BBL-Episod 8

Sekejap benar rasanya Faruki terlena. Tepat jam 10.00 pagi Faruki tersedar dari tidurnya. Selepas subuh tadi dia ketiduran, penat masih menjalar di tubuhnya. Dipandang ke sebelah, dilihat wajah isterinya yang  nyenyak dalam pelukannya. ‘Bila masa pula isteri aku ni tidur sekali. Ifah..Ifah..penat juga la ni kot.’ Muka Zulfah tampak pucat. Dielus lembut wajah kesayangannya itu. Wajah itulah yang sentiasa memberikan ketenangan padanya. Sungguh! Zulfah sentiasa bersama dengannya di waktu susah dan senang. Penat lelahnya adalah penat lelah Zulfah juga. Itulah sifat isterinya yang membuatkannya jatuh cinta, Zulfah lah segala-galanya bagi Faruki. ‘Kalaulah hidup aku tanpa Zulfah, tak tahulah macam mana’. Dia berbicara sendiri. Dia bangun menuju ke kamar mandi untuk mengambil wudhu’. Seusai berwudhu’, dilihat isterinya masih nyenyak..mungkin juga dibuai mimpi. Tidak sampai hatinya untuk membangunkan isterinya itu untuk solat dhuha bersama. Itulah yang selalu mereka lakukan tika hari minggu. Solat dhuha bersama-sama, dapat mengeratkan lagi hubungan antara pasangan sejoli itu.

Seusai solat dhuha, Faruki duduk meleku di hujung katil. Dipandang dari sudut katil ke wajah kesayangan isterinya. Paras yang kacak dan bersih itu diraup berkali-kali. Ada gelisah bertandang di hatinya. Entah kenapa, sejak melihat keadaan Zulfah seketika tadi, hatinya dirundung resah, kesah dan gelisah. Semua perasaan itu bergabung menjadi satu. Faruki mengeluh panjang. ‘Sayang…please…jangan buat abang risau’. Dia bermonolog sendirian. Sungguh! Dia terlalu menyintai wanita bernama Zulfah itu.

Deringan telefon alunan banat Syria membuatkan Faruki tersentak seketika. Tanpa lengah dicapai handset isterinya itu. Kedengaran suara seorang lelaki memberi salam bertamu dipendengarannya. ‘Salah dengarkah aku ni?’ Faruki bertanya dirinya. ‘Tak..memang suara lelaki. Siapa agaknya?’

“Hello..ya..waalaikumsalam. Nak cakap dengan siapa?”

Titt…talian diputuskan. Faruki hairan. Siapa agaknya yang berani menelefon isterinya itu. ‘Ahh..silap nombor agaknya. Tak pun orang dari syarikat penerbitan.’ Faruki cuba berbaik sangka terhadap isteri kesayangannya. Tidak mahu ada silap faham dalam rumahtangga mereka. Dia cuba menenangkan dirinya sendiri. Dipandang semula ke paras wajah isterinya yang sedang lena di katil. Faruki mendekati Zulfah, disentuh jemari isterinya itu dan mengucupnya dengan penuh hati-hati, bimbang isterinya itu tersedar nanti. Ditatap lama wajah tercintanya itu, dilihat ada ketenangan di wajah Zulfah. Wajah itulah yang sering dirinduinya tika berada di hospital dan di mana-mana sahaja. Walau berpisah sesaat cuma, wajah itu tidak pernah luput dalam kotak fikiran dan mindanya. ‘Terima kasih ya Allah di atas anugerah terindah yang telah kau berikan padaku. Takkan ku sia-siakan anugerah yang telah kau kurniakan padaku ini. Maka kuatkanlah aku untuk terus berjuang demi isteriku ini ya Allah..’ Ada rintihan dan doa dari bibir Faruki. Air matanya menitis lagi. Ahh..mudah benar ia mengalir. Memandang wajah Zulfah seakan-akan dia tidak sanggup untuk meninggalkan kenangan indah bersama isterinya itu. Kenangan yang tidak akan dilupakan sepanjang hayatnya. Namun takdirNya, tiada siapa pun mampu menolak. Faruki menyerahkan semua itu pada Allah yang maha berkuasa di atas segala sesuatu.

