BBL-Episod 13

Sesudah menjamu selera, aku di sapa oleh Hambali. Ada rasa kaget ku rasakan. Hambali tampak biasa, namun aku dapat menangkap perasaannya tika ini. Malu semalu malunya! Pokok semalu pun tidak semalu kami waktu ini. Di ruang beranda hadapan, aku dan Hambali saling memandang pepohon menghijau di halaman rumah. Tiada bicara antara kami. Hampir setengah jam juga kami begitu. Kak Humaira datang, mungkin dia merasakan sesuatu di antara kami.

“Aiii..senyap je kamu berdua ni? Am..janganlah buat Ifah mcam ni..kasihan Ifah menunggu Am dari tadi buka mulut.”

Hambali menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mukanya merona merah menahan malu. Aku hanya tersenyum. Kak Humaira berjalan masuk ke ruang tamu, ditinggalnya aku dan Hambali begitu sahaja. Sejujurnya aku memang rimas berada dalam keadaan seperti ini. Bagaikan tidak punya oksigen rasanya. Lemas! Ya Allah…bila la dia ni nak buka mulut. Dah penat aku tunggu!

“Err…Zulfah sihat?”

Hambali memulakan bicaranya, tampak gabra. Ada ke patut baru nak tanya aku sihat ke tidak. Dah tengok depan mata ni takkan tak nampak lagi. Ishh…sabar jelah dengan dia ni!

“Ermm..sihat. Kata kak Humaira, awak ada perkara penting nak beritahu saya. Apa dia?”

Aku terus menanyakan tujuan sebenar dia datang bertandang. Dah malas nak tunggu lama-lama. Boleh berpeluh macam ni tahu!

“Ermm…memang ada. Cuma saya tak pasti samada saya kuat atau tidak untuk menyatakan hal ini pada awak.”

Ahh..akhirnya berani juga dia buka mulut. Ingatkan dah tak ada mulut. Aku hanya menunggu patah perkataan yang akan dikeluarkan nanti. Malas rasanya mahu berbasi-basi di hadapannya.

“Begini..saya…”

Diam.

Aku memandang wajahnya. Sepertinya dia sedang bersedih. Kenapa dengan dia ni? Tak faham betul aku! Dah diam pula….ishh.

“Kenapa diam? Teruskanlah. Saya mendengar.”

“Saya harap apa yang saya akan katakan nanti tidak mengguris hati awak.”

Diam lagi.

Huh! Aku mengeluh, menarik nafas sedalam-dalamnya. Cuba untuk menenangkan diri.

“Awak kenapa? Ada masalah? Kenapa awak cakap macam tu? Saya tak faham.”

Dia memandangku penuh makna. Seakan ingin mengharapkan suatu jawapan. Aku jadi kelu dan bertambah hairan.

“Zulfah…saya dah gagal…”

Suaranya penuh sayu dan emosi.

“Gagal? Maksud awak?”

“Ya…saya gagal untuk final exam. Jadi saya tak dapat naik tahun tiga.”

Aku memandang tepat ke wajahnya. Ada suram yang ku lihat. Apa benar yang dikatakan? Lidahku kelu.

“Maafkan saya Zulfah…saya tak dapat buat yang terbaik. Saya redha apa pun keputusan awak. Saya masih lagi berbaki setahun pengajian tetapi bila begini jadinya, saya terpaksa menambah setahun lagi pengajian saya di sana. Dan saya bimbang kalau tahun-tahun seterusnya begini juga pengakhirannya. Jadi lebih baik saya pulang ke sini, menyambung pengajian di sini.”

Kami diam. Tiada bicara antara aku dan dia. Mengapa harus begini? Seharusnya pengajiannya lebih dahulu tamat berbandingku. Tetapi sekarang? Ahh..semakin serabut jiwaku kini. Apa harus aku membuat keputusan sekarang? Tidak! Aku sudah bersedia menerima Hambali. Kenapa sekarang aku harus bertukar fikiran? Ya Tuhan..

Hambali memandangku penuh harapan agar aku mengerti perasaannya kini. Aku jadi lemah. Tanpa lengah, aku melangkah ke bilik. Kedua-dua belah keluarga masing-masing berpandangan. Setiba di kamar, aku terduduk di tepi birai katil. Mataku terasa hangat. Akhirnya kolam mataku bergenang jua. Kenapa aku yang harus menangisinya? Padahal bukan aku yang gagal. Dia!

Ummi mengetuk pintu bilikku. Cepat-cepat aku menyeka air mataku. Cuba menenangkan diri seketika.

“Ifah..kenapa ni sayang? Kenapa buat macam tu kat Hambali..kasihan dia terpinga-pinga kat luar tu. Kenapa ni, cuba beritahu ummi..”

Suara ummi lembut memujuk puterinya ini. Aku diam. Tidak mahu mengatakan apa-apa tentang tadi. Aku tidak mahu ummi bimbang.

“Tak ada apa-apa ummi. Mungkin Ifah yang sensitif sangat dengan Hambali.”

“Laa…kenapa pula. Tak baik buat dia macam tu. Ifah kena ingat, Hambali tu bakal suami Ifah tak lama lagi. Ifah kena hormat dia. Cara Ifah tadi buatkan dia rasa bersalah.”

“Ermm..maafkan Ifah ummi..Ifah tak ada niat pun. Sungguh!”

“Dahlah..jom keluar. Pergi minta maaf dengan Hambali.”

Aku mengangguk. Walhal aku sudah pun mendapat perkhabaran yang menyedihkan, mana mungkin aku meminta maaf kepadanya. Bukannya kami bergaduh pun! Aku keluar membuntuti ummi dari belakang. Kak Humaira mendapatkanku. Aku mengerti kini apa yang dikatakan kak Humaira sebelum aku berhadapan dengan Hambali. Ada riak muram di wajah kak Humaira. Mungkin mengerti apa yang ku rasakan.

“Ifah sabar ye..akak faham perasaan Ifah sekarang ni. Tapi akak harap Ifah buatlah keputusan yang terbaik untuk kamu berdua. Am redha apa pun keputusan Ifah tapi akak tahu dia pasti mengharapkan sesuatu dari Ifah.”

Aku kelu. Hanya mengangguk tanda setuju apa yang diperkatakan kak Humaira. Dalam benakku, aku kasihan kepada Hambali tetapi di suatu sudut yang lain, aku masih memikirkan apa yang akan berlaku di masa depanku kelak. Jika beginilah jadinya, makin tidak keruan aku dibuatnya. Anak mataku melirik ke tempat duduk Hambali. Ku lihat air mukanya seperti mengharapkan sesuatu dariku, aku mengerti..tetapi..Ahh! Serabut!

Mama dan baba Hambali seakan mengerti perasaan Hambali tika ini. Mungkin mereka sudah berpakat untuk tidak membincangkan hal ini kepada ummi dan abah. Sewaktu mama Hambali mendekatiku, ada rasa yang kurang selesa ku rasakan. Mama Hambali menarik lenganku, aku mengikutinya. Bicaranya indah seakan memujukku untuk bersabar. Katanya lagi, dalam tempoh beberapa hari lagi dia akan bincangkan hal ini dengan ummi dan abah. Sekarang hanya aku yang perlu tahu keadaan duduk yang sebenarnya berlaku kepada Hambali. Mungkin keluarga Hambali tidak mahu mengeruhkan keadaan. Aku jadi sebak, tidak sanggup rasanya menatap wajah indah yg berada di hadapanku. Hambali memandangku lagi. Kali ini wajahnya sarat dengan senyuman. Aku hanya tersenyum pahit. Kelat! Mengapa jadi begini ya Tuhan..

Sejam sudah berlalu, aku masih membatu di sebelah ummi dan mama Hambali. Tiada bicara yang dapat ku untaikan melalui kata-kata, hanya lirikan mata dan senyuman yang menjadi medium bicaraku. Hambali tampak biasa, pandai sungguh dia berdrama di hadapan ummi dan abah. Berdrama ke? Allah…kenapalah jadi macam ni. Hambali…kenapa??! Ada sebak di sanubariku kini. Tiada siapa yang tahu melainkan Dia.

Setelah tamat perbualan antara dua keluarga, mereka meminta diri untuk pulang. Aku hanya diam sejuta bahasa. Hambali mengucapkan sesuatu kepadaku tetapi ianya berlalu bagai angin sepoi-sepoi bahasa. Aku hanya mengangguk. Diam.

Ummi sedari tadi memandang paras wajahku penuh hairan. Abah menyoroti anak mataku dengan penuh tanda tanya. Aku sendiri tidak tahu mahu bicara apa lagi. Langkahku hayun ke kamar, mengunci pintu seraya mentelaah, mentafsir dan merenung kembali apa yang dikatakan Hambali. Tiada rasa ku rasakan. Hanya secebis kekecewaan dan sekelumit walah menjadi penemanku. Apa mungkin aku akan bersatu dengan Hambali dalam tempoh setahun setengah lagi sedangkan dia mahu melanjutkan pelajarannya di sini. Sudah semestinya memakan masa selama empat tahun atau mingkin lebih dari itu. Apa harus aku menunggu??

Mungkin hujung bulan ini, keluarga Hambali akan datang lagi untuk berbincang dengan ummi dan abah. Apalah agaknya reaksi ummi dan abah nanti. Aku pun tidak pasti samada mereka menerima usulan Hambali atau pun tidak. Allah..terasa ada batu besar melekat di kepalaku kini..

******************************************************************

Tit tit…satu pesanan ringkas memanggil-manggil untuk dibuka inboxnya. Aku melihat di skrin handsetku, ada mesej dari Hambali.

‘Assalamualaikum, semoga awak tenang dalam rahmatNya. Bukan bermaksud untuk saya mengguris hati dan perasaan awak. Tetapi ini hakikat yang terpaksa saya lalui. Maafkan saya kerana tidak mampu buat yang terbaik untuk diri saya sendiri apatah lagi untuk awak sebagai bakal isteri saya nanti. Maafkan saya Zulfah…’

Aku mengeluh..tidak tahu apa yang patut ku balas. Aku cuba mengail beberapa patah ayat untuk membalasnya. Hampir setengah jam aku merenung mesej Hambali. Tidak dapat tidak, aku harus membalasnya.

‘Waalaikumsalam wbt..saya terima semua ini sebagai satu musibah untuk kita. Tetapi bukan bermakna saya akan menerima segala keinginan awak. Sebagai pemimpin bahtera akan datang, seharusnya awak lebih optimis dalam hal ini. Saya tidak mahu awak cepat mengalah, saya sarankan awak fikir semula kesan dan risikonya nanti..’

Message delivered. Sela beberapa minit kemudian..

‘Maafkan saya Zulfah, beri saya waktu untuk menyelami sedalam-dalamnya hal ini. Apa pun keputusan nanti, saya akan beritahu keluarga awak. Dalam dua minggu lagi saya dan keluarga akan ke rumah awak. Terima kasih kerana memberi secebis picisan semangat buat bakal suami awak yang serba kekurangan ini.’

Hambali tersenyum, bermonolog sendiri. ‘Nampaknya Zulfah bimbangkan aku. Harapnya dia mengerti perasaanku kini. Tapi apa maksud Zulfah tidak menerima segala keinginanku? Apa dia tidak mahu aku menghentikan pengajianku di Mesir? Apa pun nanti, berbincang sesama keluarga adalah jalan yang terbaik. Ya Allah..permudahkan urusanku yang satu ini..’

Dua minggu kemudian, Hambali datang bersama mama dan babanya. Aku memandang wajahnya yang agak sugul pada pandanganku. Tidak tahu mahu bicara apa, aku melangkah ke dapur menyiapkan apa yang patut buat tetamu agungku itu. Jiwaku kekosongan, hanya satu nama itu yang berlegar-legar di ruang mindaku. Hambali. Kenapa begitu sukar untuk aku menerima keputusannya mahu menyambung pengajiannya di sini? Walhal lebih dekat denganku nanti. Aku bingung. Istikharahku beberapa malam ini masih samar-samar dengan keputusan yang dibuat. Mungkin kerana aku mengharapkannya bergelar graduan Al-Azhar, barangkali. Entahlah!

Siap menyiapkan hidangan, tuntas aku ke ruang tamu membawa teh dan sedikit kuih muih. Mama Hambali memandangku dengan wajah yang begitu tenang. Babanya juga tersenyum padaku. Tetapi Hambali seakan tidak gembira melihatku, aku hanya menundukkan wajah. Sebentar sahaja aku berada dengan mereka, lantas meminta izin untuk beredar. Aku tidak mahu mendengarkan perbincangan mereka. Biarlah Hambali dan orang tuanya yang menerangkan kepada abah dan ummi perkara duduk yang sebenarnya.

Di kamar, aku sepi membisu. Hanya bertemankan dinding bilik rona coklat muda berlantaikan mosaic maroon, seakan mengerti perasaan gundahku ini. Semoga Hambali mampu dan kuat menghadapi abah dan ummi sekarang ini. Terasa pernafasan ku kini tersekat, seakan degupan jantungku terhenti serta-merta. Kepalaku sarat dengan pelbagai persoalan yang mungkin tidak terjawab dek bicara kata semata. Haru biru hatiku jadinya. Allah…satu keluhan berat terpacul di bibirku.

