia redha atas pemergian abah. Air mataku mengalir tanpa dipinta. Ya Allah…kepalaku tiba-tiba berpusing. Tanpa ku sedar, aku terjelepuk ke lantai.

“Ifah…Ifah…ada tak ni? Ifahh …”

Sayup-sayup ku dengar suara ummi..tiada warna yang ku lihat pada pandanganku. Kelam. Hitam.

Mata ku buka, ku lihat Faruki di sampingku. Tanpa rela, air mataku mengalir lagi. Faruki memegang erat tanganku.

“Sayang….sabar ya. Abang faham perasaan sayang. Dah, jangan fikir bayak lagi. Kita bersiap sekarang, balik kampung.”

Perlahan-lahan Faruki memapahku, cuba untuk membangunkanku. Aku persis robot yang hanya mengikut perintah tuannya. Aku bersiap ala kadar, begitu juga Faruki. Tanpa berlengah, Faruki mengheret tanganku masuk ke dalam kereta. Faruki memandu penuh hati-hati. Air mataku mengalir lagi, Faruki yang sedang fokus dalam pemanduannya seakan merasakan apa yang ku rasakan. Kereta diberhentikan tika isyarat lampu merah menyala, Faruki menenangkanku. Dipegang erat tanganku, air mataku tak henti-henti mengalir.

Assobru minal iman…sabar ya sayang, redha akan pemergian abah. Maybe semua dah ada kat kampung sekarang ni.”

Aku cuba menenangkan diri, zikir dan istighfar ku lafazkan. Bicara ku mulakan.

“Abang..macam mana abang tahu?”

“Tadi ummi call abang kat hospital…ummi kata dah call Ifah. Tapi tiba-tiba je suara Ifah hilang. Ummi risau takut apa-apa jadi kat Ifah, sebab tu ummi suruh abang balik cepat..”

“Ermm.. Ifah minta maaf buat abang risau. Tapi Ifah tak sangka abah dah tinggalkan Ifah.”

Esakanku kembali bertamu. Faruki meneruskan pemanduan, baru sampai di lebuhraya karak.

“Ifah rehat la dulu..lambat lagi nak sampai ni.”

Aku menganggukkan kepala. Kepalaku masih lagi terasa pening, lama-lama aku terlena.

Faruki mengatakan tiket penerbangan untuk waktu terdekat ini tidak ada. Jadi Faruki mengambil keputusan untuk pulang dengan kereta. Walaupun mengambil masa 7 – 8 jam, kami terpaksa juga. Ummi kata abah akan dikebumikan malam ini. Jadi masih sempat aku menatap wajah abah untuk kali terakhirnya.

Dalam tidurku, aku bermimpi abah tersenyum bahagia tatkala melihat ummi dan anak-anaknya. Dalam mimpiku juga, abah berpesan padaku, jangan sekali-kali merintih sedih di atas pemergiannya ke rahmatullah. Tiba-tiba abah hilang begitu sahaja. Aku tersedar, ada rasa bahagia seketika bila aku menemui abah dalam mimpiku itu. Faruki hairan bila aku menyebut nama abah.

“Sayang..kenapa ni. Mimpi?”

“Ifah mimpikan abah. Ifah dapat rasakan abah bahagia sekarang ni. Alhamdulillah..sekurang-kurangnya Ifah tak perlu rasa sedih atas pemergian abah.”

Aku cuba menenangkan diri seketika, tasbih pemberian abah ku capai lalu ku gerakkan satu persatu manik tasbih dengan alunan zikir. Faruki memerhatikan tingkahku, dia tersenyum dan menyentuh ubun-ubun kepalaku dengan penuh kasih.

Rasa rindu menggamit kenangan lalu bersama abah tercinta. Allahyarham Haji Ahmad Syarif telah banyak berjasa dan banyak berkorban untuk keluarga tercinta. Aku kagum punyai seorang abah yang begitu mementingkan keluarga berbanding yang lain. Namun apa yang lebih penting baginya adalah menyampaikan dakwah untuk ummat, menyambung perjuangan risalah Rasulullah. Bagi abah, jihad fi sabilillah yang utama dan itulah yang diajarkan pada kami sekeluarga. Walaupun abah bukan pejuang yang berperang di medan jihad, namun nilai-nilai yang ada pada abah seakan-akan syahid di jalanNya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas allahyarham abah tercinta.

Lapan jam perjalanan tidak terasa penat bagiku dan Faruki. Ku lihat ramai yang datang menziarah. Faruki memberhentikan kereta di halaman rumah. Dia keluar dari kereta dan tanganku dipegang erat memberi isyarat padaku supaya tabah dan sabar tika masuk ke dalam nanti.

