BBL-Episod 17

Tanggal 17 Sya’ban. Aku dan keluarga menziarahi keluarga Hambali untuk silaturrahim dan menyatakan keputusanku kepada Hambali. Sungguh hati ini begitu tercalar sekali dengan apa yang akanku putuskan. Aku cuba untuk memaniskan wajah di hadapan mereka. Tidak sanggup rasanya berlama-lama di rumah mereka apatah lagi jawapan yang akanku berikan nanti adalah sesuatu yang menyakitkan buatku, mungkin juga buat Hambali. Tetapi itulah jalan yang telah Allah tunjukkan kepadaku, aku harus pasrah dan redha untuk melawan segala rasa yang ada di benakku. Ikhlaskah aku?! Ya Allah…berikan kekuatan kepadaku..

Perjalanan ke Johor Bahru ku rasakan begitu jauh. Kami bermalam di rumah Mak Andak yang tidak begitu jauh dari daerah tempat tinggal keluarga Hambali. Hanya memakan masa sejam lebih untuk ke Kota Tinggi. Dalam perjalanan ke rumah Hambali, aku banyak termenung dan lebih suka mengunci mulut. Kesejukan penghawa dingin membuatkan aku sedikit menggigil. Perasaan bimbang menular ke seluruh rongga arteriku. Seram sejuk. Ummi dan abah juga masih belum mengetahui jawapan yang telah ku putuskan. Pasti mereka juga akan terkejut dengan jawapanku nanti. Tiada penyokong yang menyebelahiku waktu ini persis pemain bola sepak yang tidak punya sokongan dari pasukan penyokong. Bezanya aku hanya sendirian berlainan watak dengan satu pasukan bola sepak. Hanya aku dan Dia sahaja yang mengetahui jawapanku ini.

Di hadapan kanan banglo keluarga untie Ruqaiyyah, tersergam indah landskap buatan yang ku kira harganya agak mahal. Cantik. Ketenangan menerjah di seluruh rongga tubuhku. Sungguh pandai untie Ruqaiyyah membuat pemilihan landskap sebagai aksesori ruangan halaman di rumahnya. Pasti untie Ruqaiyyah punya citarasa yang tinggi. Aku menduga sejenak. Di hadapan pintu utama terpacul wajah yang sering kudambakan. Dia penyambut pertama kedatangan kami. Malah bibirnya menguntum senyum yang indah buat kami sekeluarga. Aku seakan di awan-awangan pabila melihat dirinya yang ceria pada pandanganku. Sekiranya dia sudah halal bagiku, pastinya akan ku dakap dirinya. Astaghfirullahal ‘azim…apa aku ni! Jangan Zulfah! Dia bukan milikmu bukan jua jodohmu…buang segala anganmu itu. Titik! Tuntas aku kembali ke alam realiti. Alam yang ku cipta sendiri itu hanya angan-angan yang tidak mungkin akan menjadi nyata.

Abah mendahului kami ke pintu utama rumah untie Ruqaiyyah dan uncle Hamzah. Setelah salam diucapkan, kami bersalaman antara satu sama lain. Kecuali yang bukan mahram. Hambali terus-terusan memandangku, kaget aku jadinya. Rimas pun ada bila dipandangku sebegitu. Ketika melangkah masuk, aku menanggalkan niqab dan kami dipersilakan duduk di sofa ruangan tamu yang cukup besar pada amatanku.

“Akhirnya sampai juga keluarga En. Syarif ke rumah kami ni. Hambali ni dah tak sabar benar menunggu. Dari tadi asyik mengintai-intai pintu tu. Sihat ke semuanya?”

Baba Hambali memulakan bicara sebagai tuan rumah yang mengakramkan tetamunya. Aku bagai dipanah tika uncle Hamzah mengatakan sedemikian. Ku menundukkan wajah, terasa malu untuk berpandangan dengan mereka. Hambali hanya tersenyum.

“Alhamdulillah kami baik. En. Hamzah sekeluarga macam mana? Nampaknya sihat-sihat belaka. Tulah..dah lama hajat nak datang cuma waktu je yang tak ada. Lagipun Zulfah ni malu katanya nak datang sini.”

Uncle Hamzah tergelak kecil mendengarkan pernyataan abah. Aduh! Malu aku dibuatnya. Kalaulah ditanya tentang jawapanku nanti, apa aku kuat untuk menyatakannya? Ahh..rumit! ya Allah kuatkan aku..

“Alhamdulillah bertambah sihat sejak nak dapat menantu baru ni. Alah..apa nak dimalukan. Lagipun tak lama lagi Zulfah akan jadi sebahagian dari keluarga ni. Kalau Zulfah nak datang beritahu je pada Am, dia boleh pergi ambil Zulfah kat kampus. Ye tak Am?”