Bunyi ketukan pintu kamarku membuatkan lamunanku terhenti. Ku persilakan masuk. Terpacul wajah indah ummi dan mama Hambali. Tanpa dipinta ummi dan untie Ruqaiyyah duduk di sebelah kiri dan kananku. Diam. Aku memandang ummi dan untie Ruqaiyyah dengan penuh tanda tanya. Tiba-tiba ummi memelukku erat, tidak semenanya kolam mataku bergenang. Makin lama makin hangat ku rasakan dan akhirnya ia tumpah jua. Tangan ummi menggenggam erat tanganku seakan memberi makna agar aku tabah dan kuat hadapi cubaan Tuhan ini. Untie Ruqaiyyah melihat kami dengan riak wajah yang muram, matanya memerah. Dia mengusap bahuku penuh sayang.

Ummi memulakan bicaranya sambil melepaskan pelukan, tangannya masih erat di jemariku.

“Sabar ye sayang. InsyaAllah semuanya akan baik-baik selepas ini. Ummi cuma minta Ifah sabar dan berdoa banyak-banyak. Minta pada Tuhan diberikan seluas-luas jalan untuk kita hadapi bersama.”

“Betul tu Ifah..untie minta maaf bagi pihak Am. Untie tahu Ifah kecewa tapi untie harap Ifah boleh bersabar. Tapi untie tak harapkan apa-apa. Apa pun keputusan Ifah, untie terima dengan redha tapi Am…”

Untie Ruqaiyyah terhenti bicaranya…tiada kata atau sebarang jawapan dari bibirku. Entah kenapa kelu sebegitu. Aku memahami maksud mama Hambali. Paras wajah untie Ruqaiyyah kelihatan sugul dan tampak murung. Aku tahu mama Hambali meletakkan harapan yang tinggi kepadaku dan Hambali. Ingin mengakhirkan hubungan ini dengan pernikahan! Apa mungkin?

—————————————————————————-

Alhamdulillah episod 13 sudah menyusul.  Esok hari bekerja, tapi mata macam xnak tidur je. Ermm..dari buang masa, baik Mz sambung menulis tapi idea mcm xmencurah-curah je malam ni..aish!  Idea…idea..datanglah!

Selamat membaca, jgn emo2 nanti xjadi buat keje..peace! 😉

Advertisements

BBL-Episod 12

Aku merenung jauh pantai yang indah di hadapanku. Komputer riba ku letakkan di sebelah tempat dudukku. Ada rasa yang tidak enak sedang bermain di benakku kini. Entah mengapa aku merasakan Hambali sudah tidak punya rasa padaku. Emel yang ku kirimkan dua minggu yang lalu tidak dibalasnya, aku kecewa! Astaghfirullah…apa aku telah berlebihan ya Allah? Ampunkan hambaMu ini.

Semalam aku menangis,

Mengharapkan kasihMu hanya yang Satu,

Aku tidak pasti apa yang akan terjadi,

Apa mungkin aku terus begini,

Mengharap kasih manusia,

Seakan tidak ada rasa padaku,

Aku khilaf ya Allah,

Ampunkan hambaMu ini..

Ku ungkapkan serangkap puisi buat yang Maha Esa. Terasa hati ini sedang bersedih walang. Jariku menari lagi, menulis apa yang terpahat di buku hati ini. Merungkaikan seribu rasa buat yang Mencintai hambaNya, merintih segala rasa duka. Aku sedar semua itu tidak seharusnya aku tangisi mengenangkan Hambali yang seakan tidak peduli padaku. Hambali hanya seorang manusia, bukan malaikat yang harus ku agung-agungkan dan sudah pastinya dia masih tunanganku, itu yang perlu aku fahami. Ya! Aku tahu semua itu. Dan aku harus membuang perasaan yang entah apa-apa kini. Maafkan hambaMu ini ya Rabb..

Selang beberapa minit, telefonku berdering. Nyanyian si kecil banat Syria menyentakku. Abah! Ada apa agaknya. Aku menjawab salam abah dengan penuh ceria, tidak mahu abah mendengarkan suara puterinya ini yang sedang bersedih hati.

“Ya abah..abah dan ummi sihat?”

“Alhamdulillah abah sihat, ummi pun sihat. Anak abah sihat?”

“Alhamdulillah bah, Ifah sihat.”

“Abah nak minta Ifah balik minggu ni. Keluarga Hambali nak datang. Ada hal penting katanya.”

“Ermm..penting? Diorang tak beritahu abah kenapa nak datang?”

“Tak ada pula, tak apalah. Ifah balik ya sayang. Mana tahu nak dipercepatkan majlis nikah ke.”

“Kalau pasal tu, Ifah tak nak la abah. Ifah kan ada setahun setengah je lagi nak habis. Tak kan tak boleh tunggu.”

“Ya..abah tahu. Itu tanggapan abah je. Yang penting Ifah balik dulu ya..”

“Baiklah abah, hari jumaat nanti Ifah balik. Apa-apa hal nanti Ifah inform kat abah balik.”

“Yalah..Ifah kat pantai ke ni? Bunyi macam ombak je..”

“A’ah abah, saja nak cari idea untuk menulis. Datang dengan kawan tadi. Abah janganlah risau ya.”

“Ermm..yalah. Hati-hati kat sana. Jaga diri baik-baik. Ummi dengan adik-adik kirim salam kat Ifah.”

“Waalaikumsalam..kirim salam balik ya abah..abah pun jaga diri tau, jangan lupa makan ubat.”

“Ya..abah taulah. Ok, assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam abah.”

Hatiku bagaikan berbunga-bunga bila mendengarkan perkhabaran dari abah tadi. Untuk apa sebenarnya keluarga Hambali mahu bertandang. Mesti ada hal yang penting. Ermm…rasa tak sabar pula nak balik ke rumah. Zulfah! Istighfar banyak-banyak!

Jariku mula menulis lagi. Tiba-tiba ada rasa bahagia menjelma di sanubari. Tetapi kenapa Hambali tidak membalas emelku sebelum ini ya..agaknya macam nilah dia rasa bila aku tidak membalas emelnya. Ermm…silap aku juga sebenarnya. Tak apalah Zulfah, lupakan!

Sesudah puas berada di pantai, aku dan Hannah kembali ke kolej. Setiap kali punya waktu lapang, aku dan Hannah akan ke pantai menenangkan fikiran dan aku sudah semestinya mencari ilham untuk berkarya. Kereta Hannah selalu menjadi mangsa kami untuk ke sana. Hannah sememangnya punyai sebuah kereta, ayahnya menghadiahkan produa viva sempena hari lahirnya tahun lepas. Sungguh beruntung! Aku ni, tak tahulah bila nak belajar kereta. Takut semacam je bila tengok orang bawa kereta. Kalau dah pandai boleh je bawa kereta abah. Tapi tu lah masalahnya, penakut! Kata Hannah aku ni takut tak bertempat. Ye ke macam tu? Bukan ke takut bawa kereta ni takut bertempat juga….huhuuu

Jumaat nan indah menyusuri perjalananku pulang ke kampung. Tamat kuliah Dr. Bryan seawal jam 10.00 pagi, aku terus ke terminal Putra untuk membeli tiket bas. Hannah yang temankan. Selalunya aku naik tren tetapi kebetulan Hannah mahu pulang ke rumahnya di TTDI, jadi lebih dekat aku ke Putra. Dalam perjalanan, otakku ligat memikirkan tentang Hambali dan keluarganya, apalah agaknya hajat keluarga itu datang bertandang ke rumahku. Takkan la nak percepatkan majlis kot, tak mungkin! Hambali dah setuju untuk menikah setelah aku tamat pengajian nanti. Entahlah..biarkan je. Baik aku tidur lagi best.

Lewat jam 8.00 malam, aku tiba di terminal Kota Bharu. Aku berjalan ke masjid berdekatan untuk menunaikan solat maghrib. Seusai solat, aku meninjau-ninjau kalau-kalau ada bas lagi waktu begini untuk ke Berangan. Ermm…nampaknya tak ada bas time ni. Aku terus meraba beg sandangku dan mengambil telefon bimbit, menelefon abah. Kasihan abah! Lagi-lagi menyusahkan abah.

Abah tiba setengah jam kemudian di terminal. Adikku Zafirah memelukku erat. Rindu benar agaknya padaku. Aku terus masuk ke perut kereta dan menyalami abah. Tidak banyak bicara antara kami, mungkin abah memahamiku yang keletihan. Aku tertidur ketika perjalanan ke rumah. Sampai di perkarangan rumah, adik bongsuku membangunkanku. Mataku memerah kerana penat yang teramat. Ummi sedang menunggu di dalam, begitu juga dengan Zafran. Aku menyalami ummi dan Zafran datang mendapatkanku.

“Kak..tak beli apa-apa ke untuk An?”

Aku menggelengkan kepala. Zafran memang suka minta yang bukan-bukan. Kadang-kadang minta bawa balik sushi la, sabar jelah aku!

“Amboi..An ingat akak ni cop duit ke? Nak beli itu nak beli ini?”

“Heee…apalah akak ni. Kedekut!”

Aku membulatkan mata kepada Zafran. Menandakan aku tidak suka dia mengusikku begitu. Budak ni memang nak kena tau! Ummi menggelengkan kepala sambil tersenyum melihat telatah anak-anaknya. Beginilah kami! Kalau jumpa ada je halnya. Bertekak, bergaduh, kalau dah manja tu kemain pula.

“Dah dah…An, janganlah usik kakak kamu tu. Dia penat tak habis lagi. Ifah pergi mandi dulu. Nanti kita makan sama-sama.”

“Wekk..padan muka kena marah dengan ummi! Ok ummi..ummi masak apa hari ni?”

Zafran menunjukkan muka tidak puas hati. Aku tersenyum nakal!

“Dah la tu Ifah…ish budak ni! Perangai macam budak-budak lagi. Haa..ummi masak kerabu perut kegemaran Ifah dengan gulai masak tempoyak.”

Zafran puas hati, akhirnya aku mengalah. Malas nak bertekak dengan budak hingusan!

“Waaah..sedapnya ummi! Ni tak tahan ni…”

Aku cepat-cepat menuju ke dapur, mengintai makanan kegemaranku. Automatiknya perutku jadi lapar.

“Ish budak bertuah ni! Pergi mandi dulu, dah nak kahwin pun buat lagi perangai tak senonoh macam tu. Tahu dek Hambali tak pasal-pasal tak jadi buat bini.”

Ummi masuk ke dapur, melihat telatah puteri sulungnya ini. Huhu…malu aku dibuatnya. Tak pasal-pasal kena bebel dek ummi. Sengih!

“Hee…yelah yelah Ifah pergi mandi dulu. Ummi ni buat orang malu je. Janganlah beritahu Hambali tu. Kalau dia tahu pun apa Ifah peduli..biar jelah.”

“Ish budak ni! Boleh pula cakap macam tu. Awak tu dah besar panjang, anak dara dah. Jangan duk buat perangai macam tu. Malu kat bakal mak mentua nanti. Dah pergi mandi. Ada je jawapannya bila ummi cakap.”

“Ye ye..Ifah nak pergi la ni. Ummi ni pun…janganlah marah-marah, nanti cepat tua tau.”

Sengih lagi! Ummi menggelengkan kepalanya. Aku mengucup pipi ummi seraya ke kamarku. Sudah rindu untuk memeluk bantal kesayangan dan bersiram di kamar mandi puteri kayangan abah dan ummi yang seorang ni. Aish! Tak habis-habis berangan nak jadi puteri kayangan! Inilah akibatnya bila terpengaruh dengan novel dan drama orang putih pasal princess. Aku tersenyum riang..lalalalala

***********************************************************************

Keesokan harinya, keluarga Hambali tiba di rumahku. Tiba-tiba ada debar ku rasakan. Maklumlah sudah berbulan lamanya aku tidak bersua muka dengan tunangku. Keluarganya juga tidak sempat untuk ku kunjungi, aku tidak punya waktu untuk berziarah ke rumah mama dan baba Hambali. Bukannya aku tidak mahu, memang ya aku malu tapi itu bukan alasan utama untuk aku tidak berbuat demikian. Tanpa disuruh aku bersalam dengan mama dan kakak Hambali, malu rasanya bila ditenung semacam je aku ni. Wajah yang sering ku rindukan itu tampak bersih dan tenang, sejuk hatiku memandangnya. Aku hanya tersenyum malu melihatnya, dia juga tetapi pandangannya ke arahku sekejap cuma, seraya dia menundukkan wajahnya. Aku tahu dia bukan lelaki yang suka memandang wanita yang bukan mahramnya, gaya dan caranya sudah membuatkan aku membuat seribu penafsiran tentang sifatnya. Aku senang dengan caranya yang begitu bersahaja pabila berhadapan denganku. Padahal aku gelisah bukan main! Allah..apa nak malu Ifah..dia bakal suami kau tak lama lagi..rilek Zulfah! Aku cuba menenangkan diriku.

Aku ke dapur menyediakan hidangan serba ringkas pagi itu. Tak tahulah macam mana rasanya nasi kerabu yang aku buat ni. Kalau tak sedap pun redha jelah! Aku teringat Hambali pernah mengaku dalam emel yang dia memang suka makan nasi kerabu, bahkan budu sekali pun dia makan tetapi kadang-kadang jelah. Aku suka akan pengakuannya itu. Sekurang-kurangnya tidaklah susah bagiku apabila berumah tangga nanti.