Beberapa minit berlalu, Zulfah membuka matanya, melilau mencari kelibat suami tercinta. Dengan perlahan, Zulfah cuba untuk membangunkan dirinya. Sebelum kakinya mencecah ke lantai, kelihatan suaminya masuk ke kamar dengan wajah yang penuh kerisauan. Faruki cuba mendekati Zulfah dan memapah isterinya itu. Tanpa dipinta, Zulfah memegang tangan suaminya.

“Sayang nak pergi mana ni?”

Faruki bertanya pada isterinya, kerisauan jelas tampak di wajahnya.

“Ifah nak masuk bilik air kejap…abang tolong papah Ifah. Ifah tak larat nak jalan.”

Faruki menganggukkan kepalanya. Terus dibawa isterinya itu ke kamar mandi. Lima minit kemudian Zulfah keluar, wajah bersihnya dibasahi dengan wudhu’. Tanpa disuruh, Faruki membentangkan sejadah dan menghulurkan telekung  kepada isterinya.

“Abang dah solat tadi…minta maaf sebab tak kejutkan Ifah. Abang tak sampai hati tengok Ifah lena sangat.”

Faruki tiba-tiba dilanda rasa serba salah. Zulfah hanya mengangguk tanpa bicara.

Faruki hanya memerhati tingkah isterinya ketika bersolat Dhuha. Dalam hatinya, dia sungguh kagum melihat isterinya yang seorang itu. Walaupun dalam keadaan sakit, isterinya itu masih mampu untuk bersolat Dhuha. Ahh…dia semakin sayang kepada wanita yang berada di pandangannya kini. Sungguh!

Sesudah solat, Zulfah mendekati Faruki yang sedang asyik merenungnya dari tadi. Dia ingin berbicara dengan suami kesayangannya itu. Faruki tersenyum melihat reaksi isterinya itu.

“Abang..Ifah minta maaf ya sebab buat abang risau tadi.”

“Tak adalah sayang..Ifah kan isteri abang, mestilah abang risau bila orang kesayangan abang sakit. Dahlah tu..sayang rehat ya. Muka Ifah nampak pucat, jom abang bawa pergi klinik ya..”

Zulfah hanya mendiamkan diri. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu ke klinik tetapi dia juga tidak mahu menolak permintaan Faruki untuk yang ke berapa kali dan mengguriskan hati suaminya itu. Ahhh…mahu tidak mahu dia hanya menurut perintah suaminya itu. Buat pertama kalinya Zulfah mengikut kemahuan suami tercinta untuk ke klinik. Faruki tersenyum lega, itu yang diinginkan oleh Faruki. Dalam hatinya hajat dan doa dipinta pada yang Esa moga apa yang diimpikan selama ini menjadi kenyataan. Moga ada sinar bahagia yang menjelma dengan kehadiran mujahid yang bakal menghiasi kesunyian Faruki selama ini. Hampir dua tahun hidup bersama, mereka masih belum punya rezeki untuk menimang permata hati. Zulfah memang sukakan kanak-kanak tetapi masih belum ada rezeki lagi, mungkin ada hikmah dan kebaikan disebalik itu. Mereka redha akan takdir yang telah tercatat untuk mereka, apa yang penting mereka tidak berputus asa untuk berusaha sedaya yang mungkin.

Dalam beberapa minit, Faruki sudah pun bersiap untuk ke klinik. Zulfah masih lagi di bucu katil, berfikir sejenak. Faruki mendekati isterinya itu, ada ragu yang bermain di fikiran Zulfah. Faruki mencuba sedaya mungkin untuk memujuk Zulfah, dengan cara itu sahaja dia bisa mengetahui sakit apakah yang melanda isterinya yang seorang itu. Tanpa lengah, Zulfah menyiapkan diri sederhana yang mungkin. Tidak mahu suaminya tertunggu-tunggu. Tanpa rela, Zulfah mengikut sahaja permintaan suaminya itu.