Ku pandang satu persatu, sebahagian besar ahli keluargaku sudah berada di dalam. Adik bongsuku, Zahirah mendapatkanku sebaik sahaja aku melangkah masuk. Esak tangisnya membuatkanku sedikit pilu. Dipeluknya erat bahuku, aku cuba menenangkannya. Adik-adikku Zafran, Zakwan dan Zulaikha datang bersalaman denganku. Kesedihan terpancar dari wajah mereka. Satu persatu ku peluk penuh sayang. Mataku melilau mencari di mana Abang Long.

“Kak, abang dalam bilik. Kak long tengah tenangkan abang.”

Zakwan mencelah seakan-akan memahamiku tika itu. Aku mengangguk. Ku cuba mendapatkan ummi. Kelihatan ummi bersama-sama adik beradik dan ipar duainya sedang membaca  Yassin. Aku memandang Faruki, dia menganggukkan kepalanya, tanda menyuruhku pergi mendapatkan ummi di sebelah jenazah. Faruki mengikutiku. Ummi memandangku penuh kasih, ku peluk dan kucupan mesra bertamu di pipi ummi. Air muka ummi tidak sedikit pun menampakkan yang dia berduka di atas pemergian abah. Tiada bicara antara kami. Faruki menyuruhku bersila disebelah ummi, dia pun turut sama. Kami sama-sama mengalunkan bacaan Yassin. Zahirah berada di tengah-tengah antara aku dan Faruki.

Selesai mangalunkan Yassin, aku menatap wajah allahyarham sebaik sahaja kain putih diselak oleh suamiku. Ku kucup dahi abah penuh kasih dan sayang. Zahirah yang berada disampingku tidak mahu berhenti manangis. Aku menarik lengannya dan membawa masuk ke bilik. Faruki pun bangun mendapatkan Zakwan dan Zafran, mungkin ada yang hendak dibincangkan bersama adik-adik iparnya itu. Aku menenangkan Zahirah sebaik mungkin. Sudah semestinya dia merasa kehilangan yang teramat kerana Zahirah anak bongsu dan terlalu dimanjakan abah. Rasanya terlalu awal untuknya menerima semua takdir ini. Zahirah yang baru mencecah sepuluh tahun itu, masih belum mengenal erti kehidupan sebenarnya. Ketukan pintu terdengar, terpacul wajah bersih ummi.

“Ira..dah ya sayang. Ummi kan ada…tak perlu kita ratapi pemergian abah. Ira kena kuat. Abah kan sayangkan Ira, abah bangga dapat anak macam Ira. Sebab Ira anak yang baik, pandai…tak pernah melawan cakap ummi dan abah. Abah tentu bahagia dapat anak macam Ira.”

Ummi cuba memujuk Zahirah. Pelukan kasih sayang dihadiahkan buat adik kesayanganku itu. Terasa hangat mataku, tanpa disuruh butiran air mata mengalir di pipiku. Kami sama-sama berpelukan. Zulaikha yang dari tadi melihat perlakuan kami, turut mendekati kami dan berpelukan sama. Zafran dan Zakwan pun ikut serta…aku pun tertanya-tanya dari mana mereka sebentar tadi. Ada suram di wajah Faruki tika melihat kami anak beranak seperti itu. Ummi meleraikan pelukan, seorang demi seorang wajah anak-anaknya ditatap…penuh cinta. Tiba-tiba dahi ummi berkerut. Ada persoalan yang bermain di fikiran ummi ku rasakan. Aku bersuara.

“Kenapa ummi?”

“Abang Long kamu mana? Ummi tak nampak lagi dia.”

Tiba-tiba Zafran mencelah.

“Ada kat bilik sebelah ummi..kesian An tengok Abang Long. Dia Nampak sedih sangat-sangat.”

“Ermm…dahla, kamu semua pergi rehat dulu. Ummi tahu kamu letih, dari tengahari tadi tak makan. Ika..pergi la siapkan apa yang patut. Kesian Kak Ngah dengan Abang Ngah kamu tu. Mesti penat jalan jauh-jauh. Nanti malam sibuk lagi.”

Zulaikha mengangguk. Faruki memandangku. Memang wajah Faruki kelihatan agak penat. Mana tidaknya, memandu lapan jam tanpa henti. Berhenti pun hanya untuk solat sahaja, makan pun tidak. Sesiapa pun akan terasa penat. Aku membawa Faruki masuk ke kamar kami. Faruki merebahkan tubuhnya ke katil. Beberapa minit lagi azan maghrib. Kesian ku lihat Faruki yang kepenatan.