Setelah siap hidangan di dapur, aku ke ruang tamu. Anak mataku melirik ke arah Hambali, rancak sungguh berbual dengan abah. Erm..rasanya pilihanku tepat! Kak Humaira, kakak Hambali sedang asyik melayan Zahirah. Ummi dan mama Hambali sedang asyik berbual, entah apa yang dibicarakan. Aku berjalan menuju tempat kak Humaira duduk. Dia tersenyum manis. Kakak Hambali tampak manis wajahnya, tidak lekang dari senyuman. Bicaranya lembut dan bersahaja. Tampak natural pada pandanganku. Aku senang sekali berbicara dengannya.

“Zulfah lama lagi ke nak habis belajar? Maaflah akak tak tahu sangat pasal korang ni.”

“Tak apa kak..lagipun akak sibuk kan. Ada setahun setengah lagi kak. Rasa sekejap je berlalu.”

“Tulah…akak pun rasa macam tu. Dulu masa nak kahwin dengan abang Azman, akak baru umur 24 tahun. Tup tup sekarang dah ada dua orang anak. Umur pun dah meningkat. Sekarang ni tiba giliran Am pula ikut jejak akak.”

“Am? Siapa kak?”

“Tunang Zulfah la..Am tak pernah beritahu Zulfah ke?”

Aku tersenyum.

“Tak pernah kak. Kami memang jarang berhubung. Panggil Ifah dah la kak.”

“Ooh..patutlah. Am memang macam tu orangnya. Selamba badak dia je. Macam kayu pun ada juga akak tengok dia. Jenis yang tak kisah perasaan orang perempuan.”

Kak Humaira tergelak kecil. Aku tersenyum mendengarkan kata-katanya. Dalam hati aku mengiyakan kerana melihatkan pewarakan Hambali melalui emel yang dihantar. Aku mula mentafsirkan sesuatu tentang Hambali. Mungkin sebelum ni dia tidak pernah mengenal mana-mana gadis.

“Kak, Ifah tanya sikit boleh?”

Tiba-tiba aku ingin menanyakan hal yang penting, barangkali.

“Ye..tanyalah.”

“Ermm..Hambali tak pernah kenal mana-mana perempuan ke sebelum ni?”

Ada rasa malu yang menerjah. Mukaku merona merah.

“Rasanya tidak. Masa sekolah dulu-dulu adalah juga yang minat dengan dia tapi dia jenis yang tak layan perempuan. Buat tak tahu je. Kadang-kadang macam tak normal pula. Tapi tahun lepas dia ada khitbah seorang pelajar kat sana, katanya budak Kelantan juga.”

Kak Humaira berhenti bicara, ada riak yang tidak senang pada wajahnya. Aku mula merasa cemburu, entah kenapa!

“Habis tu kak?”

“Ermm..budak tu menolak. Katanya belum bersedia dan Am bukan pilihan hatinya. Sehinggalah Am jumpa Ifah.”

“Ooh..macam tu. Ermm, akak tak rasa pelik ke kenapa budak tu menolak?”

“Entahlah..pelik juga tapi akak tak kisah pun. Akak bukan nak puji adik sendiri tapi Am tu bukan calang-calang orang. Memang kami dibesarkan dalam bi’ah yang baik tapi akak pun tak adalah alim pun, bukan ustazah. Tapi Am memang betul-betul mengikut apa yang dipelajarinya.”

Kak Humaira tersenyum, bangga dengan adiknya yang seorang itu. Aku pun bangga punya bakal suami persis Hambali. Tetapi hairan juga ada yang menolak orang sebaik Hambali. Aku membalas senyuman kak Humaira.

“Ifah..nanti Am nak cakap sesuatu dengan Ifah. Akak harap Am dan Ifah pandai-pandailah nanti.”

Kak Humaira memegang tanganku, seolah-olah memberikan semangat buat bakal adik iparnya ini. Aku pun tidak tahu apa yang penting sangat akan disampaikan Hambali kepadaku.

“Ermm..ada apa ye kak? Ifah rasa semacam je.”

“Dengarlah dulu apa yang Am nak katakan nanti. Apa pun keputusan, semoga ada kebaikannya nanti.”

Aku mati akal untuk meneruskan bicara. Hanya memikirkan apa yang akan disampaikan oleh Hambali buat bakal isterinya ini. Aku jadi takut tiba-tiba. Ummi menjemput mereka menjamah hidangan yang telah ku siapkan tadi. Aku seperti hilang akal untuk berbicara tika berada di meja makan. Hambali juga tampak sepertiku. Masing-masing diam seribu bahasa, hanya mendegarkan celoteh baba Hambali dan abah.

—————————————————–

Alhamdulillah..Mz masih diberi peluang dan waktu untuk mengadaptasikan episod BBL yg ke 12 ke dlm blog e-Novel Mz ni. Terima kasih kpd pembaca yg setia dan sentiasa menunggu. Mohon maaf krn Mz tdk dpt meng’update  selama dua minggu krn kekangan masa dan juga kesihatan Mz yg krg stabil sjk beberapa minggu ini. Mohon doakan Mz moga sentiasa sihat dan kuat untuk meneruskan karya Mz..

Selamat membaca!

BBL-Episod 11

Selama empat puluh minit perjalanan dari masjid Al-Azhar ke hayyu thamin tidak dirasakan penat oleh Hambali. Walau dengan sesaknya penumpang yang menaiki bas, tidak dirasakan apa-apa olehnya. Dibelek kembali bungkusan berisi buku yang dibelinya tadi setiba di rumah. Bungkusan yang berwarna merah hati itu menandakan pemberian hadiahnya sebagai tanda rasa kasih dan ikhlas kepada Zulfah, bakal isterinya. Tiba-tiba degupan jantungnya semakin laju, entah kenapa dia merasakan seperti itu. Dia sendiri tidak tahu! Apa mungkin dia sudah jatuh cinta kepada tunangnya? Ah..mana mungkin. Zulfah baru sahaja dikenalinya malah Zulfah sendiri tidak pernah mempamerkan perasaannya kecuali ketika di lapangan terbang beberapa bulan yang lalu. Sukar untuk dirinya mentafsirkan semua itu. Perasaan itu memang satu anugerah tetapi ianya harus dijaga dengan batas-batas syari’at yang telah ditetapkan di dalam Islam. Bertunang sekali pun harus dijaga perasaan itu. ‘Allah..lindungilah hambaMu ini..peliharalah kami ya Rabb..’ Dia merintih sendiri.

Hambali membuang pandang ke luar tingkap. Musim panas akan berlalu tidak lama lagi. Kuliah juga akan bermula seminggu dari sekarang. Hambali masih lagi memikirkan tentang persoalan yang sentiasa membuatkan hatinya sedih. Apa mungkin dia akan meninggalkan bumi anbiya’ ini? Atau meneruskan sahaja kuliahnya di bumi Kinanah ini. Padahal tinggal setahun sahaja lagi kuliahnya di sana tetapi kerana dia gagal dalam peperiksaan akhir pada tahun ini, jadi terpaksalah berada di sana dua tahun lagi. Dia takut akan gagal lagi dan itu akan menyebabkan pertambahan tahun pengajian. Mana mungkin begitu sedangkan dia akan menikah tidak lama lagi. Semakin kusut dia memikirkan hal itu. Pernah juga terlintas di hatinya untuk memutuskan sahaja pertunangannya dengan Zulfah tetapi dia tidak sampai hati untuk memperlakukan Zulfah, wanita solehah pada pandangannya seperti itu. Tidak mungkin dia akan melepaskan Zulfah begitu sahaja. Apatah lagi kini baba dan mama Hambali sudah pun berkenan untuk menjadikan Zulfah menantu mereka.

Dia berkira-kira untuk berangkat pulang ke Malaysia dalam minggu ini juga kerana tidak mahu melengah-lengahkan masa untuk berbincang dengan keluarganya tentang masalahnya. Harapan Hambali semoga baba dan mamanya serta kakak dan adiknya mahu menerima keputusannya itu. Cuma satu yang dia risaukan, Zulfah!

‘Ya Allah…permudahkanlah jalanku, andainya ini jalan yang terbaik aku redha ya Allah. Dan jika sebaliknya, aku ikhlas menerimanya.’

Tiba-tiba air mata lelakinya jatuh jua. Tidak sanggup rasanya menanggung beban begini seorang diri. ‘Alangkah baiknya kalau Zulfah sudah menjadi pendampingku kini.’ Hambali mula memikirkan tentang itu. ‘Ya, mungkin hanya itu jalan terbaik. Aku perlukan dia untuk menguatkan semangatku ini’. Tetapi itu sangat mustahil kerana Zulfah sudah meletakkan syarat untuk bernikah apabila dia sudah tamat pengajiannya nanti. Seharusnya dia sudah punya pendapatan sendiri tika itu untuk menafkahi Zulfah. Tetapi mana mungkin sedangkan pengajiannya gagal pada tahun ini. Dia mengeluh lagi. ‘Ya Allah..terasa berat beban yang ku tanggung ini. Maafkan hambaMu ini yang sering mengeluh atas ujian yang Kau berikan. Astaghfirullah..’ Tiba-tiba hambali teringatkan sebuah syair yang dihafalnya dahulu..merasa malu dengan sang Rabbi kerana mungkin sejak kebelakangan ini dia kurang mengamalkan apa yang disunnahkan Nabi kerana kesibukan yang terlampau. Padahal itulah yang seharusnya menjadi perkara wajib dalam hidupnya. ‘Ya Allah…aku terlalu lalai.’ Hambali mula berpijak di bumi yang nyata. Tersedar dari lamunan dan bisikan-bisikan halus dari sang durja.

بِقَدْرِ الْكَدِّ تُكْتَسَبْ الْمَعَالِيْ

فَمَنْ طَلَبَ الْعُلَى سَهِرَ اللَّيَالِيْ

“Keluluhan darjat akan dicapai sebatas usaha yang dilakukan. Barangsiapa mengharapkan kemuliaan maka ia harus mahu berjaga pada malam hari.”

تَرُومُ الْعِزَّ ثُمَّ  تَنُوْمُ لَيْلاً

بَقُوْصُ البَحْرَ مَنْ طَلَبَ اللَّلآلِي

“Kamu ingin kemuliaan tapi terlelap pada malam hari. Padahal orang yang mencari mutiara, ia harus menyelam ke dalam lautan.”

Di waktu sepertiga malam, Hambali membangunkan dirinya. Sudah cukup rasanya dia merehatkan diri walaupun hanya melelapkan mata dua jam cuma. Dia ke kamar mandi untuk berwudu’. Setelah selesai berwudu’, Hambali terduduk di hujung katilnya, bertafakkur seketika dan menenangkan dirinya sebelum bertemu denganNya. Hambali merenung kembali apa yang telah terjadi kepada dirinya sejak kebelakangan ini. Bukannya dia tidak kuat untuk menanggung semua itu cuma masih memerlukan masa dan ruang untuk bertenang dan menyelesaikan segala kekusutan dijiwanya kini. Dia redha akan ketentuan yang ditetapkan Allah buatnya. Hambali meraup wajah bersihnya berulang kali. Cuba untuk menerima segalanya dengan tenang. Jam di dinding biliknya menunjukkan sudah hampir pukul dua pagi. Masih ada dua jam lagi untuk menunggu waktu subuh. Waktu musim panas di bumi anbiya’ kini sudah bertukar jam, kira-kira lima jam lewat dari Malaysia.

Dia segera menghamparkan sejadah pemberian Zulfah ketika majlis pertunangan mereka. Saat melihat sejadah biru tua berselang-selikan warna-warna cerah dan paparan indah sulaman sebuah masjid membuatkan hatinya begitu sayu. Tidak sanggup rasanya menggunakan sejadah itu lagi. Lalu dilipatnya kembali dan menyimpannya di dalam almari baju. Tanpa lengah tangannya mencapai sehelai lagi sejadah yang dibeli di Alexandaria setahun lalu ketika menziarahi sahabatnya. Dihamparkan sejadah warna kemerahan itu ke lantai, berselawat dan beristighfar sebanyak yang mungkin. Dialunkan takbir sambil mengangkat kedua tangannya tanda memulakan solatnya. Hambali mengkhusyukkan solatnya tanpa memikirkan apa-apa kecuali mengingatiNya dengan penuh cinta dan rindu kepadaNya. Dia merasakan ada damai yang indah hadir di sanubarinya kini. Tidak sedikit pun dia merasa letih untuk bersujud dan mengadu kepadaNya. Setelah selesai tahajjud dan istikharah, Hambali merasakan kelopak matanya mula bergenang. Terasa dirinya begitu hina dan kerdil di sisiNya yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani.