Di ruang tamu pula, kedengaran suara si kecil Ummar yang seronok bermain bersama ayah ciknya. Zulfah tersenyum melihat telatah si kecil itu. Jauh di sudut hatinya, dia juga menginginkan permata kecil seperti Ummar yang bisa menjadi penawar dalam hidupnya. Apatah lagi Faruki seringkali memanjatkan doa untuk mendapatkan cahaya mata. Dia sedar akan hal itu, namun dia terpaksa mendiamkan diri sahaja. Tidak mahu dirinya dan juga suami tercinta dirundung kesedihan, meruntun hati dan jiwa. Dalam hatinya juga, dia berdoa agar impian dan harapan bersama suaminya menjadi nyata. Tersedar dari lamunan, Faruki memanggilnya. Bercuti di kampung halaman sememangnya sesuatu yang diharapkan Zulfah. Dapat berkumpul bersama abang dan adik-adiknya. Tetapi kali ini percutiannya itu sangat tidak selesa kerana dirinya asyik loya dan muntah-muntah. Tidak mahu keluarganya risau, jadi Zulfah terpaksa mengikut kehendak Faruki. Zakwan melihat pasangan suami isteri di hadapannya, ada riak kemurungan di wajah kakaknya itu. Dilihatnya pula paras Faruki, seperti biasa sahaja. Apa agaknya yang berlaku?? Zakwan tertanya sendiri.

“Kak, kenapa ni? Siap-siap ni nak pergi mana?”

Tanya Zakwan..hairan!

“Kami nak ke klinik sekejap. Kakak wan ni tak sihat..”

Faruki dengan tenang menjawab persoalan adik iparnya itu. Fahamlah Zakwan kini bahawa kakaknya itu mahu ke klinik. ‘Patutlah muka semacam je..’ Zakwan tergelak kecil sendiri pabila teringatkan kakaknya itu. Lebih lucu lagi bagi Zakwan bila melihat muka abang iparnya yang tampak bersahaja itu. Mungkin sudah penat memujuk kakaknya untuk dibawa ke klinik. Zakwan hanya menggelengkan kepalanya sambil tersenyum lucu kepada kedua kakak dan abang iparnya itu.

Faruki mendiamkan diri tika memandu, Zulfah pula jauh termenung. Dalam hati Faruki tertanya-tanya sendiri apa lagi yang dimenungkan oleh isterinya itu. Sejak kebelakangan ini, Zulfah sentiasa termenung. Entah apa yang difikirkan, Faruki sendiri tidak tahu. Lirikan mata Zulfah seakan-akan menyatakan yang dia tidak suka diperlakukan begitu oleh Faruki. Faruki perasan akan hal itu, sengaja dibiarkan. Dia tidak mahu bertegang lidah dengan wanita kesayangannya itu. Zulfah pula merasa tidak puas hati bila dipaksa untuk ke klinik. Bukannya sakit teruk pun! Ngomel Zulfah sendirian. Faruki tersenyum nakal melihat telatah isterinya itu, mungkin betul jangkaanya selama ini. Mana kan tidak, Zulfah sentiasa sahaja termenung, kekadang cepat sangat sensitifnya, melampau pun ada juga. Lemah semangat pun ada sejak kebelakangan ini. Setahu Faruki, isterinya itu kuat semangat orangnya. Tidak mudah cepat melatah dan sentiasa berfikiran positif. Perubahan yang ketara itulah yang menjadi tanda tanya baginya kini.