“Abang…nak makan dulu ke? Kesian abang, penat.”

“Tak apa la, abang nak mandi dulu. Tak lama lagi dah nak maghrib. Lepas maghrib kita makan la. Lagi pun nak kebumikan abah lepas isya’ kan..”

Aku mengangguk. Faruki menarik tanganku lembut dan aku terduduk di hujuang katil. Ditenungnya dalam-dalam paras wajahku. Aku jadi hairan.

“Kenapa abang tengok Ifah macam tu?”

Aku memberanikan diri untuk bertanya.

“Tak ada apa…Cuma abang dapat rasa sayang sedih sekarang ni. Walaupun sayang dah tak menangis macam tadi. Abang nak sayang sabar, tabah hadapi semua ni. Adik-adik masih perlukan sayang, lagi-lagi Ira tu.”

“Ya abang… Ifah tahu. Dan Ifah minta abang sentiasa ada dengan Ifah. Tak kira apa pun yang berlaku, sebab tempat Ifah di sisi abang. Ifah perlukan abang untuk teruskan semua ni.”

Faruki mengangguk. Dikucup dahiku berulang kali. Aku membalas kucupan mesra itu ke pipinya. Dia tersenyum indah. Aku pun.

Selepas maghrib, kami sekeluarga menjamu hidangan. Tapi tiada siapa pun yang tampak berselera. Makan untuk mengalaskan perut yang kosong sahaja. Ku lihat Abang Long tidak menyentuh sedikit pun hidangan di atas meja. Puas Kak Long memujuk tapi tetap juga tidak mahu menjamah.

Masuk waktu isya’, kami semua berjemaah di masjid berdekatan dengan rumah. Selepas solat, diteruskan dengan solat jenazah dan seterusnya membawa jenazah ke tanah perkuburan Al-Amin, Kampung Berangan. Kami anak beranak sudah menatap wajah abah sepuas-puasnya sebelum jenazah di bawa ke masjid. Abang Long mendahului langkahnya untuk membawa jenazah disertai adik-adikku Zafran dan Zakwan. Faruki juga tidak ketinggalan. Dua orang lagi Pak Ngah dan Pak Su kami. Al-Fatihah serta selawat di baca langkah tiap langkah tika jenazah di bawa. Aku, ummi, Zulaikha dan Zahirah membutukan diri bersama-sama kaum hawa di masjid tika itu. Kami wanita tidak digalakkan ke tanah perkuburan tika jenazah dikebumikan. Itu yang aku belajar masa sekolah dulu.

Setelah jenazah abah selesai dikebumikan, kami berempat menyusul ke perkuburan. Zafran datang menjemput kami. Setelah selesai segala-galanya, kami pulang ke rumah dengan kepenatan yang teramat sangat. Zahirah dan Zakwan berada di anjung hadapan rumah. Entah apa yang dibualkan. Mereka memang rapat. Perasaan lega bertamu di hatiku tika melihat Zahirah tidak seperti sepetang tadi. Zulaikha membelek-belek gambar kenangan bersama allahyarham abah. Ada titisan air mata di pipinya yang gebu itu. Mukaku berubah riak. Timbul perasaan kasihan pada adikku yang satu itu. Zafran pula mengemas apa yang patut di ruang tamu bersama suamiku. Sedangkan ummi berada di bilik solat, mengalunkan bacaan ayat-ayat al-Quran bersama Abang Long dan isterinya. Si kecil Ummar sedang nyenyak tidur di kamar.

Manakala aku pula menyibukkan diri mengemas di bahagian dapur. Faruki datang tanpa kusedari, disentuh bahuku. Aku agak terkejut tetapi ku balas dengan senyuman. Ku sediakan minuman untuknya, mungkin kehausan. Dan malam itu semuanya tidak dapat melelapkan mata termasuklah Faruki. Tapi ku paksa juga Faruki masuk ke kamar merehatkan diri kerana keletihan jelas tampak di wajahnya. Dan malam itu kami anak beranak sama-sama mengalunkan bacaan ayat-ayat al-Quran sampai ke subuh untuk dihadiahkan buat allahyarham abah tercinta.

—————————————————————————————————-

sedih (!_!)

Advertisements

7 thoughts on “BBL-Episod 3

  1. hahaha…ngada2 lepas baca novel kak nik ni laa! sapa sruh tulis novel genre mcmni. kan dah buat sy jadi ngada2. nasib baik tak berangan..huhuhu!okeh sy tunggu next week 😉

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s