‘Ya Allah..Engkau ampunilah dosa-dosaku, dosa kedua ibu bapaku, dosa ahli keluargaku, dosa guru-guruku dan dosa seluruh muslimin muslimat. Ya Allah, berikanlah aku kekuatan dan ketabahan hati dalam menempuh setiap dugaanMu ini. Ya Rabb, sungguh aku tidak mampu untuk menanggungnya seorang diri. Bantulah aku untuk meleraikan segala kekusutan di jiwaku ini ya Allah. Permudahkanlah setiap langkahku ini untuk mencapai redhaMu. Tetapkan hati hambaMu ini untuk terus berada di jalanMu, teguhkanlah keimanan dan ketaqwaanku padaMu, dan lindungilah aku dari segala keburukan dan kejahatan duniawi yang akan merosakkan diriku.’

‘Aku mohon dengan kerendahan hatiku, berikanlah yang terbaik buatku. Jika dia adalah pendamping yang terbaik yang telah Engkau kurniakan kepadaku, maka redhailah dan rahmatilah aku padanya. Namun jika sebaliknya Engkau damaikanlah hati ini dengan segala ketentuanMu. Aku mohon ya Allah, permudahkanlah urusan kami jika telah tertulis untuk kami bersatu keranaMu. Hanya Engkau Tuhan yang Maha Pengampun lagi Maha Mendengar. Rahmatilah aku dan keluargaku agar kami bisa meraih cinta dan redhaMu ya Allah…Kurniakanlah aku kejayaan di dunia dan di akhirat jua kebahagiaan di dunia dan di akhirat..Amin ya Allah ya Mujib..’

Kedua tapak tangannya meraup wajah yang kelihatan sedikit sugul itu. Dia merasakan ketenangan pada malam ini, terasa beban yang selama ini dipikulnya hilang begitu sahaja. Matanya dipenuhi butiran air mata cinta buat sang Pencipta langit dan bumi. Itulah salah satu keindahan dan keajaiban ketika bangun malam dan menyembahNya, mengadu dan menangis di hadapanNya. Sesuatu yang cukup indah akan dirasakan oleh sesiapa sahaja yang ingin meraih cintaNya.

“Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah “sembahyang tahajjud” padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang Terpuji.” [Al-Isra’ : 79]

Seusai berzikir dan berdoa, Hambali bangkit dari tikar sejadahnya. Matanya tidak mampu lagi untuk lena di tilam dan bantalnya, tidak seperti sahabat sebiliknya yang masih lena diulit mimpi barangkali. Mata Hambali menatap komputer riba miliknya di atas meja. Memikirkan samada mahu membukanya atau pun tidak. Akhirnya dia mengambil keputusan untuk membukanya, mahu melihat samada ada emel yang masuk atau pun tidak. Bimbang juga ada mesej-mesej penting dari setiausaha kerja untuk program-program akan datang. Setelah dibuka email inbox, Hambali melihat satu persatu emel yang ada. ‘Allah…hampir 50 emel, malasnya nak baca. Baru je tak buka dua hari, inbox dah hampir penuh.’ Hambali menggelengkan kepala, mahu tidak mahu dia terpaksa membaca satu persatu emel yang ada. Tiba-tiba terlihat satu nama yang sering Hambali ingati. ‘Biar benar dia ni hantar emel kat aku. Aku rasa tak ada pula aku hantar emel kat dia. Mesti hal penting ni, kalau tak..takkan dia nak emel kat aku’. Tangan Hambali ligat membuka emel tersebut.

To: HambaliHamzah@yahoo.com.my

From: nurul_ifah@yahoo.uk.co

Subject: Assalamualaikum

Assalamualaikum..maaf jika emel saya ini mengganggu awak. Apa khabar? Harap sihat hendaknya. Saya Alhamdulillah, sihat. Keluarga juga sihat. Mereka sampaikan salam ta’zim buat awak. Ermm..macam mana pengajian awak kat sana? Saya harap semuanya berjalan dengan baik. Saya nak minta maaf jika selama ini saya terlalu jarang membalas emel awak. Padahal sudah banyak kali emel awak sampai pada saya. Saya cuma kesempitan waktu untuk membalasnya, bukan niat saya untuk mendiamkan diri. Mohon maaf sekali lagi andai ianya membuatkan awak kurang selesa dan senang dengan cara saya itu. Saya harap awak tidak berkecil hati. Di sini ada secepis puisi yang saya cipta khas untuk awak. Dengarkan..

Cebisan cinta

Aku lakarkan pena cebisan cinta buatmu,

Ingatlah…

Cinta agung hanyalah cinta untukNya,

Dan ketahuilah cinta manusia bakal membuatmu alpa.

 

Tolong jangan menyintaiku lebih dari engkau

menyintai Yang Maha Esa,

Jangan engkau mengingatiku lebih dari engkau

mengingati Yang Maha Kuasa,

Dan jangan mendoakanku lebih dari engkau

mendoakan kedua permata hatimu.

Dahulukan Allah kerana di situ ada syurga buatmu,

Dahulukan ibu dan ayahmu kerana di telapak itu ada syurgamu.

 

Aku terpikat padamu bukan kerana rupa,

bukan jua kerana harta,

Tetapi aku jatuh cinta kerana imanmu,

dan juga sifat zuhudmu.

 

Aku mengasihimu kerana budi pekertimu dan santunmu,

Aku pohon jangan engkau mengagungkan cinta manusia semata,

Tolong engkau jangan tenggelam dalam angan-anganmu,

Dan jangan pula nafsu merajai hatimu

dan mengawal fikiranmu.

 

Aku adalah milik Yang Maha Agung,

Aku jua masih milik keluargaku,

Dan engkau jua masih punya tanggungjawab yang besar

kepada keluargamu.

 

Usah engkau ucap kata cinta di kala cita-cita belum terlaksana,

Sabarlah..

Andai diri ini enggan dirapati kerana ingin

menjaga batasan cinta,

Andai  jarak menjadi penyebab bertambah

rindumu padaku.

 

Sungguh…

Aku tidak mahu menjadi fitnah besar buatmu,

Aku tidak mahu menjadi punca kegagalanmu,

Biarkan Dia yang menjaga setiap langkahmu.

 

Sungguh..

Aku tidak mahu melekakanmu,

Aku hanya mahu engkau berjaya dalam setiap impian

dan cita-citamu,

Dan sudah pasti aku mahu engkau menjadi  pendorong

dalam setiap langkah kejayaanku.

 

Sungguh..

Aku mendambakan cinta suci yang sentiasa terjaga,

Kerana cinta kepada Allah tidak ternilai harganya,

Dan hubungan ini akan terjaga selagi engkau menjaga

hubunganmu dengan Yang Maha Esa,

Sudah pasti aku juga akan menjaga hubunganku denganNya,

Sang Rabbi Yang Maha Penyayang.

 

Aku hanya mampu berdoa semoga cebisan cinta ini

Akan sampai kepadamu walau aku sendiri tidak tahu,

Di mana pengakhirannya..

Moga engkau tetap teguh dalam mujahadah cintamu,

Menjadi pengemis Sang Pemilik Cinta..

Perindu syahid nan abadi..

 

Simpanlah cebisan cinta ini sehingga engkau

bersatu denganku suatu waktu nanti..

 

p/S: Terima kasih atas perhatian awak pada saya

Salam indah penuh kasih dari bakal isterimu,

Nurul Zulfah ‘Aliyah

 

Hambali tersenyum kelat. Puisi indah itu membuatkan hatinya jatuh cinta kepada Zulfah. Pandai sungguh Zulfah berpuisi! Namun padanya emel itu tidak membuatkan hatinya tenang. Dia sudah maklum sememangnya Zulfah terlalu sibuk dengan kuliah dan pengajiannya di sana. Dia memahami kondisi bakal isterinya itu. Hatinya begitu sayu bila melihatkan emel Zulfah, seakan bait-bait dalam emel tersebut mengejeknya kerana dia sudah gagal dalam imtihan tahun ini. Dibiarkan sahaja komputer ribanya di meja, Hambali membaringkan tubuhnya di katil. Cuba untuk menenangkan dirinya. Dia tahu Zulfah sudah pun merasakan apa yang dirasakan melalui puisinya. Tetapi bila ditanya tentang pengajiannya, Hambali jadi runsing tiba-tiba, dia tidak tahu apa harus dia memaklumkan hal itu kepada Zulfah. Zulfah berhak untuk mengetahui semua itu, dan Zulfah juga berhak membuat keputusan yang terbaik untuk dirinya.

‘Zulfah, saya minta maaf! Saya bukanlah tunang dan bakal suami yang terbaik untuk wanita sebijak dan sebaik awak. Saya redha apa pun keputusan awak. Maafkan saya Nurul Zulfah!’

Hambali berbicara sendiri. Tiba-tiba bahunya disentuh membuatkan Hambali sedikit terkejut. ‘Ish..dia ni! Nasib baik aku tak ada heart attack, kalau tidak….’

“Am..asal dengan kau ni? Cakap sorang-sorang. Risau aku!”

“Err..tak ada apalah. Aku tengah hafal syair je. Kau nak qiyam ke?”

“Ohh..a’ah nak qiyam. Dah hampir pukul empat ni. Kau dah qiyam belum?”

“Aku dah tadi. Maaflah tak bangunkan kau tadi.”

“Tak apa..erm aku tengok kau ni macam tak sihat je? Penat sangat ke imam kita ni..”

“Heh..tak adalah. Aku okey je, jangan risau. Aku nak tidur sekejap, nanti kau kejutkan aku ya.”

“Okeh..no problem.”

Teman sebiliknya, Firdaus terus ke bilik air. Hambali masih mematungkan diri, matanya tidak mahu lena. Saja dikatakan mahu tidur kepada Firdaus kerana tidak mahu teman sebiliknya itu bertanya macam-macam nanti. Hambali hanya tidur-tidur ayam ketika temannya itu sedang berqiyamullail. Dia hanya membatukan diri tetapi mindanya entah ke mana. Dia harus memberitahu zulfah secepat yang mungkin. Ya, as soon as possible!

———————————————————————

Alhamdulillah…dah sampai ke episod 11. Mz mcm xpcya je dah smpai ke tahap ni. Ermm..mcm xbest je puisi  cebisan cinta..maaflah mgkin kurg puitis puisi Mz tu. Yg penting mksud Zulfah kpd Hambali smpai dgn baik..heee..barangkali la..

Pape pun selamat membaca…ada komen silakan 😉

BBL-Episod 10

Suasana di perkarangan masjid Al-Azhar sangat riuh dengan pelbagai lapisan masyarakat yang berlatarkan dari pelbagai negara. Di satu sudut dalam masjid itu, seorang pelajar Syariah berketurunan melayu jawa sedang asyik mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Masih menunggu Syeikh Jamal Farouk Jibriel Mahmoud yang akan mengisi pengajian kitab Tauhid nanti.  Sebelum bertilawah, dia menunaikan solat tahiyyatul masjid sebagai tanda mengakramkan masjid yang didatanginya. Kebiasaannya pelajar-pelajar melayu ramai yang datang ke majlis talaqqi seperti ini kerana hanya dengan cara ini mereka bisa menambahkan lagi ilmu mereka di perantauan tika cuti musim panas terutamanya.

Hambali tersentak apabila ditegur temannya tika selesai bertilawah.

“Assalamualaikum ya syeikh..dah lama ke sampai?”

“Waalaikumsalam..adalah dekat setengah jam. Enta dari mana ni Yi?”

“Wah! Mantap syeikh ana ni. Selalu datang awal setengah jam. Ana dari kedai buku tadi. Cari buku sikit untuk rujukan. Enta macam tak sihat je ana tengok?”

“Mantap apanya…nak dapat ilmu lebih kenalah datang awal..hehe. Ana sihat je, cuma kepenatan sikit sebab dah dua malam kurang tidur.”

“Aikk! Kurang tidur? Fikir nak kahwin ke syeikh?hehe..”

“Ish..kahwin tu tak adalah fikir sangat. Cuma duk fikir pasal masalah study ana ni. Ana fikir nak stop je belajar kat sini. Balik sambung kat Malaysia pula.”

“Laa..awatnya Am? Enta tak boleh ke bertahan sikit? Sayang la kalau enta stop macam tu je. Bincang baik-baik dengan family enta. InsyaAllah ada jalan yang lebih baik nanti.”

“Ermm..nantilah ana bincangkan hal ni dengan family. Lagipun ana tak tahu macam mana reaksi Zulfah nanti bila dapat tahu ana gagal tahun ni. Doakan ana ya..”

“InsyaAllah ada yang terbaik nanti. Ana doakan je. Tak payahlah nak risaukan sangat.”

“Terima kasih ya Yi..atas nasihat enta.”

“La’ syukran a’lal waajib.”

Fakhri menepuk bahu temannya itu agar lebih bersemangat untuk terus menempuh hari-hari yang mendatang. Hambali tersenyum, terasa sedikit ringan bebannya kini. Dia teringat yang dia mahu ke Jalan Saidina Hussain untuk membeli oleh-oleh buat tunangnya nanti. Jalan Saidina Hussain adalah salah satu tempat membeli belah berdekatan dengan masjid Al-Azhar dan di situ juga terdapat masjid Saidina Hussain. Dikatakan juga tempat tersebut mempunyai sejarah di mana kepala cucu Rasulullah dimakamkan. Ligat otaknya memikirkan apa yang harus dibelinya. ‘Mungkin juga sesuai belikan buku ilmiah dan jubah buat Zulfah.’ Dia tersenyum seketika mengingatkan Zulfah. Sekurang-kurangnya dia tidak terlalu memikirkan kegagalannya buat kali ini. Tetapi apa mungkin Zulfah bisa menerimanya atau mungkin Zulfah akan menjadi pendorong buatnya? Hatinya tiba-tiba dilanda resah.