Estima Faruki berhenti di perkarangan hadapan klinik Nik Fatma. Zulfah hanya mengikut perintah suaminya itu untuk turun dari kereta. Setelah masuk ke klinik, tanpa disuruh Zulfah meletakkan Mykad ke dalam sebuah bakul kecil di kaunter. Dalam lima belas minit, namanya dipanggil dan Faruki sudah bersedia untuk menemani isterinya itu untuk masuk ke dalam bilik rawatan. Zulfah hanya mendiamkan diri, tiada bicara dari mulut comel itu. Faruki tidak mahu berbahas panjang, tidak mahu isterinya itu murung walhal hari ini sepatutnya hari yang gembira buat kedua pasangan itu. Dibiarkan sahaja Zulfah mendiamkan diri kerana dia tahu, selepas mendapat berita yang menggembirakan nanti semestinya Zulfah akan berbicara dengannya.

Setelah Dr. Fatma membuat pemeriksaan, ternyata apa yang dijangka oleh Faruki benar belaka. Dr. Fatma tersenyum pada Zulfah. Di dalam hati Faruki, tidak tertahan rasa gembira dan syukur ke hadrat Illahi kerana kurniaanNya yang maha hebat ini.

“Tahniah puan, encik..puan bakal menjadi ibu tak lama lagi. Alhamdulillah kandungan puan sudah pun mencecah dua bulan setengah.”

Zulfah seakan tidak percaya dengan apa yang dikatakan oleh Dr. Fatma sebentar tadi. Berulang kali ditanya soalan yang sama kepada suaminya. Matanya sudah mula menahan pedih, akhirnya titisan gembira itu keluar juga. Dipeluk erat suami tercinta sambil mulutnya tidak berhenti mengucapkan terima kasih kepada Dr. Fatma. Dr. Fatma yang melihat pasangan di hadapannya itu pun turut merasa gembira dengan berita yang disampaikan sebentar tadi. Faruki sendiri menahan rasa tangisnya, nanti apa pula kata Dr. Fatma. Dengan rasa rendah diri, Faruki mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dr. Fatma dan meminta diri untuk mengambil ubat yang disarankan oleh doktor tersebut. Dalam hatinya, tidak putus-putus mengungkapkan rasa syukur padaNya. Dipanjatkan doa agar isteri dan anaknya itu selamat sebelum dan selepas melahirkan nanti. Zulfah masih lagi tidak percaya dengan berita yang dikhabarkan tadi. Seolah-olah mimpi semata. Seusai mengambil ubat di kaunter farmasi, Faruki memegang erat tangan isterinya berjalan ke parking.

Ketika masuk ke perut keretanya, Zulfah masih lagi menangis. Menangis gembira setelah sekian lama menunggu saat yang indah seperti ini. Faruki menenangkan isterinya itu, cuba untuk mengurangkan keharuan wanita di sebelahnya kini. Sememangnya berita inilah yang ditunggu-tunggu oleh mereka, pasangan mana yang tidak gembira pabila anugerah yang ditunggu-tunggu selama ini menjadi nyata kini. Pasangan itu tidak putus-putus mengucap syukur kepadaNya. Kalau boleh, mahunya mereka sujud syukur di situ juga tapi apa pula kata orang nanti. Zulfah memegang tangan suaminya, mengharapkan agar suaminya itu memahami perasaannya kini. Suami mana yang tidak gembira apabila mendapat tahu yang dia bakal menjadi bapa tidak lama lagi. Sudah tentunya dia sebagai suami memahami perasaan isterinya malah lebih dari itu.

“Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras.” [Ibrahim : 7]

Baru Zulfah tersedar, simptom-simptom yang ada pada dirinya sejak kebelakangan ini menunjukkan yang dia sudah pun berbadan dua. Cuma dia sahaja yang tidak peka terhadap perubahan pada dirinya sendiri. Patutlah dia sering kali pening kepala dan kadang kala muntah tak tentu fasal. Kekadang badannya terasa lemah hinggakan tidak mampu untuk menyiapkan kerja-kerja seharian di rumah. Dia sendiri pun hairan, mulanya diingatkan penat biasa sahaja. Rupa-rupanya inilah sebab perubahan yang berlaku. Tak terucap rasa syukurnya kepada Allah yang telah mengurniakan anugerah yang paling besar ini. Soalan yang sama masih ditanya kepada suami tercinta, seakan-akan masih tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi. Faruki hanya tersenyum gembira.