Hambali tersenyum lagi. Mukanya mula memerah. Menahan malu diusik sebegitu. Aku apatah lagi. Terasa bagai nak pecah muka ni! Mahunya aku keluar ke halaman, tidak sanggup rasanya mendengarkan perkataan menantu di bibir uncle Hamzah. Padahal hatiku begitu menginginkannya tetapi Allah telah menunjukkan jalan yang terbaik buatku dan juga Hambali. Mungkin juga mereka saja mengusikku supaya aku tetap terus untuk menerima Hambali sebagai calon suamiku. Allahuakbar! Rasa berat hati ini untuk menyatakan jawapanku nanti pabila melihatkan dua keluarga sudah pun memateri janji untuk menyatukan kami. Apa mungkin aku harus istikharah lagi untuk mendapatkan kepastian? Ligat mindaku memikirkan hal itu. Ku lihat wajah Hambali tidak sedikit pun muram seperti hari di mana keluarganya bertandang ke rumahku. Apa dia sudah redha dengan apa sahaja jawapanku? Atau itu hanya lakonan semata? Allah…macam mana ni? Tolong hambaMu ini..

“Tak payahlah nak susah-susah Hambali. Ifah ni mandiri orangnya, kuat semangat. Kalau dia nak datang, dia boleh datang sendiri. Mak cik percayakan keluarga ni.”

Ummi mula bersuara. Dah memuji anak sendirilah pula.  Ishh…lagilah tak selesa aku dibuatnya. Betul ke aku ni kuat semangat?? Mungkin orang nampak aku persis itu tetapi pada hakikatnya tidak. Aku insan yang terlalu lemah. Ummi..apa yang ummi lihat tidak seperti apa yang Ifah rasakan..Aku sedikit mengeluh, gusar kian bertandang. Kebarangkalian untuk aku menyatakan jawapanku kepada Hambali mungkin akan ditunda pada saat yang tepat. Bukan pada waktu ini.

“Tak kisahlah mana-mana pun Pn. Zaharah. Kita ni tak lama lagi nak berbesan. Susah senang kita tanggung sama-sama. Tak gitu En. Syarif?”

Mereka sama-sama ketawa mendengarkan kata-kata uncle Hamzah. Aku dan Hambali hanya diam seribu bahasa. Kami saling berpandangan. Pada riak wajahnya, ku lihat ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku. Aku terfikir bagaimanakah agaknya riak wajahku tika ini yang membuatkan Hambali begitu curious.

“Hai..diam je kamu berdua ni? Tak ada apa ke nak cakap? Takkan Ifah datang jauh-jauh nak diam macam ni je?”

Abah berpaling padaku tuntas berpaling kepada Hambali. Kami terpana. Mata kami bertembung. Cepat-cepat aku menundukkan wajah. Malu.

“Errrrr…..”

Jawapan kami seiring. Lantas terus terdiam semula. Kami berpandangan lagi. Ya Allah..macam mana boleh sama pula ni. Aku jadi kaget dan automatiknya, aku berlari anak ke beranda hadapan. Terasa malu sekali. Batinku terseksa diperlakukan sebegitu. Mahu rasanya aku menangis di hadapan mereka tetapi mana mungkin. Aku harus kuat!  Mereka berpandangan antara satu sama lain. Barangkali hairan melihatkan tingkahku ini. Mungkin pada mereka aku begitu malu diusik sebegitu rupa. Mereka hanya tersenyum tetapi aku? Ah..sakitnya ya Allah..

Suara Hambali memanggil namaku. Aku terseksa. Sungguh! Ada titisan di pipiku. Aku menundukkan wajah, tidak mahu Hambali melihat parasku yang sedang bersedih duka.

“Zulfah..maafkan baba saya. Baba memang suka mengusik kita macam tu.”

Diam.

“Zulfah…kenapa dengan awak ni? Awak menangis?”

Diam lagi. Aku sedikit terpana dengan soalan Hambali. Dia nampak ke aku menangis?

“Zulfah..pandang saya. Saya tahu awak menangis. Maafkan saya.”

Aku cuba untuk menyembunyikan perasaanku tika ini. Ucapan maaf dari Hambali tidak sedikit pun membuatkan aku reda.  Cepat-cepat aku mengesat titisan di pipiku.

“Tak..saya ok. Saya cuma malu. Ermm..saya tak apa-apa. Awak sihat?”

Ku cuba berbasi-basi menanyakan khabar Hambali, tidak mahu banyak persoalan timbul antara aku dan dia.

“Alhamdulillah..macam awak tengok sekaranglah. Tapi saya rasa awak tak sihat. Awak sakit?”

Apa jenis soalan ni? Ada pula kata aku sakit. Muka aku ni nampak sakit ke? Aku hairan.