Beberapa minit kemudian, majlis talaqqi bermula. Tetapi apa yang disampaikan oleh gurunya tidak sedikit pun dimasukkan ke kepalanya. Fikirannya sedikit terganggu sejak kebelakangan ini. Malah tidurnya juga seringkali terganggu dengan banyaknya persoalan di minda. Kadang-kadang dia terfikir apa mungkin dia bisa membahagiakan Zulfah setelah apa yang telah terjadi? Kedudukan kewangannya yang belum tentu kukuhnya tidak mungkin akan menjamin kehidupan Zulfah nanti. Memang benar keluarganya serba mewah tetapi dia inginkan pendapatan dari hasil titik peluhnya sendiri, tidak mahu hanya mengharapkan ehsan dari kedua orang tuanya.

‘Ahh..dahlah Am! InsyaAllah Zulfah akan memahamimu nanti. Jika dia bidadari solehah yang dikurniakan Tuhan untukmu, maka dia akan bersabar dan sanggup hidup denganmu dalam keadaan apa sekali pun.. yakinlah Am!’ Hambali cuba untuk meyakinkan dirinya sendiri. Tiba-tiba dirasakan bahunya disentuh. Dia memalingkan wajahnya. Fakhri sedari tadi melihat temannya itu termenung seperti sedang memikirkan sesuatu. Hambali memaniskan wajahnya buat Fakhri.

“Dahla tu Am..jangan difikirkan sangat. Bersabarlah!”

“Ermm..terima kasih sahabat!”

Mereka saling berpandangan dan menguntum senyum walau tampak kelat pada senyuman Hambali, namun sudah cukup membuatkan Fakhri sedikit tenang melihat temannya itu.

Sesudah bertalaqqi, mereka berjalan keluar menghampiri jalan Saidina Hussain. Dalam perjalanan, mereka terserempak dengan beberapa orang sahabat mereka yang juga datang bertalaqqi. Kebanyakan mereka dari rumah Kelantan. ‘Ramai sungguh orang Kelantan belajar kat sini. Apalah agaknya rahsia kejayaan mereka.” Tiba-tiba Hambali terfikir tentang itu padahal ramai sahabat terdekatnya dari negeri cik siti wan kembang yang dikenalinya. Hambali sentiasa kagum dengan sikap ramah mereka walaupun tidak memahami loghat dan bahasa Kelantan tetapi Hambali terlalu selesa bila berada dekat dengan mereka. Entah kenapa. Kerana itulah juga hati Hambali tertarik untuk mengkhitbah muslimah dari Kelantan.

Sebelum mengkhitbah Zulfah, dia pernah cuba mengkhitbah seorang banat dari Kelantan yang belajar di Al-Azhar juga tetapi hampa. Sejak itu Hambali tidak berani lagi untuk mengkhitbah sesiapa di kalangan banat Al-Azhar apatah lagi yang berasal dari Kelantan. Bagi Hambali terlalu sukar untuk mendekati mereka apatah lagi menjadikan mereka sebagai calon isteri. Begitu juga dengan Zulfah. Selepas Ustaz Khair memperkenalkan nama Zulfah untuknya, tiba-tiba hatinya berbunga. Entah kenapa dia begitu senang mendengarkan nama itu. Tetapi ketika itu Hambali tidak mengetahui asal usul Zulfah. Apabila sudah dikhitbah baru diketahuinya bahawa Zulfah dari negeri serambi mekah. Tidak disangka-sangka! Tetapi bagi Hambali, Zulfah terlalu sukar untuk didekati. Susah untuk meyakinkannya bahawa dia ikhlas untuk menjadikan Zulfah suri hidupnya. Zulfah terlalu tegas tetapi punya hati yang terlalu lembut. Sejak melihat foto Zulfah, hati Hambali sudah mula rasa kasih pada bidadari itu.

Setelah melihat Zulfah sewaktu hari pertunangan mereka, Hambali adalah manusia yang paling bahagia kerana dapat menjadikan Zulfah sebagai calon isterinya. Hambali mengenali Zulfah hanya dengan melalui emel, dia tidak berani untuk menelefon Zulfah di saat awal pertunangan mereka kerana melihatkan Zulfah seakan tidak menyukainya. Bahkan Zulfah jarang sekali membalas emelnya. Pernah juga Hambali berputus asa untuk mendapatkan hati Zulfah, tetapi dia tetap bersabar mengikuti nasihat ustaz Khair. Mungkin pada waktu itu perkenalan mereka masih terlalu awal untuk berhubung secara kerap. Kerana sikap bersahaja Zulfah juga, Hambali merasakan rasa kasih buat Zulfah semakin mendalam. Hambali melihat Zulfah sebagai seorang muslimah yang terlalu sukar untuk dilentur tetapi semangatnya terlalu kuat. Tetapi setelah melihatkan keadaan Zulfah beberapa bulan yang lepas, ketika menghantarnya di lapangan terbang, hati Hambali mula menangkap perasaan Zulfah. Kini dia tahu wanita itu terlalu perihatin kepadanya. Hambali tersenyum mengenangkan semua itu.

“Apa yang enta senyumkan tu? Teringat kat Zulfah ke Am?”

“Eh tak adalah..cuma terfikir nak beli jubah dekat jalan Saidina Hussain tu. Kat situ cantik juga jubah-jubah yang ana tengok. Apa kata enta?”

“Ooo..a’ah memang cantik jubah kat situ. Ana pernah beli untuk adik ana. Dia kata cantik sangat-sangat. Tapi enta kena tahulah saiz tubuh si pemakainya dulu. Baru senang nanti nak figure balik sebab jubah kat situ semuanya saiz besar-besar, maklumlah untuk mem arab!”

Mereka sama-sama ketawa. Ada bahagia saat menyebut nama Zulfah. Apatah lagi dia baru bercadang untuk membelikan busana buat tunangnya itu. Zulfah sememangnya sukakan jubah. Itu penilaian awalnya sahaja kerana pada hari pertunangannya Zulfah mengenakan jubah rona biru laut, cantik! Pada hari menghantarnya di lapangan terbang juga Zulfah mengenakan jubah tetapi warna yang lebih gelap. Kelihatan begitu anggun pada pandangannya seorang lelaki. Astaghfirullahal a’zim..Hambali kembali sedar yang dia sudah berlebih-lebihan memuji ciptaan Allah.

Tanpa lengah, Hambali masuk ke kedai-kedai busana muslim sepanjang jalan Saidina Hussain. Begitu banyak design dan pattern yang dia sendiri tidak pernah ambil peduli sebelum ini. Hambali agak pening untuk memilih yang mana satu busana yang sesuai untuk tunangnya. Setelah beberapa buah deretan kedai yang dikunjungi, akhirnya dia ternampak sehelai jubah warna kemerah-merahan. Designnya juga cantik dan unik tetapi saiznya agak besar untuk tubuh sekecil Zulfah. Ligat otaknya memikirkan saiz apa yang sesuai buat Zulfah. Tanpa lengah, ditekan nombor Zulfah di telefon bimbitnya.

“Assalamualaikum..apa khabar?”

“Waalaikumsalam..alhamdulillah saya sihat. Awak?”

“Alhamdulillah saya juga sihat. Ermm..maaflah ganggu waktu macam ni.”

“Tak apa, lagipun saya tak ada buat apa pun. Erm..kenapa ya telefon saya?”

“Err..tak. Saya cuma nak tanya. Selalu awak pakai jubah saiz apa ya?”

“Ooo..nak tanya tu je ke? Tapi kenapa ya? Macam mana awak tahu saya suka jubah?”

Aishh…banyak tanya pula dia ni. Gerutu Hambali tetapi jauh di sudut hatinya dia begitu riang mendengarkan suara indah bakal isterinya itu.

“Saja saya tanya. Tak apalah kalau macam tu, saya ukur badan saya jelah.”

“Eh..kenapa pula nak ukur badan awak. Buat lawak jelah awak ni! Ermm..saya pakai saiz S je, tak pun kalau ikut nombor saiz 38 atau 40. Ada apa-apa lagi yang saya boleh tolong en. Hambali?”

“Hehe..terima kasih. Ermm ada.”

“Apa dia?”

Mak aihh..garangnya suara dia. Hambali masih memikirkan apa lagi yang harus dikatakan. Risau juga orang sana marah-marah. Parah dibuatnya!

“Ermm..awak suka baca buku apa?”

“Novel tak pun buku-buku motivasi. Yang penting bahasa inggeris. Ada lagi?”

“Ermm..tu je kot. Terima kasih ye..maaf ganggu awak. Assalamualaikum.”

“Waalaikumsalam”

Mak aihh..boleh tahan minah ni! Orang tanya elok-elok dia boleh jawab macam tu. Bulan tengah mengambang kot..huhu. Macam manalah agaknya wajah Zulfah tadi. Ishh..Am sudah! Tiba-tiba dia terasa geli hati.

Akhirnya Hambali menyatakan saiz jubah kepada ammu, tuan kedai tersebut. Di mesir, biasanya orang-orang arab separuh umur yang berniaga dipanggil ammu. Mereka lebih senang dipanggil begitu. Kata ammu tersebut, tiga hari lagi boleh datang ambil jubah yang ditempahnya itu. Setelah selesai membuat pembayaran, Hambali dan Fakhri ke toko buku. Matanya melilau mencari bahagian fiction dan novel bahasa inggeris. Fakhri geli hati melihat temannya itu, seakan-akan mencari novel yang sesuai untuk bacaan Zulfah. Manakan tidak lucu, Hambali terlalu jarang dan malas membaca novel bahasa inggeris. Berkerut dahinya membaca satu persatu tajuk novel yang tersusun rapi. Fakhri membantu temannya itu mencari tajuk yang sesuai buat Zulfah. Akhirnya Fakhri terjumpa satu buku bertajuk ‘The Kite Runner” penulis Khaled Hosseini. Dia mencadangkan Hambali membeli buku tersebut sebagai hadiah kepada tunangnya. Fakhri cuba  menerangkan sinopsis cerita tersebut.

Katanya The Kite Runner mengisahkan tentang kekejaman dan keganasan yang menggila. Ditransformasikan dalam kehidupan seorang pejuang kecil yang menginginkan kebebasan hidup dan mahukan darjat kehormatan. Yang mana pada umurnya ketika berakhirnya keamanan pemerintahan beraja hanya sebelum revolusi negaranya dan serangan daripada kuasa Rusia. Kisah ini juga mengingatkan kita betapa lamanya manusia perlu berusaha keras untuk kemenangan dari kuasa besar yang kejam.

Hambali menganggukkan kepala tanda memahami apa yang diterangkan oleh temannya itu. Perasaan malu kepada sahabatnya itu mula tampak pada wajahnya yang merona merah. Hambali sememangnya tidak suka membaca buku bahasa inggeris malah lebih sesuai dikatakan malas, mungkin.  Jauh bezanya dengan Fakhri, teman seperjuangannya itu amat pandai berbahasa inggeris dan terlalu rajin membeli dan membaca buku bahasa inggeris. Kata Fakhri abang sulongnya yang selalu memberi semangat dan memberi tunjuk ajar sehingga dia fasih seperti kini. Hambali begitu kagum dengan abang Fakhri, ingin rasanya bertemu abang Fakhri dan berkenalan dengannya. Kata Fakhri lagi, abangnya graduan Al-Azhar dalam bidang perubatan. Sekarang sudah bergelar doktor pakar bedah di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Hatinya mula merasa kagum dengan kehebatan abang Fakhri malah sedikit cemburu mendengarkannya. ‘InsyaAllah suatu saat nanti mesti aku akan jumpa dengan abang Fakhri’. Hambali bermonolog sendiri sambil melemparkan senyuman buat sahabatnya itu. Sesungguhnya Hambali juga kagum punya sahabat persis Fakhri. Ucapan syukur kepadaNya tidak pernah dilupakan kerana dikurniakan sahabat seperti Fakhri.

———————————————————————-

Mohon maaf lambat update utk episod 10. Mz sedikit bz dgn kerja baru. i-allah lps ni Mz akan tukar hari utk update.rsanya hari jumaat sesuai..amacam?

Erm…xtaw nak tulis ape. pape pun slmt membaca! 🙂

BBL-Episod 9

Pagi yang indah seakan ingin menitipkan pesanan buat makhluk bumi untuk tidak melupakan penciptanya. Sang suria mula menampakkan dirinya di ufuk timur. Burung berkicau riang melafazkan kalimah tasbih kepadaNya persis mengucapkan syukur dengan adanya mereka di bumi Tuhan ini. Manakala di sebuah banglo yang tersergam indah terdapat insan-insan yang sedang meraih cinta Tuhannya, bertafakkur di pagi hari sebagai tanda syukur kepadaNya kerana masih diberi peluang utk menikmati segala kurniaanNya. Setiap hari yang mereka dambakan hanyalah dengan meraih cinta dan redha dari pemilik alam buana. Sungguh hebat cintaNya hinggakan membuat insan-insan ini tidak lalai dari mengingatiNya.