“Abang…betul ke apa yang doktor cakap tadi?”

“Ya sayang…tak lama lagi kita akan timang anak sendiri. Dah banyak kali sayang tanya soalan tu, tak penat ke..ermm?”

“Tak adalah…Ifah cuma rasa terkejut, macam tak percaya. Padahal Ifah tak perasan pun apa-apa perubahan pada diri Ifah.”

Zulfah hanya menahan malu dihadapan Faruki. Faruki pula seronok bukan kepalang mengenakan isterinya itu.

“Sayang je yang tak perasan. Abang dah lama perasan, Ifah mudah sangat merajuk dengan abang..sensitif bukan main. Dulu mana ada macam tu, kalau merajuk pun tak adalah sampai marah-marah abang tak tentu fasal. Ni tak…asyik-asyik nak marah orang. Lepas tu mula la…muncung 14, boleh sangkut hanger baju kat hidung tu..”

Faruki mencubit hidung mancung Zulfah, sekali lagi Zulfah menahan malu dan terasa dirinya kini dijadikan bahan oleh suaminya itu.

“Abang ni…bukan sengaja Ifah nak merajuk dengan abang. Ada sebab kan..”

“Ermm..yela tu. Memang ada sebabnya. Sebab nak mengada-ngada dengan abang kan..?”

Muka Zulfah sudah memerah menahan rasa malu. Faruki pula semakin galak mengenakan isterinya itu. Sememangnya apa yang dikatakan oleh suaminya itu benar belaka. Entah kenapa sejak kebelakangan ini, Zulfah selalu sahaja marah-marah tak tentu fasal. Kekadang mengada-ngada semacam. Itulah yang membuatkan naluri Faruki semakin kuat mengatakan isterinya itu kini sedang berbadan dua. Walaupun Faruki seorang doktor pakar bedah, namun dia tetap peka pada simptom-simptom yang ada pada wanita yang sedang mengandung. Itu yang Zulfah tidak tahu tentang suaminya.

“Abang ni..saja je tau. Dah-dah la tu kenakan Ifah. Kan Ifah merajuk lagi..naya abang nanti”

“Yela…abang diam je la macam ni. Tak payah cakap dgn Ifah..”

Mereka sama-sama ketawa. Sungguh bahagia..indahnya hidup pasangan yg diredhai olehNya.

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, (akan beroleh) syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; mereka kekal di dalamnya dan beroleh tempat-tempat yang baik di dalam “Syurga Adn” serta keredhaan dari Allah yang lebih besar kemuliaannya; (balasan) yang demikian itulah kejayaan yang besar.” [At-Taubah : 72]

—————————————————————————————————-

Permata hati satu anugerah dan amanah dariNya…Allahuakbar! masa Mz menulis episod ni, tak silap bulan jun 2007, hati Mz begitu terusik kerana Mz juga sukakan kanak-kanak. Jadi apabila menulis, Mz seolah-olah menjiwai watak Zulfah dan Faruki yg bahagia mendapatkan perkhabaran yang gembira. Even Mz msh  blm berkahwin dan punya anak sendiri, namun ianya satu moment yg indah Mz rasakan. Cecehh… 😉

Seminggu dua ni fikiran Mz sedikit kekacauan. Selain mengadu kpdNya, Mz mengisi waktu dgn mewarna dan bermain sudoku. Waah! colouring book Mz dah nak habis…xperasan pun. Bila la pulak nak g popular..ermm…

Eh sblm terlupa..salam Maal Hijrah @ Awal Muharram 1432H. Moga tahun baru ini kita lebih cakna dgn amalan2 wajib malah juga amalan2 sunat. Moga kita lebih taqarrub pdNya dan istiqamah dlm melakukan kebaikan..i-Allah. Pape pun selamat membaca! 🙂

Advertisements