“Errr…awak nampak saya sakit ke?”

“Tak..tapi mata hati saya yang kata macam tu. Saya dapat rasa awak sakit sekarang ni. Sebab kita kan? Saya tahu awak dah ada jawapannya.”

Aku terdiam. Tidak tahu harus bicara apa.

“Zulfah..kalau awak dah ada jawapan itu tolonglah beritahu saya. Dah tak sanggup rasanya buat awak menderita kerana saya. Apa pun keputusan awak, saya redha. Allah tahu mana yang terbaik buat kita.”

Hambali bicara ikhlas seakan dia bersedia menerima segala apa yang akan ku putuskan. Aku bingung. Apa aku sudah bersedia untuk memutuskan tali pertunangan kami yang sudah terbina selama empat purnama ini? Kusut.

“Ermm..saya masih tiada jawapan untuk itu.”

“Awak yakin masih belum ada jawapan? Atau pun awak tidak sanggup untuk sampaikan kepada saya dan keluarga? Atau mungkin awak tetap ingin pertunangan ini diteruskan?”

Hambali tersenyum. Rasanya dia sudah mengagak apa jawapan ku nanti. Cuma dia masih perlukan jawapan itu keluar dari bibirku. Atau mungkin dia masih mengharap hubungan ini dapat diteruskan hingga ke gerbang pernikahan? Aku tidak dapat menduga hatinya apatah lagi menyelami perasaannya waktu ini. Seharusnya aku sudah bersedia untuk menyatakan keputusanku. Ahh..aku perlukan kekuatan. Tetapi sampai bila harus ku menunggu untuk menyatakan jawapanku ini? Aku mengeluh.

“Kenapa mengeluh? Tak baik mengeluh macam tu, Allah tak suka. Awak tak nak jawab soalan saya tadi? Erm..tak apalah. Take your time. Maybe you just need more times to think about us.”

“Ermm..maafkan saya.”

Tanpa banyak bicara, aku meninggalkan Hambali di beranda keseorangan. Ku terus masuk dan menuju ke dapur melihatkan ummi dan untie Ruqaiyyah sibuk menyediakan sesuatu di dapur.

Hambali buntu seketika. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Dirasakan bagai kehilangan pabila Zulfah meninggalkannya tanpa jawapan yang pasti. Hambali meraup wajahnya. Dia masuk menuju ke ruang tamu untuk menyertai babanya dan pak cik Syarif. Di mindanya hanya memikirkan Zulfah. Gadis itu nampaknya tidak mahu berbicara dengannya. Apa lagi memberikan jawapan pada persoalan yang bermain di benaknya itu. ‘Kenapa Zulfah? Ya Allah..tenangkan hati ini dengan setiap ketentuanMu’. Hambali berdoa di dalam hati moga diberi sejuta ketenangan menghadapi hal yang mendatang di kemudian hari. Jika sudah tertulis Zulfah bukan miliknya, dia redha walaupun hatinya begitu sakit. Namun sebagai lelaki dia harus menjaga perasaannya itu agar tidak tampak lemah pada pandangan sesiapa kecuali Allah yang Maha Mengetahui.

Setelah usai menjamu hidangan yang disediakan oleh untie Ruqaiyyah, ummi dan abah dibawa untie Ruqaiyyah dan uncle Hamzah meninjau kawasan rumah mereka. Mereka ke halaman belakang di mana terdapat banyak tanaman yang ditanam sendiri oleh mama dan baba Hambali. Aku ditemani kak Humaira ke biliknya. Kebetulan pada waktu itu abang Azman, suami Kak Humaira tidak ada di rumah. Kak Humaira banyak berkongsi pengalamannya di waktu alam pengajian sehinggalah menimang dua orang cahaya mata. Aku termangu sendirian memikirkan hal itu. Apa mungkin aku dan Hambali akan mengalami saat seperti kak Humaira dan abang Azman? Wallahu a’lam…semuanya sudah tertulis. Aku hanya mampu berdoa semoga impian itu menjadi nyata walaupun suamiku kelak bukanlah Hambali yang selama ini kudambakan. Termenung.

   

———————————————————————

Selamat kembali pd episod ke 17. Mohon maaf sudah lama Mz xupdate. Mz kesempitan waktu dan mengaulakan bbrp prkara yg lebih penting. Doakan Mz dimudahkan sgla urusan.  Aminn..

Selamat membaca…jumpa lg 2minggu akan dtg..i-Allah 🙂                                                                                                                 

Advertisements

2 thoughts on “BBL-Episod 17

  1. sangat bagus. teruskan menulis. jika xkeberatan mohon dihantar karya ke mana2 publisher. insyaallah ada hasilnya. jika xsalah saya jemari seni perlukan karya2 islamic begini.keep up your good work

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s