Ibnu Qudamah mengatakan:

“Ketahuilah bahwa segala yang dicari oleh setiap orang adalah nikmat. Akan tetapi kenikmatan yang hakiki adalah kebahagiaan di akhirat kelak dan segala nikmat selainnya akan lenyap.”

“Abang..nanti kalau abang dah sampai sana telefon Ifah ya. Erm, kesian Ummi kena tinggal dek Abi..kan sayang.”

Zulfah berbicara dengan Faruki sambil mengadu rasa hiba kepada janin di perutnya itu.

“Yalah sayang, abang ingat. Isteri abang ni kan tengah pregnant..tak kan abang tak risau. Sayang jangan buat kerja berat tau..ada apa-apa terus call abang. InsyaAllah dalam seminggu je abang kat sana. Jangan lupa makan ubat dan vitamin yang abang beli tu. Ingat..masa abang tak ada ni rehat secukupnya, tak payah la nak habiskan tulis novel tu semua. Yang penting kesihatan sayang dengan baby kita tu..”

Faruki cuba untuk tidak menghibakan isterinya yang terlalu sensitif sejak akhi-akhir ini. Faruki amat memahami keadaan isterinya itu bahkan dia sedikit pun tidak pernah cepat melatah dengan kelakuan Zulfah namun sebaliknya dia merasa bertambah kasih dan cinta buat wanita yang bergelar isterinya. Namun disebalik perasaan itu, dia sendiri tidak sanggup untuk meninggalkan isterinya itu dalam keadaan seperti sekarang. Tetapi tugasnya itu juga satu kewajipan bahkan tanggujawab yang terlalu besar untuk ummat! Zulfah harus memahami tugasnya itu.

“Ok abang..drive elok-elok tau. I’ll miss u abang.”

Tiba-tiba Zulfah menitiskan air matanya di hadapan Faruki. Hati Faruki seakan-akan terhiris dan menyalahkan dirinya dalam hal ini.

“I’m always miss u sayang and always loving you..don’t be sad ya sayang. Jangan takut…mama kan ada nanti. Doakan abang selamat pergi dan selamat kembali ke pangkuan sayang.”

Faruki mengucup lembut dahi dan pipi isteri kesayangannya itu dan tanpa memalingkan wajahnya, dia terus menaiki kereta dan meluncur laju ke jalan. Tidak sanggup rasanya untuk melihat wajah Zulfah yang sedih dan sayu itu. Namun bila teringatkan mamanya akan datang menemani Zulfah sepanjang ketidak beradaannya di rumah,, hatinya tidak begitu terganggu dengan perasaan ragu dan bimbang.

Dalam pemanduannya, hatinya tidak lekang dari mengingati isterinya. Tetapi ada rasa yang tidak enak pada pengamatannya sebagai seorang suami. Entah kenapa hatinya tiba-tiba mencurigai kesetiaan isterinya itu. Atau mungkin prasangkanya sahaja?  Dia terbayangkan panggilan yang diterima sebelum ini. Adakalanya panggilan yang Zulfah terima dikatakan salah nombor. Faruki ligat memikirkannya. Dia sudah mendapatkan nombor si pemanggil tersebut tetapi dia masih belum punya waktu untuk mendailnya. Pernah dia terbaca message text dari nombor yang sama. Faruki merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan Zulfah dari pengetahuannya tetapi dia tidak sampai hati untuk bertanya dalam keadaan Zulfah yang berbadan dua. Nanti lain pula jadinya. Jadi jalan terbaik buat masa ini hanya mendiamkan diri dan buat-buat tidak tahu sahaja.

Zulfah sedari tadi menunggu panggilan suaminya, kerisauannya memuncak bila memikirkan suaminya itu. ‘Kenapalah tak call lagi ni. Tak kan tak sampai lagi. Dah jam berapa ni..’

“Ifah…kenapa mundar mandir ni. Tak elok orang mengandung macam tu. Cuba duduk elok-elok.”

“Abang ni ma..kenapa tak call lagi? Dah pukul berapa ni…takkan belum sampai lagi.”

“Ermm..risaukan anak mama rupanya. InsyaAllah selamat dia kat sana. Ifah jangan risau sangat, tak baik untuk ibu mengandung. Kan doktor dah pesan.”

“Ifah dah call tapi abang tak jawab pun. Ifah risau la ma..cuba la mama call abang.”

“Ya ya..nanti mama call. Dah sekarang Ifah naik atas masuk tidur. Kena jaga masa tidur tu, kesian cucu mama nanti.”

Aku mengukirkan senyuman buat mama. Ibu Faruki sememangnya seorang ibu yang memahami dan terlalu mengambil berat terhadap sakit demam anak menantunya. Mama begitu risaukan aku di saat ini. Dia juga merasakan perasaan yang sama sepertiku. Ibu mana yang tidak memikirkan anaknya yang sedang berada jauh apatah lagi meninggalkan isteri berbadan dua sepertiku ini. Tiba-tiba telefonku menyanyi riang. Faruki! Akhirnya dia telefon juga.

“Assalamualaikum abang..”

“Waalaikumsalam. Sayang dah tidur? Abang minta maaf lambat call. Tadi sampai je abang terus kena lapor diri kat resort. Sorry ye sayang..”

“Tak apa..Ifah risau juga tadi. Tapi sekarang ni dah dapat dengar suara abang rasa lega sangat. Mama pun risau tapi dia cover je tadi.”

“Sayang dah makan? mama dah tidur ke?”

“Dah makan tadi…mama dah masuk bilik kot. Abang dah makan?”

“Belum lagi sayang..tak sempat nak makan. kejap lagi abang turun makan.”

“Ermm..kesian abang. Tak apalah, abang pergi makan dulu ya. Ifah pun dah nak tidur ni. Mama cakap kena tidur awal, nanti kesian baby…”

“Hehe..yeke mama cakap macam tu. Baguslah. Sayang jaga diri baik-baik ye. Jangan lupa makan ubat. Dan yang penting sayang jangan risau sangat kat abang ye..insyaAllah abang selamat kat sini. Tak ada yang nak tackle abang pun..heee”

“Abang ni..suka tau buat Ifah macam tu..tak nak kawan dengan abang.”

“Hihi..ala ala merajuk pula sayang abang ni. Abang gurau je. Oklah sayang tidur ye. Abang nak keluar dah ni, kawan abang dah tunggu kat bawah. Miss you so much sayang..”

“Ok abang..abang pun jaga diri tau. Miss you too sayang..Assalamualaikum”

“Waalaikumsalam..”

Alhamdulillah..lega rasanya mendapat khabar dari suamiku. Dah rasa mengantuk sangat-sangat ni. Hati pun dah rasa tenang. Bolehlah tidur dengan nyenyak. Kita tidur ya sayang..Zulfah berbicara dengan anak yang bakal dilahirkannya nanti.

بسمك اللهم احيا و اموت.. لااله الا الله محمد الرسول الله.. لا حول ولا قوة الا بالله العلي العظيم

*************************************************************************

Sang suria mula mempamerkan keindahannya yang diciptakan Tuhan. Zulfah kagum dengan ciptaanNya ini menyebabkan dia tidak sedar ibu mentuanya sudah berbelas kali memanggilnya untuk ke dapur bersarapan pagi.

Allahuakbar..! lekanya aku.

“Kejap ma..Ifah turun jap lagi.”

Jerit Zulfah dari dalam biliknya. Ibu mentuanya menguntum senyum mendengarkan suara menantunya itu sambil menggelengkan kepalanya. Takut juga kalau-kalau berlaku perkara yang buruk kepada menantunya itu.

Suasana pagi itu mengingatkan Zulfah pada suaminya yang kini sedang sibuk bersidang di utara Kedah. Ikutkan hatinya ingin rasanya mendail nombor Faruki tetapi mungkin Faruki sedang sibuk dengan tugasnya di sana. Telefon Zulfah berdering. Zulfah menguntum senyum, mungkin suaminya yang menelefon tetapi saat melihat nombor di skrin, tiba-tiba wajahnya berubah riak. Tampak risau dan pucat. Zulfah teragak-agak untuk menjawabnya. Sekali lagi telefonnya berdering. Dengan ragu, Zulfah menjawab panggilan itu.

“Assalamualaikum Zulfah..ermm apa khabar?”

“Waalaikumsalam..saya sihat. Awak Hambali kan? Awak nak apa dari saya sebenarnya?”

“Ermm..jangan salah faham. Saya cuma nak pastikan yang awak sihat. Jangan risau, saya bukanlah zalim untuk mengacau bilaukan rumahtangga awak. Cuma saya hairan kenapa awak tak pernah beritahu saya yang awak dah kahwin. Saya ingatkan awak cuma nak tangguhkan pernikahan kita dulu tapi sebaliknya awak terus putuskan macam tu je.”

“Hambali..saya minta maaf. Memang saya salah sebab tak pernah beritahu awak tapi masa tu saya rasa saya dah tak punya hak untuk berhubung dengan awak. Saya harap awak faham. Terima kasih kerana masih mengambil berat tentang diri saya. Tapi saya minta awak jangan ganggu saya lagi. Saya bahagia bersama suami saya.”

“Saya tahu dan saya faham kenapa awak buat macam tu. Tapi saya ada hak untuk bertanya kan..jika dari dulu saya tahu saya tak kan terus berharap. Terima kasih untuk semua itu. Saya doakan awak bahagia..assalamualaikum.”

‘Ya Allah…berdoasakah aku. Kenapa dari dulu aku tak terus terang kepada Hambali? Hambali..maafkan saya. Saya tahu saya yang bersalah tapi saya ada sebab kenapa buat semua tu. Saya memang tak dapat nak lupakan awak Hambali..kalau la dalam syari’at dibolehkan untuk saya berterus terang dengan awak, dah lama saya pergi jumpa awak. Maafkan saya..’

Zulfah merintih sendiri. Dia tidak tahu apa yang harus diperkatakan kepada Hambali. Memang benar perasaannya kepada bekas tunangannya itu tidak pernah pudar tetapi dia redha apa yang ditentukan olehNya. Semenjak dia memutuskan tali pertunangan dengan Hambali, dia tidak pernah terfikir untuk menerima sesiapa dalam hidupnya. Tetapi takdir Tuhan tiada siapa yang dapat menghalangnya. Malah dia bahagia menerima Faruki, mengisi rasa kasih dan cinta buatnya. Dan pada saat itu, dia berjanji akan melupakan bekas tunangannya tapi hampa. Cuma satu yang diharapkan moga Hambali mendapat jodoh yang jauh lebih baik dari dirinya yang serba kurang itu. Tiba-tiba dirasakan hangat dipipinya, air matanya mula jatuh. Ini pertama kali dia menangis kerana Hambali setelah menikah. Selama dua tahun lebih menjadi isteri Faruki, dia sentiasa menjaga perasaannya agar tidak berpaling pada yang lain selain suaminya, Faruki. Tetapi kali ini dia kalah, dia tahu cintanya pada Faruki sangat mendalam tetapi perasaannya yang tersembunyi selama ini akhirnya terpamer jua.

‘Ya Allah..ampunkan dosa hambaMu ini. Abang..maafkan Ifah bang.’ Air mata Zulfah semakin laju. Dia mula merasakan dirinya kini bersalah kepada suaminya. Lamunan dan tangisan Zulfah terhenti tatkala mendengar pintu biliknya diketuk. Cepat-cepat Zulfah ke kamar mandi, membasuh mukanya agar tidak tampak sedih di hadapan ibu mentuanya.

“Ye ma..maafkan Ifah. Tiba-tiba sakit perut tadi.”

“Yeke..sakit lagi? Mama dari tadi tunggu Ifah. Ingatkan Ifah sakit ke, tu yang mama naik balik.”

“Dah ok sikit ma. Mungkin pagi-pagi macam ni, perut biasalah nak meragam. Jomlah ma, kesian mama lapar tunggu Ifah.”

“Tak adalah sampai lapar. Mama ok lagi. Ifah tu yang mama risaukan. Dah jom turun.”

Zulfah mengikuti langkah ibu mentuanya sambil wajahnya tersenyum manis menyembunyikan perasaannya kini. Jauh di sudut hatinya dia merindui suaminya tetapi wajah Hambali mula muncul mengganggu emosinya. Walhal dia tidak sepatutnya lagi untuk memikirkan bekas tunangannya itu. Sungguh berdosa!

Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kamu, aku beritahukan dari hal sebaik-baik barang yang perlu disimpan oleh seseorang lelaki? Iaitu isteri yang solehah. Jika suami melihat kepadanya dia akan gembira, jika suami menyuruh sesuatu dia akan taati dan jika suami tiada di rumah dia akan menjaga harta suaminya dan memelihara akan kehormatan dirinya”. (Riwayat Ibnu Majah)

—————————————————————————————————-

Manja betul Zulfah ni…huhu. Masa menulis Mz terpaksa menggambarkan diri Mz seperti keadaan Zulfah. Waduhh! terlalu payah! pd masa yg sama Mz terpaksa memainkan watak Faruki sbg seorang suami yg perihatin kpd isterinya…lalala…~sambil menyanyi~

Mz mohon maaf jika  membuatkan kalian terikut emosi pd episod kali ini..peace! 😉

Selamat membaca! Ermm..seronok juga bawa motor malam2..merasakan nikmat angin malam..~xde kena mengena~ 😀

BBL-Episod 7

Malam itu, aku tidak dapat melelapkan mata. Tiba-tiba hatiku terasa hiba. Siapalah agaknya yang terbaik untukku. Aku bingung memikirkannya. Jawapan ummi dan abah tadi agak mengganggu fikiranku. Kata ummi dan abah, dari segi jarak dan ekonomi berpihak pada Azril. Azril sudah punya kerjaya dan tiada masalah untuk menafkahiku nanti. Sedangkan Hambali masih belum tamat pengajiannya. Apa pun keputusan, aku perlu lihat calonnya dahulu baru istikharah.

At-Tarmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila orang yang engkau redha agama dan akhlaknya datang meminang kepada kamu maka kahwinilah dia, jika kamu tidak berbuat demikian akan berlaku fitnah di bumi dan kerosakan yang besar.”

Setelah tamat peperiksaan akhir, ummi dan abah menyuruhku pulang ke kampung untuk membincangkan hal lamaranku. Semakin dekat hari kepulanganku, aku semakin dihimpit rasa takut dan resah. Azril seringkali menghantar message menanyakan hal yang sama. Jawapannya ya atau pun tidak. Aku mendiamkan diri dari pertanyaannya malah pada ust. Khairi juga aku tidak memberi apa-apa respon.

Seawal jam enam petang aku sudah sampai di kampung. Merebahkan diri di kamar saat yang paling ku inginkan. Penat yang menjalar di tubuhku membuatkanku tidak punya kudrat untuk membangunkan diri ke bilik air. Tiba-tiba pintu bilik diketuk. Ummi agaknya.

“Masuklah ummi..”

“Ifah…belum mandi lagi? Pergilah siapkan diri tu dulu. Nanti malam ada hal abah nak bincangkan. Keluarga Azril dah banyak kali tanya abah, kasihan abah nak menjawabnya. Ifah balik ni eloklah bincangkan hal ni.”

“Hmm..ok ummi.  Ifah nak pergi mandi dulu. Ifah penat sangat ni.”

“Yelah”

Ummi menghilangkan dirinya. Aku membatukan diri seketika. Rupa-rupanya keluarga Azril sudah banyak kali menanyakan abah tentang hal ini. Ermm..tiba-tiba aku rasa sesak nafas dengan si Azril ni. Tak sabar-sabar! Kalau dah nak kahwin sangat, cari jelah perempuan lain! Ingat aku ni apa? Ishh..

Malam itu abah menanyakan satu persatu tentang lamaran dari Azril juga Hambali. Secara telusnya, aku memang tidak mengenali Hambali, lagi pula gambarnya masih belum sampai kepadaku. Lain halnya dengan Azril. Keluarganya memang mengenali keluarga kami dan aku pun pernah melihat Azril ketika dia datang menziarahi kami pada hari raya tahun lepas. Abah menyerahkan segala keputusan di tanganku. Cuma abah berpesan, pilihlah agamanya bukan kerana harta atau rupa. Ummi juga begitu tetapi pada ummi kewangan dan keutuhan ekonomi salah satu faktor untuk memilih. Aku hanya mendiamkan diri, tidak banyak bicaraku pada abah dan ummi. Sekadar mendengar nasihat dan pandangan dari mereka.

************************************************************************

Selepas bercuti selama sebulan di kampung, aku pulang kembali ke kampus untuk menyambung pengajian di semester empat. Wahh…cepatnya masa berlalu. Gambar Hambali pun aku dah tengok. Erm..ok juga orangnya, tenang mata memandang. Masa untuk aku istikharah pula selepas ini. Harapnya istikharahku nanti menghasilkan jawapan yang terbaik.  Abah dan ummi dah tak sabar nak mendengarkan keputusan dariku.

‘Ya Allah, sekiranya salah satu di antara mereka terbaik untukku pada agamaku, pada duniaku dan baik pada kesudahan urusanku, maka tentukanlah ia untukku dan permudahkanlah serta berkatilah aku padanya. Dan jika salah seorang di antara mereka tidak baik bagiku pada agamaku, pada duniaku dan kesudahan urusanku, maka jauhkan dia dariku dan jauhkanlah aku darinya.’

Allah…terasa berat hatiku tika dan waktu ini. Inilah kali pertama dalam hidupku merasakan beban yang paling berat untuk ku tanggung. Betul kata abah, ujian itu dalam pelbagai bentuk, dan sekarang aku diuji dengan lamaran dari dua orang yang baik akhlaknya dan insyaAllah baik pada agamanya. Kata Hannah, itu juga dinamakan rezeki, bukan semua orang dapat rezeki semacam itu. Tetapi padaku rezeki ini terlalu berat dan memerlukan keputusan yang wajar bagi kedua-dua belah pihak.

“Ifah..apa la yang kau fikir tu? Aku tengok kau lani banyak termenung. Kot ye pun fikir pasal lamaran tu, janganlah sampai kau tak makan. Kau pening eh nak pilih yang mana?”

“Entahlah Hannah…aku memang pening fikir pasal ni. Kau pun tahu kan aku belum bersedia lagi.”

“Ermm…bersedia ke tidak bukan faktor utama Ifah. Yang penting kalau salah seorang tu terbaik untuk kau, tak salah kau terima. Lagi pun bukannya terus kahwin kan. Masa bertunang nanti ada masa untuk kenal hati budi masing-masing.”

“Aku tahu tapi kalau masa bertunang tu tak serasi macam mana? Aku takut la..kalau boleh aku nak kenal dulu sebelum bertunang. Baru mantap nak buat keputusan.”

“Dahla..tak payah nak fikir banyak-banyak. Bikin pening kepala je. Apa kata sekarang ni kau temankan aku pergi makan..heee”

“Kau ni…tak habis-habis dengan makan. Nak pergi makan kat mana?”

“Tengok..elleh..kau tu aku tahu la. Ajak je makan mesti nak..huhu.”

Kami sama-sama ketawa. Hannah memang maklum kalau aku susah hati ke, merajuk ke, mesti ajak aku makan. Lepas tu hilanglah segala susah hati dan rajuk hati aku tu..huuuu. Senang kan! Hannah sememangnya sahabat terbaik yang pernah aku jumpa. Terima kasih ya Allah kerana mengurniakan sahabat sepertinya..

************************************************************************

Sebulan sudah berlalu. Rasanya  aku sudah punya jawapan pada persoalan  yang sentiasa membebankan aku selama ini. Semoga istikharahku ini tidak salah dan moga ada barakah disebaliknya. Sedang aku ralit menonton racangan Majalah Tiga, abah menelefonku. Aku yakin mesti hal yang sama. Abahku gembira mendengar jawapan dariku. Selebihnya aku perlu mengkhabarkan berita ini pada ust. Khairi. Abah menyuruhku jangan lengah-lengahkan lagi hal ini. Ya…aku perlu segera mengkhabarkan hal ini.

‘Asslamualaikum ust. Ana dah istikharah dan alhamdulillah jawapan ana positif pada lamaran Hambali. Abah ana minta keluarganya datang ke rumah untuk selesaikan hal ini. Wallahu a’lam..

Alhamdulillah…lega rasanya bila dah buat keputusan ini. Harapnya selepas ini segalanya akan berjalan dengan mudah dan secara alami. Tidak sabar rasanya aku nak tunggu hari yang indah itu. Ya Allah..tiba-tiba pula terlebih excited. Ish! Zulfah..sabar..sabar. Tiba-tiba..

“Waalaikumsalam wbt..alhamdulillah. Moga Allah permudahkan urusan kalian. Ana akan khabarkan berita gembira ni pada Hambali. Barakallah.’

Aku tersenyum melihat text pesanan ringkas dari ustaz Khairi. Ada bahagia yang melanda diriku kini. Entah kenapa aku mula jatuh suka pada lelaki yang bernama Hambali. Padahal aku tidak pernah menemuinya apatah lagi berbicara dengannya. Ya Allah…apakah ini dinamakan cinta? Moga cinta ini satu anugerah yang bisa membawaku kepadaMu..

Selang beberapa minggu, Hambali menghantar emel buatku. Katanya insyaAllah akhir bulan hadapan dia akan pulang ke Malaysia untuk uruskan majlis pertunangan kami. Aku khabarkan pada ummi dan abah. Mereka senang sekali mendengar perkhabaran ini. Aku juga. Dan semenjak itu aku berhubung dengannya melalui emel. Banyak juga pertanyaannya padaku, aku sekadar membalas apa yang perlu. Tidak banyak pertanyaanku tentang dirinya kerana aku yakin dia adalah yang terbaik untukku kelak.

Tanggal 6 Jun 2004, majlis pertunanganku berlangsung. Majlis kami biasa-biasa sahaja, maklumlah baru bertunang. Aku pun tidak mahu membazir dan tidak mahu dihebohkan hal pertunanganku dengan Hambali.

Nabi SAW bersabda: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) tentang perkahwinan” (Hadith riwayat Ahmad dari Abdullah bin Zubair Radhiyallahu ‘anhu, dan disahihkan oleh al-Albani di dalam Irwa’ al-Ghalil)

Seawal perkenalanku dengan Hambali, aku agak kekok untuk berbincang apa-apa yang berkaitan. Padahal bukan bincang apa pun, majlis pertunangan tu je. Tapi itulah yang memalukan aku sebenarnya, kerana semua keputusan diserah bulat-bulat padaku. Katanya dia tidak mahu aku rasa kurang selesa dengannya atas permintaan keluarganya yang pelik-pelik. Memang tak dinafikan keluarganya mahukan majlis pertunangan yang agak besar dan meriah, hantaran pun boleh tahan juga banyaknya. Terbeliak biji mataku mendengar usulan ibu Hambali yang mahukan sebelas dulang hantaran dan dibalas tiga belas dulang. Kata mereka Hambali satu-satunya anak lelaki yang ada. Ermm..susah juga bila dapat calon yang macam ni. Tetapi setelah Hambali berbincang baik-baik dengan ibunya, alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik dan lancar. Allah permudahkan urusan kami yang satu itu.

Sepanjang tempoh pertunangan kami, tidak banyak yang kami kongsikan. Sekadar berhubung jika perlu. Selepas sebulan kami bertunang, dia terpaksa pulang ke Kaherah untuk meneruskan pengajiannya. Entah kenapa hatiku merasa sedih atas kepergiannya. Ketika keluarga kami menghantarnya ke lapangan terbang tempoh hari, akulah orang yang paling sedih rasanya. Langsung aku tidak menegurnya. Aku lebih suka mendiamkan diri. Ummi pun hairan dengan tingkahku yang bersahaja tanpa mengucapkan selamat tinggal kepada tunanganku itu. Walhal dalam hatiku tiada siapa pun tahu perasaan apa yang aku alami. Sungguh! Aku sedih atas pemergiannya ke sana. Allahuakbar…tenangkanlah hati ini ya Allah..

“Salam..saya dah sampai di Kaherah. Zulfah jangan sedih ye. InsyaAllah cuti musim panas nanti saya balik lagi. Awak jaga diri baik-baik. Doakan kita.”

Keesokan harinya, text pesanan ringkas dari Hambali ku terima. Aku tersenyum, sekurang-kurangnya hatiku terubat dengan kehadiran mesejnya. Sedikit membuatkanku terhibur dan merasa diberi perhatian. Padahal aku sendiri tidak pernah memberi text message sedemikian buatnya. Terima kasih Hambali! Dia pun pasti dapat merasai apa yang aku rasai sekarang ini. Barangkali.

“Amboi cik kak..senyum memanjang je. Apa la yang syok sangat kat handset tu sampai aku lalu pun buat dek je.”

“Erk..kau nih! Suka buat orang terkejut la. Tak ada apa..baca message je.”

“Hambali eh..alah, dia baru je pergi dah sedih-sedih. Rilek la beb..tak ke mananya si Hambali tu.”

“Ermm..yela. Aku tahu la. Sibuk jelah kau ni.”

Hannah sengih menampakkan barisan giginya. Suka menyakat orang minah ni! Aku menggetus marah. Kononnya.

************************************************************************

Empat bulan sudah berlalu, aku merasakan kasih buat Hambali semakin mendalam. Banyak juga perkara yang ku tahu mengenai Hambali. Kami banyak berhubung melalui emel dan dari situ kami mula bertukar-tukar idea dan pendapat malah mengenal peribadi masing-masing. Kadang-kadang ada juga Hambali menelefonku bertanyakan khabar diriku, pengajianku dan juga keluarga. Hambali terlalu prihatin padaku sehinggakan aku dapat merasakan yang kami punya ikatan batin yang kuat. Dia banyak menceritakan perihal perjalanan setiap program yang dianjurkan PMRAM. Maklumlah dia orang kuat PMRAM malah terkenal di Kaherah. Aku juga terkejut mendengarkan berita dari rakanku yang juga belajar di sana, katanya Hambali salah seorang imam muda di masjid-masjid sekitar Kaherah. Wahh! Aku dah mula teruja…bangga pun ada punya tunang sebegitu.

Pernah juga Hambali menyatakan padaku jika aku tidak rasa senang dengan perlakuannya, aku punya hak untuk menegurnya. Terasa malu dikatakan begitu, walhal akulah yang sepatutnya ditegur dan diberi nasihat selayaknya kerana aku bakal isterinya nanti. Secara jujurnya aku memang takut untuk hadapi hari yang mendatang. Kerana aku juga tidak pasti apa akan terjadi di hari depan. Hambali pernah berkata, jangan terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi kepada manusia kerana manusia akan hampa, tetapi letakkan harapan dan keyakinan kepada Allah semata kerana Dia yang tentukan segalanya buat kita.

‘Pertunangan adalah suatu komitmen yang belum pasti. Ia mungkin berakhir dengan perkahwinan, boleh juga tamat pada kesudahan yang tidak diharapkan. Namun ulama’ menjelaskan bahawa di antara hikmah Islam menggesa pertunangan itu tidak dihebah-hebahkan ialah kerana untuk menjaga nikmat ini daripada dirosakkan oleh hasad manusia yang bertindak tidak baik.’ -Hashiah al-’Adawi ‘ala Sharh Mukhtasar Khalil-

—————————————————————————————————-

Apa perasaan kalian tika membaca episod 7 ni?

Harapan Mz moga kalian dpt mengambilnya sbg satu teladan yg berguna. Mungkin lepas ni kalian pula yg akan menempuh alam seperti Zulfah dan Hambali. Mz?? Ermm..

Selamat membaca! 😉

BBL-Episod 6

Ketika Zulfah asyik menyiapkan tugasan penting untuk dihantar esok, bunyi deringan pesanan ringkas menyanyi sendirian. Mulanya tidak dihiraukan tetapi dia risau kalau-kalau ada message penting dari sesiapa. Dicapai telefon bimbitnya dan terus mambuka inbox.

‘Assalamuaikum. Ana ust. Khairi. Enti ingat kan? Ana cuma nak khabarkan satu berita penting. Ada seorang sahabat ana ingin menanyakan status enti sekarang. Jika masih belum ada sesiapa, dia mahu bertaaruf lebih lanjut dan melamar enti. Ana yakin dia boleh jadi imam yg baik untuk enti..insyaAllah. Apa pun keputusan enti, dia sedia menerima. Wallahu a’lam.’

Zulfah mengeluh panjang. Ini kali kedua pertanyaan tentang lamaran untuknya. ‘Apa harus aku pertimbangkan atau pun terus menolak lamaran ini? Atau mungkin perlu aku bertanya siapa yang ingin melamarku kali ini? Tapi lamaran sebelum ini pun masih belum terjawab. Aduhh..bengkak rasa kepala ni! Haruskah aku bicarakan hal ini kepada ummi dan abah?’ Zulfah berbicara sendiri. Dia kusut bila mana memikirkan tentang hal itu. Apa lagi kini dia baru mencecah tahun kedua pengajian. Mana mungkin!

Hannah sedari tadi memerhati gelagat rakannya itu. Tidak mahu tarus membatu begitu, dia mendekati Zulfah.

“Ifah..asal dengan kau ni? Nampak semacam je.”

“………”

“Eii…aku tanya ni. Jauh betul menungnya.”

“Haaa? Apa?”

“Hmm..”

Zulfah agak terkejut dengan sapaan temannya itu namun dia cuba melakarkan senyuman di bibir tapi pahit. Kelat rasanya! Zulfah hanya menggelengkan kepalanya. Namun dia yakin temannya itu dapat menangkap kecelaruannya kini. ‘Biarkan dahulu…aku tak perlu tergesa-gesa untuk menceritakan hal ini.’

“Eh..tak ada apalah. Kau ni ada-ada je..”

“Lerr..minah ni. Habis yang kau termenung tu kenapa? Orang tanya dia buat dek je.”

“Kau ada panggil aku eh tadi…sorry. Aku tak dengar.”

“Ermm..kau ni memang la. Haa! Dah siap belum assignment kau tuh? Kau kata esok nak kena submit..jangan nak menung je.”

“Ada sikit lagi nak siap. Aku tak menunglah! Aku berangan je..hee”

“Beranganlah lagi puteri kayangan oii..tak habis-habis..”

Sengaja Zulfah bergurau begitu supaya teman sebiliknya itu tidak terlalu serius menanyakan hal yang bisa mengusutkan kepalanya. Tanpa lengah, Zulfah meneruskan semula tugasannya yang sedikit tergendala. Sudah hampir pukul 12 tengahmalam. Dia harus menyiapkan tugasan dengan segera. Kalau mengantuk nanti, susahlah jawabnya!

Hannah pula sedang ralit dengan lukisan kejuruteraannya. Masih belum siap sepenuhnya, dan dia harus menyiapkan malam ini juga. Esok sudah tiada masa untuk itu, ada tugasan lain lagi yang sedang menunggu. Pening juga Zulfah melihat temannya itu. Seringkali ada sahaja tugasan yang tertangguh. Tapi dia tetap kagum dengan Hannah, walaupun sentiasa suka menangguh kerja tetapi setiap kali mendapat keputusan mesti gempak. Pelik bin hairan bin ajaib! Zulfah tersenyum lagi.

************************************************************************

Aku terjaga dari tidurku. Ku lihat kiri dan kanan. Astaghfirullah! Aku mimpi rupanya. Ku bangun dan menuju ke bilik air. Seusai berwudu’ aku ke kamar kembali, terus ku ambil telekung dan memakainya. Ku lihat jam di dinding baru mencecah pukul empat pagi. Masih awal lagi ni, tak apalah. Dah alang-alang bangun ni, baik solat terus. Sesudah bertemuNya, aku membuka laptop di meja jepunku. Jariku mula membuka yahoo window dan membuka kotak emel. Sambil-sambil otakku ligat mencari idea untuk menulis, ku intai blog sahabat-sahabat. Banyak perkongsian yang aku dapat. Sedang ralit ku perhatikan emel yang masuk ke inbox, mataku terpandang satu emel yang namanya memang tidak pernah ku simpan dalam email address. Tetapi nama itu sepertinya pernah ku dengar.

Hatiku mula tertarik untuk membukanya.

To: nurul_ifah@yahoo.uk.co

From: HambaliHamzah@yahoo.com.my

Subject: Assalamualaikum

Assalamualaikum wbt saudari Zulfah..

Apa khabar Zulfah? Sy Hambali, mungkin zulfah masih tidak mengenal sy. Rasanya Zulfah sudah mendapat text dari ust. Khairi. Apa pun keputusan, sy harap ianya adalah yang terbaik untuk semua. Nanti sy akan kirimkan gambar pd ust. Khairi. Dan sy pun harap Zulfah akan kirimkan gambar pd sy utk sy tunjukkan pd keluarga. Moga ada kebaikan disebalik pertemuan yg tak disangkakan ini. Mohon maaf jika Zulfah tidak menyukai cara ini. Wassalam.

Yang ikhlas,

Mohamad Hambali Mohd Hamzah

Sa’id bin Mansur, Ibnu Majah, Ath-Thahawi, Al-Baihaqi, Ath-Thayalisi dan Ahmad meriwayatkan daripada Sulaiman bin Abu Hathmah katanya : Rasulullah SAW bersabda: “Apabila Allah telah mencampakkan ke dalam hati seseorang keinginan untuk meminang seorang wanita maka tidaklah mengapa ia melihat kepadanya”

Oohh..Hambali namanya. Aku tiba-tiba menguntum senyum. Aku sendiri pun tidak tahu kenapa ku harus senyum bila membaca emel dari Hambali. Bila nama itu lahir dari bibirku, aku dapat merasakan sesuatu. Ahh..tidak mungkin! Aku tak pernah melihatnya, mana mungkin ada perasaan seperti itu. Memang mustahil! Apa harus aku khabarkan pada ummi dan abah? Nantilah dulu, final exam dah dekat. Malas nak fikir hal ni. Apa pun nama Hambali lebih indah berbanding Azril. Ishh…dah mula la aku ni. Dah Zulfah. Sudah!

Sudah jam 5.30! Ya Allah..lekanya aku. Tanpa lengah ku segera membangunkan Hannah untuk bertahajjud. Hannah selalu begitu, dia akan memintaku mengejutkannya untuk qiyam. Kadang-kadang Hannah akan bangun sendiri jika aku kelewatan atau pun uzur syari’e.

“Hannah, bangun! Dah lambat ni.”

“Hmm..ngantuknya. What? Dah 5.30? Asal kau tak kejutkan aku awal-awal?”

“Sorry, aku lupa tadi. Tengok jam baru aku ingat. Sorry sesangat!”

“Yela..sempat lagi ni. Aku tengok kau ni semacam je. Dari semalam macam tu!”

“Ada-ada je kau ni. Dahla..pergi solat sana!”

“Ye ye..ish!”

Aku sengih. Hannah bergegas ke bilik air. Mukanya mencuka melihat lagakku seakan mempermainkannya. Mataku menatap kembali skrin laptopku. Agak lama aku termenung tadi. Tapi apa benar Hambali mahukan aku jadi isterinya? Pertanyaan itu mula menerjah di fikiranku. Tetapi aku masih belum memberi jawapan pada Azril. Ermm..susahnya macam ni! Ya Allah..permudahkan urusanku yang satu ini. Jika salah satu antara mereka terbaik buatku, maka tunjukkanlah kebenaranMu. Hatiku mula merintih untuk kesekian kalinya dalam hal seperti ini. Pilihlah yang terbaik Zulfah! Hatiku cuba menyakinkanku. Hambali…Azril…Azril..Hambali…

Selepas subuh berjemaah dengan Hannah, aku bergegas menyiapkan diri untuk ke dapur. Menyediakan sarapan seringkas yang mungkin. Seperti biasa sarapanku hanya bertemankan bijirin oat dicampur dengan susu segar juga milo panas untuk mengalas perutku. Manakala Hannah menyediakan sandwich bersama teh kegemarannya. Katanya teh herba bagus untuk penjagaan badan. Maaflah! Bukan taste aku minum teh herba. Langsung tak sedap! Hannah selalu marahkan aku bila aku katakan seperti itu. Katanya aku cerewet dan pandang rendah pada teh herba kegemarannya itu. Aku hanya menggelengkan kepala mengingatkan kata-kata Hannah. Lucu pada pendengaranku.

Selesai sarapan, aku dan Hannah bersiap untuk ke kuliah. Pagi ini aku ke kelas Mdm. Haryani untuk madah Geotechnical Engineering. Hannah pula ke kelas Dr. Farhan, subjek Fizik katanya. Hannah selalu kelam kabut. Bila nak pergi kelas atau mana-mana je mesti ada benda yang tertinggal. Ha! Kali ni tertinggal buku yang sepatutnya dia bawa ke kelas. Erm..Hannah..Hannah. Aku menggelengkan kepala bila mengingatkan si Hannah yang gabra itu.

Setelah selesai kuliah Mdm. Haryani, aku ke lecturer room untuk menghantar tugasan Mr. Fathi yang ku siapkan semalam. Kelihatan Mr. Fathi sedang sibuk menyemak tugasan pelajarnya yang bertimbun di mejanya. Tanpa lengah, aku memberi salam dan memindahkan tugasanku ke tangan Mr. Fathi. Dia hanya menguntum senyum. Sambil membelek-belek helaian tugasanku, dia menganggukkan kepala. Bimbang juga kalau ada yang dia tidak puas hati. Setelah disemak, dia mengatakan tugasanku bagus. Mulanya aku tidak berpuas hati tetapi bila dikatakan tidak ada yang perlu diubah atau diperbaiki, aku hanya menurut.

Sejurus sahaja keluar dari bilik pensyarah, Hannah tiba-tiba muncul dari belakang. Bikin orang terkejut je minah ni. Kus semangat! Sabar jelah dengan si Hannah ni.

“Kau ni kalau tak buat aku terkejut tak sah tau. Kalau ada heart attack boleh mati aku ni.”

“Haha…kau nih! Terkejut tahap gaban. Gaban pun tak terkejut macam kau tau. Sorry la..aku saja je.”

“Tu la kau..sorry..sorry. Haa..kau ni dari mana? Dah habis class?”

“Dah..eh tadi kau jumpa sir kesayangan kau eh? Amboi..kemain kau ni eh. Jaga-jaga..kang tak pasal-pasal terjatuh cinta dengan lecturer sendiri.”

“Eee…mulut kau. Tolong sikit eh! Kalau sir Fathi nak sangat kat aku ni, dah lama dia cakap. Kau jeles la tuh kan?”

“Eh eh..aku pula yang kena. Ok2..dah! jom pergi makan. Laparlah.”

“Hmm…”

Hannah mengheret tanganku mengikut langkahnya ke cafe. Perutku pun sebenarnya dah nyaring sangat lagunya. Mahunya tak lapar…kelas hampir tiga jam! Tu pun kira nasib baik sarapan pagi tadi. Kalau tak, tak tahulah boleh tahan ke tidak perut aku ni. Hannah lagi la, memang kuat makan. Eh..mengata dulang paku serpih, mengata orang aku yang lebih. Huuu..

—————————————————————————————————

Mohon Maaf krn kelewatan publish episod 6 kali ini. Maklumlah bercuti sempena hari raya haji kan 😉 Semua orang pun nak bercuti..hee

selamat membaca…moga terhibur! 😉